RUANG pameran untuk karya residensi.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

BELUM ramai yang tahu di Jalan 16/4, Seksyen 16, Petaling Jaya, Selangor ada ruangan yang biasa digunakan pengkarya mahupun komuniti seni untuk mengadakan bengkel, pameran, dialog atau sekadar berkumpul. Ruangan itu adalah Rumah Seni Selangor (RUsSel).

Bagi yang belum pernah ke sana, di bahagian depan rumah seni ini kelihatan seperti banglo biasa. Kediaman dua tingkat itu sunyi walaupun betul-betul di tepi jalan yang menjadi laluan menuju pusat bandar dan ibu negara. Mungkin kerana pohon besar merimbun yang tumbuh di sepanjang jalan menjadi penebat hingar.


RUMAH seni beroperasi di banglo sunyi, namun meriah dengan aktiviti seni.

Mood yang tercipta saat berada di rumah seni ini adalah tenang, nyaman dan fokus. Tidak kedengaran langsung deruan kenderaan. Suasana itu tercipta kerana letak ruangan ini berada di kawasan perumahan banglo lama apabila suara hiruk-pikuk ditenggelamkan oleh bunyi daun dan ranting pohon tua yang berlaga antara satu sama lain akibat desiran angin.

RUsSEL ini menyediakan ruangan bagi segala macam kreativiti dan seni dengan harapan tidak hanya pelukis bersama lukisannya yang boleh memanfaatkan galeri, tetapi turut boleh mengubah seni dalam bentuk lebih luas. Tempat ini terbuka kepada umum, siapa pun boleh menunjukkan hasil karyanya.

Dibuka sejak setahun lalu, ia adalah inisiatif Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, ketika beliau memegang jawatan Exco Pembangunan Generasi Muda dan Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan. RUsSEL juga berada di bawah induk Kota Seni Petaling Jaya kelolaan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Penolong Pengurus RUsSEL, Alina Abdullah berkata, biarpun lokasinya terpencil dan sunyi, rumah seni itu yang mempunyai ruang koloni untuk artis, tiga ruang modular lain seperti galeri, anjung acara serta sudut baca sering diserikan dengan pelbagai kegiatan seni.

“Anjung acara menyediakan ruang bagi program bengkel seni sama ada bengkel seni tampak mahupun seni kraf yang diadakan hampir setiap bulan. Bengkel seni tampak tertumpu pada seni lukis dan seni catan berkonsep ‘live drawing.’


PENOLONG Pengurus RUsSEL, Alina Abdullah.

“Bengkel seni kraf pula menumpukan aktiviti kraf tradisi dan bukan tradisi. Turut diadakan bengkel yang bersifat vokasional dan teknikal antaranya pertukangan kayu, pembuatan barangan kraf kulit serta penghasilan seni kraf batik.

“Rumah seni ini juga membuka ruang modular berkenaan kepada pelajar dan penggiat seni lain untuk memanfaatkan ruangannya dengan cara yang optimum. Pada ketika ini, RUsSEL satu-satunya ruang seni yang beroperasi dengan gaya sebegini di Selangor,” katanya.

Katanya, selain beliau, penggerak utama RUsSEL iaitu kurator, Suddin Lappo dibantu rakan seni lain seperti Anwar Azhari yang menguruskan ruang galeri, Zulkiflee Zainul Abidin dan M Farez Karim yang mengendalikan ruang serta program bengkel seni.


SUDDIN (kiri) berbincang dengan seorang residensi baru, Fadhli Ariffin.

]

“RUsSEL turut menawarkan program residensi seni yang membantu bakat muda mencari tapak dan memulakan langkah dalam lapangan seni visual. Residensi ialah inkubator bagi produktiviti artis, selain peluang membina rangkaian dan hubungan serta inspirasi.

“Program residensi dilakukan dua kali setahun dengan setiap sesi membabitkan tiga artis daripada pelbagai latar belakang seni sama ada cetak, catan, seramik atau ukiran. Artis residensi akan berkoloni di rumah seni dalam tempoh lima bulan. Di penghujung tempoh residensi atau pada bulan keenam, mereka diharap menghasilkan beberapa karya untuk dipamer dan dijual.

“Sepanjang program berlangsung, mereka tidak sekadar berada di studio menghasilkan karya, sebaliknya turut didedahkan dengan apa jua ilmu kesenian, kritikan, pasaran seni, pertemuan dengan kurator galeri dan pengumpul seni serta membuat rangkaian dengan kumpulan dan studio seni yang lain,” katanya.


BENGKEL pertukangan kayu untuk pengarca mencurah kreativiti.

Alina berkata, menjadi matlamat RUsSEL apabila program residensi ini bukan sekadar untuk memantapkan diri, malah diharapkan bakat yang terpilih berkenaan mampu menghasilkan karya di luar zon selesa mereka, di samping dapat menyumbang sesuatu yang berguna kepada komuniti dan lingkungan setempat.

“Pengambilan tiga artis pertama dibuat pertengahan tahun lalu membabitkan Mat Ramli Mansor yang mempunyai pengkhususan dalam arca yang bermediumkan kayu, Arina Kiswantoh (forte melukis figura naif semi abstrak) dan Anasuha Suhairi yang gemar merakam figura yang peribadi.

“Tiga artis baru sudah memulakan program residensi kedua sejak Februari lalu dan dijangka mempamerkan karya mereka pada Julai ini.

“RUsSEL juga diharap dapat menjadi jambatan kumpulan seni lain dan saling bergantung atas nama seni. Jaringan seni sebegini akan menjadi pemangkin lingkungan seni setempat demi meluaskan peranan dan fungsi seni dalam komuniti,” katanya.

Beliau berkata, penubuhan RUsSEL secara tidak langsung merealisasikan hasrat penggerak seni yang mendambakan ruang yang boleh menjadi tempat berekspresi tanpa halangan. Ruang ini diharap dapat menjadi lokasi kepada penggiat dan peminat seni untuk datang berkongsi apa saja termasuk bertukar fikiran.

“Ruangan sebegini dengan sokongan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan diharap dapat memperkasa seniman, menggerakkan komuniti dan lingkungan setempat serta menjadi tapak perkembangan seni dan tradisi ilmu.

“Tidak hanya mewujudkan ruangan yang menguntungkan bagi seniman, tetapi manfaatnya boleh dinikmati masyarakat luas yang mencintai seni kerana ia bukan eksklusif, malah inklusif untuk semua khalayak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 7:30 AM