PULAU Marmoset diperbuat daripada barang kitar semula.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

PULAU Marmoset antara pulau pertama buatan manusia dibina menggunakan barangan kitar semula seperti kepingan styrofoam dan botol plastik yang dilancarkan Sunway Lost World of Tambun sempena Earth Hour, baru-baru ini.

Pengurus Besarnya, Nurul Nuzairi Mohd Azahari berkata gerakan Earth Hour selaras dengan visi dan visi untuk merealisasikan ‘sustainable development goals’ (SDG).

“Kami berbesar hati menyertai inisiatif ini kerana menjadi tanggungjawab kami untuk mendidik masyarakat berkenaan kepentingan mengurangkan bahan buangan untuk kebaikan semua.

“Gerakan Earth Hour ini turut meningkatkan kesedaran dalam pelbagai cara yang boleh dilakukan bagi melindungi ruang hidup kita sebelum ia berubah menjadi sfera plastik.

“Penyertaan ini juga sebagai simbol komitmen kepada alam sekitar dan sokongan terhadap polisi perubahan iklim,” katanya dalam satu kenyataan media.

Earth Hour dianjurkan World Wide Fund for Nature (WWF) julung kali diadakan dengan acara menutup suis lampu di Sydney, Australia pada 2007.

Gerakan ini memberi inspirasi kepada bandar sedunia dan menyatukan orang ramai untuk mengambil bahagian dalam inisiatif ini bagi melindungi bumi dengan menjimatkan tenaga.

Sementara itu, lebih 440 kakitangan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (Pusat Konvensyen) bersama keluarga memeriahkan penyertaan kesembilan dalam Earth Hour.


SUNWAY Lost World of Tambun raikan Earth Hour.

Selain menutup lampu selama satu jam, acara ‘Makan Malam dalam Gelap untuk peserta yang memenangi pingat gangsa dalam cabaran ‘Earth Hour AEG 1Earth 2018 dan tayangan filem, ‘The Jungle Book’.

Antara aktiviti lain termasuk permainan berunsurkan pemuliharaan alam sekitar bagi menekankan inisiatif alam sekitar dan Earth Hour.

Pengurus Besarnya, Alan Pryor mengakui teruja dengan sokongan kakitangan Pusat Konvensyen dan keluarga mereka menyokong inisiatif #Connect2Earth.

“Acara tahunan ini menyediakan satu landasan untuk kami mengekalkan komitmen peribadi terhadap alam sekitar dan bersatu sebagai satu masyarakat global bagi melindungi bumi.

“Penyertaan ini adalah sebahagian penting daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahun.

“Ini antara komitmen Pusat Konvensyen menjalankan operasi dengan cara bertanggungjawab dan lestari sama ada kepada alam sekitar mahupun masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 10:14 AM