SUMBANGAN Don dalam dunia seni kartun dan komik tempatan cukup besar.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


BAGI peminat majalah humor nasional Gila-Gila, pasti tidak lupa siri kartun Dan Din Don yang menampilkan tiga kanak-kanak riang digambarkan bertelanjang bulat, namun masing-masing mempunyai karakter diri berlainan.

Siri kartun terkenal itu yang popular sejak 1980-an mula disiarkan di majalah berkenaan pada keluaran ke-69 sempena sambutan hari raya. Ia adalah karya kartunis Don atau nama sebenarnya Saadon Ishak, 60, yang berasal dari Kampung Luat, Lenggeng, Perak.

Setiap cerita yang dipaparkan dalam siri kartun berkenaan merujuk kepada peristiwa sebenar yang dialami kartunisnya. Don sebagai anak kampung yang kemudian berhijrah ke ibu kota ingin mengimbas kembali kenangan masa kecilnya dan berkongsi dengan pembaca dalam bentuk yang melucukan.

PERARAKAN sempena raya dan kedatangan cuti sekolah. FOTO Nurul Shafina Jemenon

Menurut Don, beliau mendapat ilham untuk menghasilkan watak Dan Din Don ketika keluar minum malam bersama seorang rakan serumah bernama Din. Sudah menjadi tabiat Don membawa buku kecil dan pen untuk melakar jika datang idea yang tidak kira masa.

“Pada masa itu saya menyewa rumah di Seksyen 14, Petaling Jaya, Selangor bersama rakan serumah iaitu Dan dan Din. Kami bertiga pernah membuka syarikat pengiklanan dengan nama 3D Design di ibu kota pada awal 1980-an.

“Dan juga rakan sepejabat di Gila-Gila dan bekerja sebagai pereka grafik manakala Din pula seorang pemain ragbi bersama Kelab Anchorman.

“Saya dapat idea untuk melakar tiga watak bulat seperti kacang yang kemudiannya diberi nama Dan Din Don sempena nama kami bertiga.

WATAK tiga kanak-kanak bertelanjang bulat, Dan Din Don inspirasi kisah benar.

“Dalam siri ini watak Dan yang berambut kerinting digambarkan sebagai seorang yang pendiam dan kerap mengikut sahaja. Watak Din pula agak ranggi dan kerap memakai kaca mata hitam manakala watak Don merujuk kepada diri saya sendiri,” katanya.

Menjangkau 38 tahun usia siri kartun ini, Don berhasrat untuk berkongsi pengalaman hidup sepanjang bergelar kartunis bersama peminatnya. Menerusi buku Nostalgia Dan Din Don yang dilancarkan sempena Bulan Kartunis pada April lalu di Rumah Kartun dan Komik Malaysia (RKKM), Kuala Lumpur, Don turut mengembalikan kenangan siri kartun popular dalam majalah Gila-Gila itu.

Biarpun demikian, buku ini dikatakan menampilkan pendekatan Don yang agak berbeza apabila setiap kartun yang asal disertakan dengan teks penceritaan panjang. Ini bermaksud, siri asal menjadi suatu bentuk ilustrasi dengan penceritaan lebih panjang dan mendalam.

KARTUN diselangseli kisah berkaitan untuk penceritaan mendalam.

Malah, pengolahan warna cat air yang meriah dan segar serta kekuatan garis yang hidup lagi lancar mengukuhkan keseluruhan aspek bentuk karya ini. Semua cerita diselang-selikan dengan sentuhan jenaka yang pasti mencuit hati pembaca, sekali gus mengimbau kenangan zaman kanak-kanak.

Siri kartun bersiri ini berkisar kisah kanak-kanak di kampung, suasana kampung yang permai, permainan masa kecil, amalan dan adat kehidupan masyarakat kampung, budaya, moral, misteri, mitos dan khayalan.

Latar belakang dan pemandangan dalam siri kartun ini juga adalah daripada lakaran suasana sebenar di sekitar kampung Don. Watak sampingan lain seperti Mak, Ayah, Tok Haji Sudin, Tok Chu Hawa dan Mak Ngah Embong memang wujud dalam ruang kehidupan beliau.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 8:57 AM