Daud Yusoff menunjukkan cara membuat mengunakan perak pada program Yayasan Hasanah Kelantan Silver Art Exhibition di Carcosa Seri Negara, Kuala Lumpur. FOTO Syarafiq Abd Samad
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

DARIPADA Empayar Rom hingga kepada Kesultanan Melayu di Nusantara, perak menjadi elemen penting selain emas sebagai hiasan mahupun pembuatan barang keperluan dalam istana dipaparkan drama epik atau sejarah.

Pasti ada adegan yang memaparkan golongan bangsawan Eropah menikmati hidangan menggunakan gelas atau set pinggan termasuk sudu dan garpu diperbuat daripada perak.

Tidak kurang juga filem dari China mahupun Korea, setiap kali maharaja mahu menikmati hidangan, pastinya ada penyepit makanan daripada material sama digunakan terlebih dulu untuk menguji racun dalam hidangan terbabit.

Acap kali melihat sorotan itu memberi gambaran betapa perak sangat penting satu ketika dulu dan begitu juga pembuatnya.


ANTARA barangan dihasilkan tukang perak Kelantan.

Malah kehebatan tukang perak tempatan terutama dari negeri Cik Siti Wan Kembang pernah mendapat pengiktirafan dunia yang mengakui hasil kerja mereka berkualiti tinggi dan mempunyai kelas tersendiri.

Menurut pakar pertukangan perak yang terkenal di Kelantan, Mohamed @ Mohd Daud Yusoff, 70, proses pembuatannya rumit dan memerlukan ketelitian menyebabkan tidak ramai generasi muda berminat menceburi bidang berkenaan.

“Kena ada minat dan ketekunan. Malah tukang perak perlu belajar dalam tempoh lama sebelum boleh kuasai skil pertukangannya. Nama pun kerja tangan dan seni, jadi tentu saja perlu berguru.

“Saya sendiri berguru dengan bapa saudara, Wan Jaafar Ahmad, sebaik saja tamat persekolahan. Selepas tiga tahun berguru, barulah saya benar-benar yakin dan bekerja dengan syarikat pertukangan perak tersohor ketika itu, Mat Salleh & Son pada 1967.

“Atas faktor itu, pembuatan perak yang memerlukan ketekunan dan fokus yang tinggi menyebabkan tidak ramai orang mahu menceburi bidang ini.

“Walaupun begitu, kerja tangan tukang perak mempunyai keistimewaan disebabkan hasil kerja yang halus, dinamik dan mempunyai nilai estetika tersendiri,” katanya.


KERIS antara barang kebesaran sering mendapat sentuhan tukang perak.

Sebaik ditanya mengapa tukang perak Kelantan sentiasa ditagih, kata pemilik kedai pertukangan DY Silver Craft Pengkalan Chepa Kelantan ini, warisan budaya dan jati diri tinggi menjadikan sentuhan setiap tukang perak dari negeri itu begitu istimewa.

“Ilham saya ialah semua yang dekat dengan saya. Kalau lihat motif yang digunakan adalah pelbagai mengikut permintaan pelanggan. Jika berdasarkan tradisi, tukang perak Kelantan biasanya akan menggunakan unsur seperti wau, bunga dan daun.

“Setiap corak untuk pembuatan perak akan membezakan asal usulnya sama ada budaya Melayu atau masyarakat lain selain ada maksudnya,” katanya.

Tidak dinafikan selain memerlukan tempoh pembelajaran yang lama, tukang perak turut berdepan dengan kesukaran apabila harga perak yang turun naik.


ANTARA barang yang dihasilkan.

Katanya, pada satu-satu masa, harga bahan mentah itu boleh naik sehingga RM5,000 dan turun mendadak sehingga RM1,000 sekilogram.

Menyedari tidak ramai pembabitan golongan muda dalam mewarisi pertukangan perak, sebuah yayasan di bawah Khazanah Nasional iaitu Yayasan Hasanah mengambil pendekatan untuk meluaskan prospek produk perak ke peringkat dunia menerusi kolaborasi dengan pihak industri terbabit.

Ia dilaksanakan menerusi Projek Kasut Perak Kelantan iaitu menggabungkan pembuat perak tradisi dengan pereka kasut antarabangsa dalam meningkatkan kebolehpasaran produk yang dihasilkan tukang perak terbabit.

Menurut Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Shahira Ahmed Bazari, inisiatif itu diharap akan menarik perhatian golongan muda terutama belia dalam mewarisi seni warisan tempatan.


KEHALUSAN kerja tangan perak Kelantan.

“Ini antara satu usaha atau sumbangan Yayasan Hasanah dalam membantu memelihara warisan budaya bangsa menerusi kemahiran seni kraf tangan tempatan yang mana kita lihat semakin terancam kerana tiada pelapis mewarisinya.

“Malah kajian oleh Kraftangan Malaysia dan Tradisi Busana PR Sdn Bhd yang memperlihatkan bilangan pembuat atau tukang perak kini kurang daripada 40 orang berbanding 200 pada 1995.

“Kami bekerjasama rapat dengan penggiat industri sendiri dan seorang daripadanya ialah protege kepada pereka kasut selebriti Jimmy Choo iaitu Dodi Mohammad yang mahu memelihara seni tukang perak dengan menggabungkan dalam rekaan kasut,” katanya.

Kata Shahira, projek berkenaan bermula dengan bengkel dan bimbingan selain mengenal pasti padanan rekaan kasut dan perincian perak bersesuaian dengan tukang perak terbabit.

Ia berlangsung selama lapan bulan membabitkan lima tukang perak sekitar Kelantan termasuk Pak Daud dari Pengkalan Chepa, sementara yang lain Zaini Arif, Suhaimi Mat Jusoh dan Razak Ismail pula berasal dari Tumpat dan Kota Bharu.

Sementara itu, anak kepada tukang perak Tumpat, Suhaimi Mat Jusoh iaitu Muhamad Khairi Suhaimi, 24, berkata, selepas tamat pengajian di universiti minat itu mula timbul apabila menyedari keistimewaan dimiliki pada motif barangan perak Kelantan.

“Saya dan adik, Muhammad Azim, 20, baru belajar mengetuk dan perlu pelajari berbulan lamanya. Memang mesin ada tetapi kalau inginkan hasil halus dan cantik, tangan masih main peranan besar. Memang mereka yang sabar dan minat boleh tahan lama dalam bidang ini,” katanya berharap dapat menguasai ilmu pembuatan perak daripada orang tuanya.


MENARIK minat pelbagai golongan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 12:14 PM