PEMERIKSAAN warna dijalankan.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

RAMAI beranggapan murid yang tidak mendapat keputusan cemerlang disebabkan lemah dan gagal memberi tumpuan ketika guru mengajar.

Sedangkan ada kemungkinan lain yang tidak disedari guru atau ibu bapa seperti masalah penglihatan menjadi kekangan untuk mereka menjadi pelajar cemerlang.

Itu antara masalah yang dikenal pasti badan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Optometris Kita yang terdiri daripada sekumpulan pakar mata ketika menjalankan program Kempen Sayangi Mata Anda di sekolah sekitar Selangor.

Persatuan itu yang bekerjasama dengan institusi pengajian swasta UCSI University, mendapati masalah penglihatan dalam kalangan murid sekolah membimbangkan apatah lagi ia tidak disedari ibu bapa mahupun guru.

Menurut wakil persatuan itu, Nor Diyana Hani Ghani, 31, pihaknya mendapati dalam pemeriksaan kesihatan fizikal lain yang berkala, mata atau deria penglihatan jarang diberi perhatian.


PELAJAR terbabit dalam program Persatuan Optometris Kami.

Ramai ibu bapa mahupun pihak sekolah kurang menyedari murid yang keciciran dalam akademik disebabkan masalah penglihatan bukannya lemah atau tidak pandai.

“Pada tahun ini kami jalankan kempen Sayangi Mata Anda sebaik menyedari ramai murid sekolah rendah didapati kurang mendapat perhatian apabila berhadapan masalah penglihatan.

“Maklumlah ibu bapa tidak menyangka seawal usia prasekolah lagi anak mereka menghadapi masalah penglihatan apatah lagi gangguan itu tidak begitu ketara.

“Masalah itu boleh menyebabkan murid terbabit tidak boleh membaca selain ketinggalan di dalam kelas. Apabila kami lakukan saringan mata dan bantuan diberikan, murid yang awalnya dari kelas tercorot boleh belajar dengan baik.

“Anggaran 30 peratus pelajar memerlukan cermin mata dan 20 peratus pelajar tidak tahu mereka sebenarnya mempunyai masalah penglihatan. Ada juga pelajar yang rabun dan tidak dapat memakai cermin mata disebabkan masalah kewangan.


SUKARELAWAN terdiri daripada pakar mata dan penuntut dari UCSI University.

“Daripada saringan ini juga, kami mendapati satu hingga dua peratus pelajar mempunyai masalah rabun warna,” katanya.

Tambah Nor Diyana, selain faktor genetik masalah itu dipengaruhi gaya hidup masa kini yang mendedahkan kanak-kanak kepada peralatan teknologi termasuk televisyen, komputer dan telefon pintar sejak bayi. Semakin terang cahaya daripada gajet, maka semakin mudahlah daya penglihatan kanak-kanak menjadi lemah.

“Lebih memburukkan keadaan jika ibu bapa tidak menyedari masalah yang dihadapi anak mereka. Perkara ini akan berlanjutan tahun ke tahun dan akhirnya jadi semakin teruk kerana tiada usaha untuk menjaga mata. Malah ada juga kanak-kanak prasekolah yang sudah mengalami masalah penglihatan,” katanya.

Persatuannya itu memulakan usaha mendekati masyarakat sejak 2016 ketika ini bergerak dengan dana sumbangan perseorangan selain sokongan UCSI.

“Tahun ini kami berkolaborasi dengan UCSI. Meskipun mendapat banyak sokongan, kami masih memerlukan bantuan khususnya dari segi dana daripada pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, korporat mahupun individu bagi membolehkan kami bergerak secara konsisten,” katanya.

Melalui inisiatif lain, tetapi dengan objektif sama, ‘Vision For Education’ pula membabitkan bantuan cermin mata percuma kepada anak asnaf yang menghadapi gangguan penglihatan, tetapi tidak mampu membeli cermin mata.


CERAMAH Kempen Sayangi Mata Anda.

“Kami berkolaborasi dengan Prudential BSN Takaful bagi membeli kaca mata sesuai dengan masalah mata kanak-kanak berkenaan,” katanya.

Bagi pihak yang berhasrat untuk menyumbang atau menyertai aktiviti kebajikan dilakukan persatuan berkenaan boleh mengunjungi laman Facebook Our Optometris Association.

Antara aktiviti yang sudah dijalankan adalah Cermin Mata Untuk Semua, Kamiprihatin di Long Bedian, Kembali Ke Sekolah di Pulau Banggi pada 2018 dan 2019. Untuk mengisi program, mereka mengadakan ceramah mengenai penjagaan kesihatan mata, pemeriksaan mata percuma bagi masalah buta warna, juling dan rabun. Cermin mata percuma disediakan untuk mereka yang layak seperti asnaf, fakir miskin dan anak yatm.

Jika pelajar mempunyai masalah mata, mereka akan dirujuk ke klinik mata School of Optometry UCSI University untuk mendapatkan rawatan lanjut secara percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 11:00 AM