KEROMONG alat muzik gamelan utama.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


ALUNAN muzik diiringi gerak tarian gamelan yang mengasyikkan dipersembahkan aktres Maya Karin, menerusi filem Pontianak Harum Sundal Malam arahan Shuhaimi Baba membuktikan keindahan, kehebatan dan keunikan muzik berkenaan yang seharusnya diangkat menggunakan pelbagai medium bagi memartabatkan seni budaya negara dalam kalangan masyarakat.

Berdasarkan sejarah, seni gamelan dipercayai datang ke Tanah Melayu bermula dari istana Kesultanan Riau-Lingga sejak kurun ke-17 sebelum ia berkembang ke istana Pahang dan dikenali sebagai joget Pahang.

Perkembangan muzik gamelan ini kemudian berkembang ke Terengganu apabila perkahwinan Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah (putera Sultan Zainal Abidin III) dengan puteri Sultan Pahang, Sultan Ahmad iaitu Tengku Ampuan Mariam pada 1913.

Selepas kemangkatan Sultan Ahmad pada 1914, isteri baginda, Che Zubedah berhijrah ke Terengganu untuk bersama puterinya, Tengku Ampuan Mariam dan membawa bersama set gamelan miliknya.

Seni gamelan di Terengganu berkembang dengan usaha Tengku Ampuan Mariam diiringi sokongan padu suaminya.


TERDAPAT tiga jenis saron.

Pada 1920, Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah menubuhkan kumpulan Gamelan Terengganu dan menggunakan khidmat bekas pemuzik Pahang bagi melatih pemuda tempatan bermain gamelan.

Tengku Ampuan Mariam pula melatih gadis menari joget Pahang yang ditukar namanya menjadi tari gamelan Terengganu.

Apabila Perang Dunia Kedua meletus pada 1941 dan kemangkatan Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah yang juga penaung pada 1942, gamelan Terengganu seakan-akan terkubur dan set gamelan tersimpan rapi di Istana Kolam iaitu kediaman Tengku Ampuan Mariam.

Selepas lebih 20 tahun, seni gamelan kembali apabila pengkaji seni bina Melayu, Mubin Sheppard menemui set gamelan berkenaan ketika melawat Istana Kolam dan mendapatkan keizinan Tengku Ampuan Mariam untuk menghidupkan semula gamelan Terengganu.

Bermula 1970, seni muzik gamelan mula dipertontonkan kepada orang awam yang sebelum ini hanya eksklusif sebagai hiburan istana.

Pada 1973, set gamelan yang terdapat di Istana Kolam diserahkan kepada Kerajaan Pahang dan kini dipamerkan di Muzium Sultan Abu Bakar, di Pekan.


KENONG diperbuat daripada gangsa.

Tokoh muzik gamelan Melayu, Othman Abdullah yang mesra disapa Pak Othman berkata terdapat beberapa jenis kesenian gamelan seperti gamelan Melayu, gamelan Jawa, gamelan Sunda dan gamelan Bali.

“Setiap muzik gamelan ini mempunyai perbezaan dan identiti tersendiri sama ada cita rasa muzik yang diubah suai, nada suara serta gerak tarinya.

“Perbezaan ini dapat dikenal pasti oleh orang seni, bagi mereka yang masih baru mungkin agak sukar membezakannya.

“Pengubahsuaian ini perlu dilakukan untuk membezakan setiap jenis gamelan bagi melambangkan jati diri orang Melayu Malaysia.

“Gamelan Melayu mempunyai kehebatan tersendiri cuma pengetahuan berkenaan gamelan kita tidak terlalu meluas di Indonesia malah ada segelintir mereka di sana tidak menyedari hakikat ini.

“Seni muzik gamelan sebenarnya sudah dikenali seluruh dunia. Malah saya sendiri pernah mengajar gamelan di London dan ia meninggalkan rasa puas tidak terhingga kerana dapat menyebar luas muzik ini ke luar negara.

“Mendidik pelajar asing seperti dari Korea Selatan, Jepun dan Eropah, saya perlu mengakui perkembangan gamelan Melayu masih tidak sehebat Indonesia yang sememangnya dikenali dengan kehebatannya,” katanya dalam sesi bual bicara sempena Festival Gamelan Istana Budaya, minggu lalu.

Berkongsi cabaran memperhebatkan gamelan Melayu, anak kepada primadona tarian gamelan, Adnan Abdullah ini berkata, melengkapi segala-galanya dalam gamelan adalah syarat utama untuk menjadi hebat.


GENDANG diperbuat daripada kulit kambing atau lembu.

Katanya, anak tempatan sudah hebat daripada segi permainan alat muzik gamelan, namun kekurangan kita terletak pada pembuatan instrumen gamelan yang masih bergantung dari Indonesia.

Beliau berkata, kita tidak mempunyai kemahiran dan pengetahuan untuk menghasilkan alat muzik ini. Oleh itu, kita perlu mencari jalan untuk mempelajari kemahiran menghasilkan alat muzik gamelan ini.

Antara cabaran lain, Pak Othman juga mengakui teknik melaras suara perlu diperbaiki, malah sebaik-baiknya inisiatif menghantar anak tempatan ke luar negara untuk mempelajari ilmu laras suara turut dilaksanakan.

Beliau turut mendedahkan pernah mencari peluang membawa anak muda tempatan mempelajari teknik melaras suara.

Optimis dengan sokongan kerajaan, Othman juga yakin kementerian turut mempunyai peruntukan tertentu bagi kursus sedemikian bagi memartabatkan lagi kesenian ini.

Menurutnya, beliau turut menerima sokongan positif daripada pihak Indonesia yang sentiasa terbuka dan menggalakkan penyertaan dari Malaysia.

Katanya, pada masa sama, rakyat Malaysia juga perlu terbuka untuk mempelawa orang luar mempelajari gamelan Melayu, seterusnya berharap ia dapat disebarkan ke tempat asal individu berkenaan.

Berkecimpung dalam seni gamelan sejak berusia 17 tahun, Othman mengakui jiwanya lebih dekat dengan komposisi irama tradisional namun tidak menolak genre moden.


GAMELAN terbahagi kepada beberapa jenis.

INFO: (Sumber: Jabatan Muzium Malaysia)

Alat muzik gamelan

1. Keromong

-Juga dikenali sebagai bonang yang dikategorikan idiofon.

-Alat utama akan memulakan muzik pembukaan, diikuti alat muzik lain.

-Bentuk seperti kendi

-Sifat bunyinya berprinsipkan dengung.

-Terdapat 12 gong bersaiz kecil disusun di atas tempat dicipta khas.

-Gong kecil diperbuat daripada gangsa.

2. Gambang

-Terdiri daripada sejumlah kepingan kayu keras disusun di atas kotak kayu.

-Berfungsi sebagai penyalun bunyi

-Kepingan kayu dipukul menggunakan sepasang pemukul kayu berbalut.

3. Saron

-Terdiri daripada tiga jenis, saron demong, saron barung dan saron perkin.

-Setiap saron ini dibezakan melalui saiz dan bunyi.

-Saron ini mempunyai enam bilah gangsa yang disusun dan dipukul menggunakan penukul berdasarkan bunyi tertentu.

-Saiz saron demong lebih besar dan saron peking paling kecil.

4. Kenong

-Alat yang dibuat daripada gangsa.

-Berfungsi sebagai alat kolotomik dalam muzik gamelan.

-Terdiri daripada lima gong bersaiz sederhana.

-Ia diletakkan di tempat lebih tinggi.

5. Gendang

-Permukaannya diperbuat daripada kulit kambing atau lembu yang diregangkan menggunakan rotan.

-Baluhnya diperbuat daripada jenis kayu keras.

6. Gong

-Diperbuat daripada logam seperti gangsa, tembaga atau besi menggunakan teknik acuan.

-Digantung pada rak kayu dan dipukul pada bahagian busut menggunakan sebatang pemukul kayu berbalut.

-Alat utama menjadi pelengkap satu gubahan muzik gamelan.


OTHMAN

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 8:02 AM