ANTARA karya dipamerkan bakat muda. -Foto: Mohamad Shahril Badri Saali.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

ALAM semula jadi dan elemen rindu terhadap keluarga menjadi inspirasi kepada bakat muda yang juga lulusan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini menghasilkan 85 lukisan dalam bentuk poskad.

Syafiqah Ashri, 23, mengabadikan kenangan bersama keluarganya ketika mereka sama-sama melakukan aktiviti riadah dalam hutan menggunakan medium cat warna air dan pen mata bola atas kertas lukisan.


POSKAD tanda ingatan Syafiqah terhadap keluarganya.

Bagi menambah nilai artistik pada lukisan poskad itu, dia turut menitipkan luahan perasaannya yang merindui setiap detik bersama keluarga, selain keterangan berkenaan pemandangan dalam hutan yang masih diingatinya.

“Menjejak denai atau mendaki adalah hobi saya sekeluarga dan hutan seolah-olah menyatukan kami apabila aktiviti dijalankan ini dapat mengeratkan hubungan menerusi kerjasama antara satu sama lain.

“Bagaimanapun, kesibukan dengan rutin masing-masing kebelakangan ini menyebabkan aktiviti demikian kurang dapat dilaksanakan dan ada masa pula ahli keluarga kami tidak lengkap.

“Oleh itu, lukisan dalam setiap poskad ini membolehkan saya mengenang semula hobi yang kami lakukan itu, di samping ekspresi saya terhadap alam khususnya hutan,” katanya.

Lukisan poskad berkenaan antara 64 karya yang menyertai pameran seni ‘Unknown’ di Segaris Art Center di ibu negara, baru-baru ini. Pameran itu diwakili 37 bakat yang baru saja menamatkan pengajian di UiTM, Institut Seni Malaysia (MIA), The One Academy dan Akademi Seni Dasein.

Peminat seni juga dapat melihat perbezaan hasil kerja bekas pelajar keempat-empat institusi yang menawarkan subjek seni dari segi teknikal, gaya, idea dan proses pembuatan. Setiap bakat baru berkenaan menghasilkan sekurang-kurangnya satu karya membabitkan catan, lukisan, cetakan dan media campuran.

Bagi Adeline Alyssa Tan, 31, dari The One Academy yang mempamerkan empat lukisan bersiri dengan tajuk ‘Overshadowed By The Willow Tree’, karyanya itu adalah berdasarkan kehidupan silamnya yang pernah terumbang-ambing seketika.

“Saya pernah belajar di luar negara dan mungkin disebabkan darah muda ketika itu saya lebih mementingkan kebebasan dan mencuba perkara baru. Saya semakin jarang mengunjungi gereja dan sehingga satu peringkat berasakan ada ruang kosong dalam diri.


POKOK willow cermin kisah Adeline Alyssa.

“Selepas beberapa ketika, saya mula mendekatkan diri kepada agama dan perlahan-lahan hidup kembali tenang serta mendapat semula jiwa yang hilang. Oleh itu, saya abadikan perasaan bersalah itu, mendapat keampunan dan syukur dalam siri lukisan minyak atas linen ini,” katanya.

Lukisan minyak atas kanvas bertajuk ‘Faraway From Places’ yang menampilkan seorang lelaki di tempat asing pula bukan sekadar kreativiti bakat muda lulusan UiTM, Fuji Anggara Masyudi, 23, sebaliknya ia mengenang kembali keperitan ditempuh bapanya yang berhijrah ke negara ini dari Indonesia lebih 30 tahun lalu.


KISAH imigran bapa inspirasi Fuji Anggara.

“Bapa saya seorang imigran yang terpaksa berhijrah ke negara lain bagi mencari rezeki berikutan desakan hidup di tempat asal. Pada peringkat awal, beliau hidup susah dan melakukan pelbagai pekerjaan bagi menyara diri,” katanya.

Satu-satunya kraf tangan dalam pameran berkenaan adalah karya bekas pelajar Dasein iaitu Mesita Jee, 20, yang menghasilkan sabun. Namun, keunikan sabun buatan sendiri itu ia diselitkan pisau cukur.


SABUN dan pisau cukur nukilan Mesita.

Kraf tangan Mesita bertajuk ‘Untitled’ itu terdiri daripada 489 buku sabun berwarna kuning cair dan kedua-dua bahan berkenaan boleh ditemui dengan mudah di mana-mana bilik air. Sabun lazim digunakan untuk membersihkan, manakala pisau cukur berpotensi membahayakan.-Zaitie Satibi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 7:00 AM