ANTARA gendang ditemui.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


GENDANG Dongson, satu daripada bukti ketamadunan masyarakat zaman logam yang dianggarkan bermula kira-kira 2,500 tahun lalu.

Komuniti yang dibahagikan kepada dua zaman iaitu zaman gangsa dan zaman besi ini mengamalkan cara hidup berbeza. Malah mereka jauh lebih berkembang apabila mula menggunakan peralatan harian yang lebih tahan lasak diperbuat daripada gangsa dan besi, berbanding masyarakat zaman batu.

Selain itu, ia turut dikenali sebagai gendang gangsa kerana penghasilannya diperbuat daripada logam berkenaan. Gendang ini dikategorikan paling popular apabila ia dijadikan ikon bagi merujuk kemunculan dan penyebaran kebudayaan Dongson di Asia Tenggara.

Menariknya, gendang ini dipercayai memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat kuno, merangkumi aspek kepercayaan, aktiviti ekonomi, simbol status dalam komuniti, pesta atau persembahan bahkan dijadikan gendang perang berdasarkan motif hiasan dan simbol pada artifak berkenaan.

Dikatakan gendang ini berasal dari kawasan utara Vietnam yang dihubung kait dengan penemuan gendang gangsa pertama pada 1924, di tebing Sungai Song Ma berdekatan kampung Dongson, Bac Bo.

Lokasi penemuan ini berada kira-kira 10 kilometer ke bandar Thanh-hoa yang juga satu daripada tapak pembuatan logam terawal di Asia Tenggara, selain utara Thailand.


VARIASI motif bintang terdapat pada gendang gangsa.

Kajian berkenaan gendang Dongson ini dimulakan oleh pakar etnografi Austria, Franz Heger pada 1902 di Vietnam. Menerusi penyelidikannya, beliau mengklasifikasikan gendang gangsa kepada empat jenis, antaranya Heger I, Heger II, Heger III dan Heger IV.

Pensyarah Jabatan Sejarah, Fakulti Sains dan Kemanusiaan, Universiti Perguruan Sultan Idris, Prof Madya Dr Adnan Jusoh antara penyelidik yang fokus terhadap gendang Dongson.

Tertarik dengan pola hiasan artifak ini, beliau menyifatkan ia adalah elemen penting bagi sesebuah gendang gangsa.

Menurutnya, motif atau simbol memperlihatkan keunikan gendang dan ia juga dikatakan berkait rapat dengan kehidupan masyarakat terdahulu sama ada dari segi sumber makanan, kepercayaan mahupun ritual serta kebudayaan.

Menyingkap motif yang terukir pada gendang Dongson ini, beliau berkata, terdapat pelbagai lakaran motif termasuk bintang, tangga, segi tiga, bulatan bertangen, bulatan bertitik, burung pucung, burung terbang dan sebagainya.

Dipengaruhi daripada aspek sosial, kepercayaan, aktiviti ekonomi dan hubungan luar, beliau berkata, kajian terhadap motif dan lakaran pola hiasan dipercayai dapat membantu penyelidik membuat interpretasi mengenai masyarakat terdahulu.


MOTIF burung yang pelbagai.

Berdasarkan penemuan gendang gangsa di Semenanjung Malaysia, Adnan berkata, lakaran motif seperti bintang adalah paling popular bagi gendang Dongson terletak di bahagian tengah timpanum.

“Hanya gendang Dongson yang ditemui di Kampung Sungai Sedu tidak mempunyai motif sebutir bintang, manakala tujuh lagi memiliki motif ini de­ngan bilangan bucu berbeza sama ada 10 ataupun 12.

“Berdasarkan kajian Franz Heger (1902), daripada 144 gendang Dongson dikaji, sebanyak 118 gendang mempunyai 12 bucu, diikuti 18 gendang (lapan bucu), empat gendang (10 bucu), dua (14 bucu) dan sebuah gendang berbucu enam.

“Dari segi terjemahan motif bintang ini masih gagal menemui kepastian mutlak. Ini kerana ia juga boleh ditafsirkan sebagai lambang matahari.

“Ini terbukti apabila berlakunya polemik antara penyelidik Vietnam dan China menyatakan motif ini adalah gambaran mewakili masyarakat mereka.


MOTIF tangga menyerupai sikat.

“Contohnya di Vietnam, motif matahari ini mempunyai hubung kait dengan kepercayaan kuno menyem­bah matahari, manakala China juga menyifat­kan ia adalah manifestasi generasi lama (komuniti Chu) juga me­nyembah matahari.

“Persetujuan antara dua negara ini hanyalah berkenaan motif itu adalah lambang matahari bukannya bintang.

“Selain itu, motif tangga antara yang popular digunakan sebagai pola hiasan pada gendang gangsa. Motif ini berbentuk segi empat dua sama disusun secara bertindih antara satu sama lain.

“Motif ini menggunakan lambang (=) disusun bertindih hingga membentuk lakaran menyerupai sikat rambut dan jika ia dilihat dari posisi atas ia memperlihatkan satu susunan tangga.

“Simbol ini juga terdapat pada gendang gangsa dijumpai di Malaysia serta gendang luar termasuk gendang Battambang (Kemboja), gendang Semarang (Jawa dan Roti, Indonesia) serta Hoang Ha, Vietnam,” jelasnya.

Menyentuh motif burung pada gendang gangsa, kajian beliau lebih cenderung bahawa burung yang dipaparkan adalah burung pucung berdasarkan ciri leher dan muncung panjang, ekor kembang, bebola mata yang besar dan jelas.

Akuinya, ada juga penyelidik berpendapat motif berkenaan merujuk kepada burung bangau yang sinonim dengan aktiviti masyarakat Agraria.


GENDANG Dongson Kampung Sungai Lang.

INFO

1. Gendang Dongson Bukit Kuda

- Ditemui di Bukit Kuda, Selangor berlaku dalam 1944

2. Gendang Dongson Kampung Sungai Lang I & II

- Ditemui pada 1964 di bawah rumah Selamat Salleh

3. Gendang Dongson Kampung Sungai Sedu

- Ditemui pada 1996 di tebing Sungai Sedu yang terletak di daerah Langat, Selangor

4. Gendang Dongson Kampung Batu Buruk I & II

- Ditemui pada 1964 ketika jentolak Jabatan Kerja Raya (JKR) menjalankan kerja pembinaan di kawasan berkenaan.

5. Gendang Dongson Kampung Gaung

- Ditemui penduduk kampung pada 11 Mei 1996 di kawasan perkuburan di Kampung Gaung yang terletak kira-kira dua kilometer dari pusat bandar Jertih.

6. Gendang Dongson Kampung Pasir Garam

- Ditemui pada Disember 1926 apabila banjir besar berlaku dan melimpahi tebing Sungai Tembeling

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 9:58 AM