ASINGKAN sampah ikut kategori.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


SIKAP mementingkan diri individu hingga sanggup melakukan pencemaran sumber air terutama di sungai kini semakin menjadi-jadi.

Ini terbukti dengan pendedahan media berkenaan pencemaran sungai dengan bahan sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor yang menggemparkan seluruh tanah air baru-baru ini.

Menyedari kepentingan sumber bekalan air utama, Harta Maintenance Sdn Bhd bersama Trash Hero Malaysia melaksanakan program khidmat masyarakat membersihkan Sungai Gabai, Hulu Langat, Selangor, 24 Februari lalu.

Seramai 55 sukarelawan yang menyertai usaha meningkatkan kesedaran berkenaan kepentingan kebersihan sungai dalam kehidupan.

Setiausaha Trash Hero Malaysia, Faisal Abdur Rani, berkata pihaknya sentiasa aktif dalam aktiviti menggalakkan lebih ramai penyertaan awam melakukan aktiviti pembersihan sungai.

“Menerusi pembabitan lebih ramai orang, kita berharap ia akan meluaskan lagi aktiviti pembersihan sungai.

“Bukan itu saja, kita juga ingin meningkatkan lagi kefahaman masyarakat berkenaan ancaman air tadahan yang tercemar kepada kesihatan.


INGIN sebar mesej penjagaan sungai.

“Selain itu, bersama-sama memulihkan kembali sumber air yang digunakan untuk kehidupan seharian dan rekreasi.

“Paling utama, melalui aktiviti pembersihan ini, kita berharap isu pembuangan sampah dan pengurusan sisa di Malaysia dapat ditangani.

“Setiap kali aktiviti mencuci sungai dijalankan, kita akan mengasingkan sampah untuk meminimumkan sisa yang akan pergi ke tapak pelupusan seperti plastik dan barangan tidak mudah lupus hingga mengakibatkan pencemaran,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam program berkenaan, sukarelawan mengutip tin, botol, kepingan logam, bekas bungkusan makanan, kain dan plastik yang dibuang di Sungai Gabai.


SERAMAI 55 sukarelawan.

Sukarelawan berjaya mengumpulkan sampah keseluruhan 243.48 kilogram (kg) dengan 20.52 kg yang boleh dikitar semula selepas diasingkan.

Program pembersihan Sungai Gabai ini berjaya mengurangkan kira-kira 8.43 peratus sisa yang akan pergi ke tapak pelupusan sampah.

Sementara itu, Eksekutif Komunikasi Korporat Harta Maintenance, Fakhira Zaid berkata selaku rakan penjagaan persekitaran lestari sejak 1980, pihaknya yakin bumi adalah harta diamanahkan untuk dipelihara bagi generasi akan datang.

“Buat pertama kalinya, kita bekerjasama dengan Trash Hero Malaysia melakukan program pembersihan sungai.

“Kita sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan organisasi lain bagi acara seperti ini pada masa akan datang.

“Kita akan terus berusaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan melindungi alam semula jadi daripada pencemaran serta membaikpulih kualiti alam sekitar di Malaysia,” katanya.

Menurutnya lagi, Harta Maintenance turut aktif dalam aktiviti tanggungjawab sosial korporat lain termasuk pembersihan kawasan surau, program kelestarian, pengurusan tenaga, program penanaman pokok, kempen penggunaan air, dan program tandas bersih untuk perlindungan alam sekitar ke arah kehidupan yang lebih lestari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 7:00 AM