SHAHRIL (lima dari kiri) menyerahkan pek bungkusan makanan kepada pusat tahfiz berhampiran. FOTO Aizuddin Saad.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


“TANGAN yang memberi lebih baik daripada yang menerima dan saya mahu anak Maahad Tahfiz Al Quran Lil Muttaqin pula menyumbang kepada komuniti di sekeliling termasuklah masyarakat Orang Asli,” kata Pengetuanya, Shahril Mohamad mengenai pembabitan pelajarnya menjayakan Projek Ramadan Berkah Dengan Sedekah 2.0 (RBDS).

Program RBDS pertama kali dianjurkan pihak maahad berkenaan dua tahun lalu dan kali ini sasaran ialah penyediaan pek berbuka kepada 500 penerima di daerah Hulu Langat, Selangor setiap hari sepanjang Ramadan ini.

Kata Shahril lagi, usaha itu sekali gus mampu mengubah persepsi dan keraguan masyarakat mengenai kemampuan sekolah tahfiz dalam aspek pembinaan modal insan.

“Pendedahan ini bakal membentuk pelajar maahad ini lebih mesra kepada masyarakat sekali gus mengekang persepsi negatif kedua-dua pihak.

“Pada masa sama mereka dapat menyediakan juadah berbuka untuk kenalan iaitu bermula dengan rakan tahfiz berdekatan selain penduduk Islam kampung Orang Asli berhampiran dan seterusnya rumah anak yatim dan asnaf yang nyata memerlukan perhatian masyarakat.

“Ini sebenarnya adalah pendedahan vokasional dan kemahiran baik dalam memastikan kesediaan mereka menempuh dunia luar kelak sebaik tamat pengajian,” katanya yang turut memaklumkan ketika ini pusat tahfiz terbabit menampung 50 pelajar berusia antara 10 hingga 19 tahun yang mengikuti pengajian agama di situ.

Pengurus Restoran Mai Sini Ikan Bakar, Mohd Idwan Idris yang juga penyelaras projek terbabit berkata, pelajar Maahad Tahfiz Al Quran Lil Muttaqin sedia maklum dengan tugas mereka menggunakan sistem giliran agar projek itu tidak mengganggu rutin kuliah yang perlu dihadiri setiap hari.

“Pelajar ini mempunyai sistem giliran selain sudah dilatih menyediakan makanan mengikut amalan standard kualiti penyediaan makanan yang baik dari segi kebersihan dan keselamatan.

“Sebenarnya pelajar maahad ini juga mengikuti latihan vokasional penyediaan makanan daripada Fakulti Teknologi Makanan universiti awam. Ia sangat membantu dalam proses penyediaan makanan yang selamat, bersih dan menepati kehendak pelanggan kami.

“Sebelum projek ini, kami bermula dengan pek makanan tengah hari atau menyediakan khidmat katering untuk majlis korporat, kumpulan atau individu perseorangan. Maklum balas positif yang kami terima daripada program jualan pek itu membuatkan kami memutuskan untuk memanjangkan manfaat projek komuniti sempena Ramadan iaitu penyediaan makanan iftar hasil tajaan orang ramai menerusi projek ini,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Belia Masjid Selangor Aliff Razuqi berkata, meskipun pelajar bersedia menjayakan projek tajaan berbuka terbabit, namun tanpa dana mencukupi usaha berkenaan pastinya berdepan dengan laluan sukar.

Kata Aliff, ketika ini dana terkumpul hanya mampu menampung sekitar 100 pek berbanding sasaran awal 500 pek sehari.

“Selain anak tahfiz kami, tajaan 500 pek dengan kos RM5,000 sehari itu akan menampung anggaran 400 Orang Asli beragama Islam di sembilan kampung.

“Jangkaan membolehkan projek tajaan berjalan lancar, sekurang-kurangnya kami berharap dapat capai separuh daripada jumlah keseluruhan dana diperlukan baik daripada orang perseorangan, korporat dan agensi yang berhasrat untuk bersedekah serta beramal.

“Kala mereka mengejar pahala sedekah, anak-anak maahad tahfiz ini turut menerima manfaat kebaikan apabila mereka berjasa dalam menyediakan sajian berbuka untuk rakan tahfiz serta masyarakat Orang Asli mahupun rumah kebajikan terpilih sepanjang Ramadan.

“Memulakan siri agihan pertama, kami hanya mampu menyediakan 120 pek berbuka puasa kepada dua pusat tahfiz lain, Maahad Tahfiz Al-Iman dan Maahad Tahfiz Al Haziq selain pelajar kami.

“Untuk hari mendatang, kami berharap mampu menyediakan keseluruhan jumlah pek berbuka seperti disasarkan kepada masyarakat Orang Asli beragama Islam yang turut menjalankan ibadah puasa serta solat sunat Tarawih.

“Tujuan kami membantu masyarakat terbabit dengan penyediaan juadah berbuka agar saudara kita itu dapat fokus kepada ibadat selain sesi pengajian mereka. Ia juga untuk membantu guru agama yang menjaga jemaah kampung berkenaan,” katanya.

Bagi mereka yang mahu menyumbang boleh berbuat demikian menerusi tabung Maahad Tahfiz Al Quran Lil Muttaqin di nombor akaun 12195010004162 ( Bank Islam Malaysia Berhad).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 10:30 AM