REGINA berkomunikasi melalui bahasa isyarat.
Asmidar Zainol
metahad@hmetro.com.my

DILAHIRKAN sebagai orang kurang upaya (OKU) bukan penghalang buat lapan pelatih Pusat Persatuan Orang-Orang Pekak Sabah untuk memajukan diri dalam bidang bakeri.

Tidak memandang kelemahan sebagai penghalang, pelatih pusat berkenaan terus mengasah kemahiran dalam usaha membantu kelangsungan hidup selain membolehkan mereka berdikari.

Pelatih yang dilahirkan dengan masalah pendengaran, Nathanael Boidon Bernard, 22, berkata, kekurangan diri tidak langsung menjadi halangan buatnya untuk dilantik sebagai jurulatih pastri di pusat berkenaan.

“Kekurangan diri menjadi kelebihan kepada saya, malah lebih fokus kepada sesuatu pekerjaan dan saya memilih menceburkan diri secara serius dalam bidang ini pada tahun lalu selepas mendapat pendidikan secara formal daripada ATI College di Persatuan Rumah Amal Sabah (Sabah Cheshire Home).

“Sebenarnya, minat menceburkan diri dalam bidang pastri tercetus selepas kerap melihat rancangan televisyen mengenai bakeri selain mendapat sokongan penuh daripada keluarga.


NATHANEAL turut membantu pelatih menyiapkan biskut raya. FOTO ihsan Jabatan Penerangan Malaysia

“Selama setahun saya didedahkan dengan teknik menyediakan pastri dan berbekalkan Sijil Asas Pastri serta kemahiran yang dipelajari membantu saya mendapatkan pekerjaan di Pusat Persatuan Orang-Orang Pekak Sabah ini.

“Bekerja di sini menyeronokkan kerana dapat membantu rakan-rakan yang mempunyai masalah seperti saya untuk menambah kemahiran dan seterusnya dapat berdikari pada masa hadapan.

“Saya juga berhasrat untuk membuka kafe pada suatu hari nanti supaya dapat memberi peluang pekerjaan dan membantu mereka yang kurang bernasib baik,” kongsi anak ketiga daripada enam beradik itu.

Pengetua pusat berkenaan, Regina Wong berkata, pihaknya bukan sahaja menawarkan biskut raya, tetapi turut menyediakan pelbagai pastri bergantung kepada musim perayaan selain ada yang dibuat secara harian.

“Pada musim perayaan kali ini, kami menyediakan biskut Hazelnut Rosettes Cookies, biskut Makmur, Butter Strawberry Jam Cookies dan Batang Buruk Crackers.


SEORANG pelatih menyusun doh untuk dibakar. FOTO ihsan Jabatan Penerangan Malaysia

“Hasilnya dapat membantu menampung perbelanjaan pembelian bahan mentah dan sedikit sebanyak menambah pendapatan pelatih di pusat ini,” katanya.

Kata Regina, objektif utama penubuhan bakeri berkenaan untuk membantu pelatih yang sukar mendapat pekerjaan selepas tamat persekolahan.

“Ada antara mereka ini bukan hanya mengalami masalah pekak dan bisu, tetapi ada juga yang mengalami masalah autisme dan sebagainya.

“Memandangkan agak sukar untuk mereka mendapat pekerjaan di luar dan atas permintaan ibu bapa yang memohon supaya diwujudkan peluang pekerjaan kepada anak-anak mereka.

“Kami berharap dengan sokongan semua, mereka dapat berdikari dan menjana pendapatan sendiri pada satu hari nanti,” katanya yang turut memaklumkan pelatih turut diberi penekanan mengenai kebersihan dan keselamatan ketika bekerja.


NATHANEAL (kiri) dan Regina.

Terdapat lapan pelatih mengusahakan bakeri di pusat berkenaan yang berumur 20 hingga 35 tahun dengan dibantu lima guru. Selain bakeri, pusat di bawah Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat berkenaan turut menyediakan prasekolah kepada kanak-kanak seawal umur dua tahun hingga enam tahun yang mengalami masalah pendengaran.

Berkongsi pengalaman memiliki anak istimewa, Aedna Polen, 29, berkata, ibu bapa mempunyai anak istimewa tidak perlu berasa malu, malah perlu tampil ke hadapan bagi mendapat bantuan dan sokongan daripada pihak berkenaan.

Suri rumah dari Kampung Nosoob Baru, Penampang itu turut berkongsi kesedihan dan kerisauan yang dialami apabila doktor memaklumkan anak sulungnya, Christ Brayden Majelis, 8, mengalami masalah pendengaran.

“Hanya Tuhan yang tahu perasaan ketika itu. Saya dan suami terus berfikir, bagaimana dia mahu menguruskan diri? Bagaimana dia hendak bergaul dengan rakan-rakannya nanti?


SETIAP pelatih mempunyai tugasan tersendiri bagi mempercepatkan proses membakar biskut. FOTO ihsan Jabatan Penerangan Malaysia

“Syukur kerana ketika itu kami masih menetap di Kuala Lumpur dan dapat menghantar Christ ke Pusat Majudiri ‘Y’ For The Deaf (PMY) di Brickfields di mana tenaga pengajar mempunyai kemahiran untuk mendidik serta menjaganya.

“Tiga tahun lalu, kami berpindah ke Sabah untuk memudahkan dia belajar dan pada masa kini, Christ belajar di Sekolah Rendah Pendidikan Khas Kota Kinabalu yang terletak di Tuaran,” kongsinya.

Dalam pada itu, Aedna juga sering menjadi sukarelawan di pusat berkenaan dalam meningkatkan kemahiran komunikasi bersama golongan berkenaan.

“Tiada paksaan untuk saya ke sini, malah saya suka datang membantu kerana bergaul dengan mereka saya dapat lebih memahami keadaan dan masalah mereka, sekali gus membolehkan saya berkomunikasi lebih baik dengan Christ,” katanya.

Malah, Aedna juga berharap pihak kerajaan atau NGO supaya memperbanyakkan lagi kelas atau sekolah pendidikan khas di lokasi yang lebih strategik selain mewujudkan kelas pembelajaran OKU pendengaran tingkatan 4 dan 5 di negeri ini.


PELATIH bergambar bersama Regina (dua dari kanan). FOTO ihsan Jabatan Penerangan Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 11:11 AM