SUKARELAWAN menyediakan bubur lambuk untuk diedarkan kepada orang ramai. FOTO NSTP
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


SYARIKAT di dalam industri peruncitan gergasi, Giant Malaysia (Giant) mengadakan aktiviti tahunannya dengan pengagihan bubur lambuk dan memberi sumbangan kepada golongan kurang berkemampuan di negara ini, Ramadan lalu.

Program khidmat masyarakat yang bertemakan Berkat Dikongsi itu bukan saja meraikan golongan kurang berkemampuan, malah menjadi satu acara memeriahkan sambutan Ramadan kepada orang ramai.

Menariknya, program pengagihan bubur lambuk itu kali ketujuh diadakan dan syarikat berkenaan mengedarkan 20,000 bekas bubur lambuk lebih 10 lokasi di seluruh Malaysia.

Pada masa sama, program khidmat sosial korporat itu juga membabitkan 200 sukarelawan yang turut membuat lawatan ke Madrasah Ma’ahad Tahfizul Quran untuk mengagihkan bubur berkenaan.

Tidak sekadar itu, ahli madrasah terdiri daripada 52 pelajar pelarian Rohingya turut menerima pelbagai barangan lain seperti beras, tepung, gula, susu pekat, peralatan mandi dan sabun mencuci.


GIANT turut meraikan Ramadan di hospital bagi memberi keceriaan kepada pesakit kanak-kanak. FOTO NSTP

Selain itu, sukarelawan turut mengedarkan bubur lambuk ke Pusat Rumah Transit Gelandangan dan Wad Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menceriakan kakitangan, kanak-kanak dan ibu bapa di hospital berkenaan.

Giant juga mengadakan kerjasama dengan Nestle Malaysia untuk mewujudkan bekas sumbangan di 39 cawangan di seluruh Malaysia.

Ia bagi membolehkan pelanggan menyumbang pelbagai barangan ketika membeli-belah di pasar raya Giant yang berlangsung Mei lalu.

Hasil sumbangan pelanggan yang menyumbangkan pelbagai produk Nestle disumbangkan pula kepada 10 rumah kebajikan yang memberikan manfaat kepada 500 golongan kurang bernasib baik.

Malah, Giant juga menyumbangkan RM15,000 kepada tiga rumah kebajikan iaitu Teratak Nur Barakah, Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah dan Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ash-Shaku bagi memberi kemudahan kepada ahlinya membuat persiapan Aidilfitri.

Selain itu, Giant juga bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang memberi peluang kepada 150 orang kurang berkemampuan dari Kulim Bandar Baharu, Kedah untuk membeli-belah di Giant bagi persiapan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 9:44 AM