FITRIAH Roslan bersama karyanya pada RRRAWRR Maybank's Emerging Women Artists Show 2019 di menara Maybank, Kuala Lumpur. -FOTO: Syarafiq Abd Samad
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

KISAH legenda orang Melayu, Singapura Dilanggar Todak, menjadi inspirasi kepada Fitriah Roslan, 26, (gambar) menghasilkan karya unik menggunakan medium cat minyak atas kanvas.

Namun, matlamat asal pelukis wanita ini adalah menggambarkan permusuhan antara manusia dan alam yang sudah berlaku sejak dahulu lagi dan bagaikan tiada kesudahan.

Pelbagai persoalan timbul di mindanya, siapakah yang akan menang? Apakah yang akan berlaku jika situasi itu terjadi zaman sekarang? Bagaimana manusia ingin menyelamatkan diri dengan teknologi moden?

“Dalam karya ini saya gambarkan situasinya berbeza seiring dengan zaman. Jika dalam legenda itu manusia menggunakan batang pokok pisang sebagai perisai daripada ancaman muncung todak yang tajam, saya andaikan manusia mengerahkan pasukan tentera lengkap senjata terkini jika ia berlaku hari ini.

“Sebagai parodinya, manusia yang mempertahankan diri daripada serangan todak itu digambarkan sebagai tentera mainan berwarna hijau, manakala ikan itu tidak henti-henti menyerang dengan naluri semula jadinya,” katanya.

LAKARAN SENI

Lukisan dengan teknik aising bertajuk Man vs Nature itu antara 34 karya seni dihasilkan artis wanita sempena pameran seni RRRWARRR!!! Maybank’s Emerging Women Artists Show 2019’ yang berlangsung di Balai Seni Maybank, Menara Maybank, Kuala Lumpur bermula 8 hingga 23 Mac ini.

Program kali ke-2 dianjurkan Yayasan Maybank itu untuk meraikan sambutan Hari Wanita Sedunia dan sebagai usaha untuk meningkatkan kesedaran awam berkenaan pengorbanan, pencapaian dan sumbangan kaum Hawa.


NORA (berdiri tujuh dari kanan) bersama pelukis wanita yang mengambil bahagian.

Pameran ini juga membawa bersama tema pergerakan global #BalanceforBetter dan diteruskan untuk mempamerkan pelbagai bentuk, dimensi serta medium karya seni. Malah, karya yang dipamerkan juga dibuka untuk jualan dengan 20 peratus keuntungan akan disalurkan kepada organisasi kebajikan yang disertai artis wanita berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Maybank Shahril Azuar Jimin berkata, pameran itu bermatlamat meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai untuk menghormati dan menghargai peranan wanita dalam setiap aspek kemasyarakatan.

“Kami sangat berbangga dapat menjadi sebahagian dalam kebangkitan individu sangat berkuasa yang berani ke depan untuk meluahkan pandangan mereka menerusi karya seni menakjubkan sekali gus menggambarkan kehidupan harian seseorang wanita.


POTRET diri menjadi terapi kepada Dhaniya.

“Oleh itu, kami kekal komited memainkan peranan dalam memperjuangkan inisiatif wanita pertama dengan mewujudkan platform seperti Balai Seni Maybank ini. Ia adalah hasrat kami untuk menyokong pembangunan artis wanita seterusnya mengembangkan seni tempatan sekali gus mewujudkan impak positif yang berpanjangan dalam komuniti selari dengan misi kami untuk ‘memanusiakan’ perkhidmatan kewangan,” katanya.

Pameran seni itu dilancarkan Shahril Azuar bersama Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Maybank, Nora Abdul dan Ahli Lembaga Amanah Yayasan Maybank, Datuk V Danapalan.

Seorang lagi peserta pameran, Dhaniya Yusof, 22, berkata karya seninya yang bertajuk Roots with No Ends menjelajah naluri identitinya, di samping sifat kewanitaan.

“Karya yang dihasilkan menggunakan medium cetakan atas kanvas ini juga sebahagian terapi dalam situasi sukar yang dilalui. Ia dihasilkan tiga siri dan satu daripadanya adalah potret diri untuk meredakan rasa tidak selamat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 5:00 AM