PIKAN, 29 membuat bubu orang asli pada Semarak Muzium @ MSKOA 2019 di Laman Istana Satu, Muzium Negara. FOTO Owee Ah Chun.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

SEPERTI rakan sebaya lain yang seronok melakukan aktiviti seperti bermain muzik hingga tertubuhnya kumpulan sendiri dianggotai adik-beradik lain, Pikan Bahan tidak pernah tertarik untuk mewarisi kemahiran diungguli bapanya.

Tiada paksaan daripada bapa membuatkan lelaki berusia 29 tahun ini bebas melakukan pekerjaan lain bagi menampung kehidupan keluarga kecilnya di Kampung Pos Bersih, Slim River, Perak.

Seiring peningkatan usia dan kematangan fikiran, Pikan mula menyedari kemahiran bapa dalam menghasilkan bubu adalah satu daripada ikon budaya komuniti Orang Asli yang wajar dipelihara.

“Sejak kecil, saya tidak berminat mempelajari kemahiran membuat bubu daripada bapa, selain hanya tertarik untuk mencari ikan di sungai.

“Bermula tahun ini, saya mula menyedari membuat bubu adalah satu tradisi dalam kalangan komuniti kami dan generasi muda seperti saya perlu menggalas amanah untuk memperjuangkannya.

“Bubu adalah lambang adat Orang Asli, saya ingin mengekalkan tradisi itu. Tambahan pula, bapa antara orang yang handal menghasilkan bubu, jadi dia adalah individu tepat untuk saya berguru.


BUBU bulat.

“Sejak tiga bulan lalu saya mula berjinak-jinak dan mempelajari kemahiran membuat bubu.

“Kami menggunakan dua jenis bubu yang memiliki fungsi sama iaitu menangkap ikan sebagai juadah makanan sekeluarga. Ini kerana kami jarang menjual hasil tangkapan ikan kepada orang luar.

“Dua jenis bubu itu iaitu bubu bulat dan bubu panjang. Bubu bulat digunakan di kawasan perairan tenang seperti lubuk manakala bubu panjang lebih sesuai di kawasan air yang deras.

“Bubu bulat lebih menarik kerana kita boleh menangkap ikan bersaiz besar dengan lebih banyak kerana kapasiti dan ukurannya.

“Antara jenis ikan yang selalunya diperoleh adalah ikan tengas dan kaklimbat (keli),” katanya ketika ditemui pada program Semarak Muzium @ Muzium Seni Kraf Orang Asli di Muzium Negara, baru-baru ini.

Bagi menghasilkan bubu, pemuda berasal dari suku kaum Semai ini menggunakan batang pokok bertam yang hanya diperoleh di kawasan kaki bukit atau gunung.

Katanya, pokok bertam ini sukar dicari berdasarkan habitat dan kedudukan geografinya di kawasan tempat sejuk serta tinggi.

Menurut Pikan, bubu yang diperbuat daripada kayu bertam lebih tahan lama dan mudah dihiris berbanding rotan walaupun ukur lilitnya menyamai pergelangan tangan.

Kuantiti batang bertam diperlukan untuk menghasilkan bubu bulat bersaiz besar ialah enam dengan ukuran panjang empat kaki (30.5 sentimeter) manakala tiga batang bertam digunakan bagi bubu bersaiz kecil.

“Selepas proses mencari batang bertam berhasil, kayu ini akan dihiris nipis mengikut kesesuaian dan kemudian dijemur selama dua hari bagi memastikan ia lebih kuat. Namun ada juga yang tidak menjemurnya seperti bapa saya.

“Selain batang bertam, kami juga memerlukan rotan batu atau nama saintifiknya, ‘Calamus penicillatus Roxb’ juga dikenali sebagai rotan lilin atau rotan gunung sebagai tali pengikat bubu berkenaan.

“Bagi asas binaan membentuk bubu, kami menggunakan rotan ‘chonggung’ yang dipasang di bahagian kiri dan kanan untuk memastikannya kukuh,” kata bapa dua anak ini.


BERSAIZ besar untuk hasil tangkapan lebih banyak.

Sementara itu, bapanya, Bahan Kusiah, 48, berkata bagi memastikan pembuatan bubu kuat dan tahan lama, hanya kulit keras batang bertam diambil untuk dijadikan dinding bubu.

Kemudian, proses melilit rotan batu pada batang bertam perlu rapat dan kemas, oleh itu ikan yang terperangkap dalam bubu tidak dapat melepaskan diri.

“Pada badan bubu, terdapat ‘enyap’ berbentuk kon mengecil dan tajam ke bahagian dalam berfungsi sebagai laluan ikan masuk ke dalam bubu.

“Selalunya ‘enyap’ ini akan diikat kemas dan hanya dibuka apabila kita ingin mengambil hasil tangkapan pada hari berkenaan.

“Bubu bulat ini lebih sesuai digunakan di kawasan air tenang seperti lubuk dan lokasi ini antara kegemaran saya kerana selalunya ikan lebih besar.

“Bagi memasang bubu di lubuk, bubu ini akan diikat di dalam air dan dihadang dengan batu bagi mengelakkannya bergerak.

“Kemudian, tali di bahagian atas pula akan diikat pada pokok atau kayu berdekatan,” katanya yang sering menahan bubu pada masa lapang.

Menurutnya, bubu yang tahan lasak selalunya boleh dipakai selama tiga bulan bergantung kepada kekerapan penggunaannya.

Tegas Bahan, bubu adalah peralatan dalam budaya Orang Asli yang mesti dipelihara dan diperkasakan generasi muda.

Tidak menafikan kurangnya kesedaran dan minat dalam kalangan anak muda terhadap pembuatan bubu, lelaki ini berkata warisan budaya ini hanya dilakukan generasi lama.

Menguasai kemahiran menghasilkan bubu pada usia 17 tahun daripada bapanya, Bahan berkata idea untuk mempopularkan bubu perlu dilaksanakan.

Menyedari wujudnya permintaan terhadap bubu bulat, Bahan berkata produk ini boleh dijadikan hasil kraf tangan dan dijual kepada pelancong yang berkunjung ke perkampungan Orang Asli mahupun negara ini secara amnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 11:12 AM