PAMERAN di Muzium Kaligrafi Sharjah.
Sairien Nafis
rencana@hmetro.com.my


MUNGKINKAH seorang hamba tawanan perang berbangsa Melayu dari Nusantara adalah manusia pertama yang berlayar mengelilingi dunia pada abad ke-16?

Inilah persoalan yang cuba dirungkaikan artis visual Ahmad Fuad Osman dalam karyanya bertajuk Enrique de Malacca Memorial Project (EDM) iaitu berkenaan pembantu peribadi kepada penjelajah Portugal, Ferdinand Magellan.

Pembantu yang dikenali dunia sebagai Enrique de Malacca atau Henry the Black ini turut disapa sebagai Panglima Awang.

Menurut Ahmad Fuad, memori ketika berumur 15 tahun saat pertama kali mentelaah buku lama bertajuk Panglima Awang tulisan Harun Aminurrashid yang akhirnya membawa kepada penghasilan karya EDM.

Karya berkenaan kini sedang dipertontonkan di Sharjah Bienalle 2019, bertempat di Muzium Kaligrafi Sharjah, Amiriah Arab Bersatu (UAE), bermula 7 Mac lalu hingga 10 Jun ini.

Ahmad Fuad berkata, inspirasi bagi menghasilkan karya EDM tercetus pada 2003 ketika dia berpindah dari Kuala Lumpur ke Melaka.

Namun, projek berskala besar ini sering tertangguh kerana memerlukan belanja besar. Akhirnya, idea ini berjaya dikembangkan pada penghujung 2015 selepas dia dihubungi kurator dari Singapore Biennale 2016 yang berminat untuk memberi dana bagi penghasilan karya ini.


ARCA Panglima Awang diperbuat daripada gentian kaca dan resin.

Karya EDM ini buat pertama kalinya dipersembahkan di Asian Civilization Museum, Singapura. Pameran selama tiga bulan itu berlangsung dari pertengahan Oktober 2016 sehingga awal Februari 2017 dan berjaya menarik perhatian ramai orang serta kurator dari pelbagai negara.

Jika dibandingkan, banyak penambahbaikkan dibuat bagi pameran terbaru ini dengan memberi sentuhan terakhir kepada lukisan Panglima Awang, penghasilan saluran video bertajuk waris Datuk Laut Dalam dan beberapa peta, cetakan serta objek baru. Muzik bagi video utama Imago Mundi turut diganti untuk pameran di Sharjah itu.

Menurut Ahmad Fuad, antara karya utama dalam EDM adalah arca Panglima Awang yang menggunakan gentian kaca dan resin berwarna gangsa.

Tambahnya, arca itu dibentuk dalam keadaan duduk untuk menyampaikan mesej rasa kerendahan diri berbanding tugu-tugu orang penting yang kebanyakannya berdiri.

“Posisi duduk ini lebih menggambarkan keadaan sebenar iaitu lebih kepada mangsa keadaan dan ‘wira spontan’ dalam konteks ‘wira pengemudian dunia,” katanya.

Proses pembikinan arca ini dilakukan di studionya yang bertempat di Bali, Indonesia.


AHMAD Fuad bersama karyanya Panglima Awang.

Selain arca, ada dua lagi karya utama iaitu lukisan cat minyak atas kanvas Panglima Awang dan projektor video berdurasi 13 minit.

Bagi menjayakan projek ini, Ahmad Fuad membuat kajian meliputi tiga negara utama membabitkan cerita dan sejarah ‘Enrique de Malacca’ iaitu Malaysia, Indonesia serta Filipina.

Ahmad Fuad yang berasal dari Baling, Kedah terkenal dalam menghasilkan karya hebat yang sebelum ini dipamerkan di galeri besar negara dan antarabangsa.

Antaranya Galeri Seni Visual Negara, Galeri Petronas Malaysia; Tacheles Berlin, Jerman; Pusat Seni Gertrude, Melbourne, Australia; Muzium Seni Guangdong China; Muzium Seni Yokohama, Jepun; Manes Gallery, Republik Czech dan Galeri Red Mill, di Vermont, Amerika Syarikat.


TERIMA sambutan menggalakkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 3:16 PM