MASJID BULAT di Petaling Jaya perlu dinaik taraf seiring arus kemodenan. FOTO Asyraf Hamzah
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

BAGI yang biasa dengan kawasan Petaling Jaya, Selangor, pasti sedar kewujudan Masjid Bulat yang terletak di persimpangan antara Jalan Semangat dan Jalan Dato Abdul Aziz, Seksyen 14 ini.

Masjid Bulat yang berusia 42 tahun dan menjadi bangunan ikonik bandar raya berkenaan sebenarnya gelaran kepada Masjid Tun Abdul Aziz (MTAA). Nama jolokan itu diberikan berikutan rekaan bangunannya yang berbentuk bulat.

Reka bentuknya mendapat sentuhan John Ho, arkitek dari Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor menerapkan seni bina eklektik menggabungkan gaya Mughal dan Arab lalu menghasilkan struktur bulat yang moden.

Masjid itu dinamakan sempena bekas Menteri Besar Selangor yang berkhidmat pada 1954 iaitu Tun Abdul Aziz Abdul Majid. Selain berfungsi sebagai tempat beribadat dan aktiviti keagamaan, masjid ini turut menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, kelas al-Quran dan fardu ain (KAFA).


KOLAH tempat mengambil wuduk.

Namun demikian, kemudahan masjid berkenaan didapati semakin usang berikutan tidak pernah dinaik taraf sejak ditubuhkan. Pihak masjid kini mencari dana untuk menaik taraf Masjid Bulat seiring dengan arus pemodenan di sekelilingnya.

Nazir MTAA, Dr Hamzah Darus berkata, fungsi masjid kini sudah berubah apabila ia bukan sekadar tempat untuk umat Islam beribadat, malah semakin dinamik sebagai pusat kegiatan masyarakat.

“Walaupun landskap Petaling Jaya sudah berubah hingga diiktiraf sebagai bandar raya, kemudahan di masjid ini tidak setaraf dengan kemodenan yang sedang pesat membangun di sekelilingnya.

“Masjid ini masih menggunakan air kolah untuk berwuduk sedangkan kebanyakan masjid lama yang sudah dinaik taraf mempunyai kemudahan lebih sempurna. Masalah lain seperti kemudahan pendingin hawa yang hanya berfungsi di ruangan tertentu.

“Pertambahan ahli kariah turut menimbulkan kesesakan luar biasa setiap kali menjelangnya solat Jumaat dan solat hari raya. Masjid ini dibina dengan kapasiti untuk menampung sehingga 3,000 jemaah, tetapi kini meningkat sehingga 4,500 orang,” katanya.


RUANG solat yang masih menggunakan sistem pendingin hawa lama.

Menurutnya, pihaknya memerlukan dana antara RM7 juta hingga RM8 juta dengan fokus utama untuk membesarkan dewan solat, membina kemudahan lif bagi warga emas dan orang kurang upaya, membaik pulih kemudahan tandas dan tempat wuduk serta naik taraf kemudahan kelas KAFA.

“Hasrat kami menjadikan masjid ini sebagai tapak untuk kemudahan komuniti pelbagai bangsa dan agama. Memandangkan lokasinya dalam kawasan kejiranan bercampur membolehkan masjid ini menjadi lokasi perkumpulan umat Islam dan bukan Islam, sekali gus mewujudkan persefahaman antara agama,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Jenama NY Steak Shack, Muhammad Adam Mah berkata, pihaknya berasa terpanggil untuk membantu mengumpul dana infrastruktur dan menganjurkan kempen ‘Share The Love’ apabila melihat kemudahan masjid berkenaan yang serba kekurangan.

“Kempen ini adalah inisiatif yang dilaksanakan untuk mengumpul dana bagi mengatasi kekurangan kemudahan di masjid berkenaan seterusnya menyediakan keselesaan kepada jemaah.

“Menerusi kempen ini, pelanggan NY Steak Shack boleh membuat sumbangan terus ke tabung derma yang diletakkan di lapan cawangan di Sunway Velocity, Sunway Pyramid, IOI City Mall, Subang Parade, AEON Mall Shah Alam, Sogo Kuala Lumpur, Alamanda Putrajaya dan Melawati Mall.

“Orang ramai juga boleh membuat serahan cek atas nama Tabung Pembangunan MTAA yang dihantar terus kepada pihak pengurusan masjid atau menyumbang atas talian ke akaun masjid berkenaan,” katanya yang menyasarkan fasa pertama projek naik taraf akan bermula pada Jun ini.


TABUNG derma diserahkan Muhammad Adam (kanan) kepada Dr Hamzah (tengah) sambil diperhatikan Ketua Eksekutif MTAA, Sohaimi Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 11:28 AM