ANAK yatim yang diraikan.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


PROJEK pembinaan sekolah khas dan hospital percuma kepada masyarakat Mesir, antara inisiatif terbaru bakal dilaksanakan Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia Cawangan Mesir (YDKMM Mesir).

Pengumuman ini disuarakan menerusi penganjuran program, ‘Bersamamu’ atau lebih dikenali sebagai ‘Ehna Ma’ak’ (bahasa Arab) kali ketiga sempena sambutan Hari Anak Yatim, di Bandar 10 Ramadhan, Syarqiyyah, baru-baru ini.

Program Ehna Ma’ak 2019 ini disertai 189 sukarelawan dari 10 negara, termasuk Mesir, Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, Bangladesh, Myanmar, Korea, Nigeria dan Somalia bagi meraikan 2,000 anak yatim Mesir.

Pelancaran projek pembinaan sekolah khas dan hospital percuma adalah usaha terbaru berbentuk kekal yang bakal memberi manfaat kepada seluruh masyarakat yang memerlukan di Mesir.

Susulan daripada program ini, Yayasan Ehna Ma’ak didaftarkan di Mesir sebelum projek pembinaan dimulakan di Bandar 10 Ramadhan.


ANTARA sukarelawan yang terbabit.

Selain itu, YDKMM Mesir turut menyampaikan sumbangan RM25,000 kepada pengurusan Nadi Ruwad bagi pembelian hadiah kepada anak yatim berkenaan. Sumbangan ini hasil pemberian rakyat Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei dan Myanmar.

Sukarelawan, Aisyah Hani Ahmad Darzi, 20, mengakui hatinya tersentuh apabila menyaksikan kehidupan anak yatim kehilangan bapa yang turut dilalui dirinya sendiri.

“Saya memahami situasi anak ini kerana saya juga tidak mempunyai bapa. Meskipun begitu, saya bersyukur dengan nikmat kesihatan kurniaan Allah kepada saya. Apatah lagi ramai dalam kalangan anak yatim yang hadir ini dikategorikan orang kurang upaya (OKU).

“Saya juga seronok apabila dapat meluangkan masa dengan anak ini secara lebih dekat. Banyak kisah tersirat dapat dikongsikan bersama saya.


AKTIVITI dilakukan bersama sukarelawan.

“Kisah ini tidak dapat mereka luahkan kepada orang awam terutama mengenai kedaifan hidup dan perjalanan harian tanpa bapa di sisi.

“Bagi saya, hakikatnya bukanlah kami yang menggembirakan mereka, sebaliknya mereka yang menggembirakan kami,” katanya dalam satu kenyataan media.

Sementara itu, Ahli Majlis Pengurusan Pertubuhan Kelab Ruwad, Amani Hafiz berkata, pihaknya berbesar hati dengan kerjasama YDKMM Mesir yang menyalurkan bantuan dan sumbangan rakyat Malaysia kepadanya.

Ujarnya, sumbangan sejak tahun lalu berjaya menggembirakan hati anak yatim berkenaan apabila mereka dapat menghabiskan masa berkualiti dengan pelajar dari 10 negara.


BAKAL dibina sekolah khas dan hospital di Bandar 10 Ramadhan

Jelasnya, Pertubuhan Kelab Ruwad terus memberi sokongan dan bantuan kepada YDKMM Mesir bagi menjayakan projek Ehna Ma’ak untuk membina sekolah dan hospital di Mesir.

Penganjuran program ini turut mendapat kerjasama daripada Education Malaysia Egypt (EME), Pertubuhan Amal Kebajikan Al-Azhar Malaysia (PAKAM), Pertubuhan Kelab Ruwad, Pertubuhan Syariyyah dan Syarikat Harvest Food.

Program ini turut menggabungkan rangkaian kerjasama dengan Persatuan Pelajar dan Mahasiswa Indonesia (PPMI), Perhimpunan Kebajikan Mahasiswa Singapura Di Mesir (PER­KEMAS), IMAM Melaka, Persatuan Myanmar, Persatuan Bangladesh, Haluan Mesir, Badan Kebajikan Pelajar Sabah Mesir (BKPSM) dan Majlis Tertinggi Pengurusan Anak Johor Mesir (MTPAJM).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 3:01 PM