DIALOG sempena pameran seni artis residen Rumah Seni Selangor diterajui Anwar (kanan).
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

PENGALAMAN suka, duka dan kerinduan bersama keluarga mencetuskan ilham kepada pelukis, Anasuha Suhairi (gambar) untuk membawakan tema melalui Siri Rasa dalam merakam figura insan tersayang melalui karyanya.

Sebanyak enam lukisan dihasilkan Anasuha dalam Akar iaitu pameran seni julung kali diadakan artis residensi Rumah Seni Selangor (RUsSEL) di Petaling Jaya, Selangor.

Residensi RUsSEL adalah program yang menempatkan pelukis atau pengukir bagi menjalani proses berkarya selama lima bulan. Hasil karya mereka akan dipamerkan sebaik program berakhir. Dua lagi artis residensi adalah Arina Kiswantoh dan Mat Ramli Mansor.

Menurut Anasuha, perkara subjek dalam siri berkenaan rata-rata diambil daripada sumber yang terdekat di sekelilingnya iaitu ahli keluarga.


ORANG ramai melawat pameran hasil tiga artis residen Rumah Seni Selangor.

Ini kerana pengamatannya lebih teliti apabila mengambil imej dekat dengan dirinya dan seterusnya menterjemahkan rasa hubungan itu pada kanvas.

“Memang kebanyakan karya saya hasilkan bertemakan perasaan dan suasana sekeliling. Dari segi bahan pula, saya lebih cenderung menggunakan cat minyak atau akrilik atas kanvas, manakala teknik yang biasa digunakan adalah ‘scumbling’ dan ‘glazing,” katanya.

Sementara itu, Arina yang menghasilkan Siri Diri memaparkan imej gadis dengan mata besar dan bibir kecil serta tertutup melambangkan ‘ujaran’ untuk lebih mengamati dan kurang berbicara. Karakter berkenaan wujud untuk mewakili suaranya.

“Kebanyakan karya saya bertemakan luahan diri terhadap hubungan sesama manusia, kasih sayang, perasaan sedih dan gembira yang terinspirasi daripada hal seputar kehidupan. Mungkin boleh saya sebut dengan istilah ‘naive realism’ iaitu naif dari sudut bentuk visual karya dan ‘realis’ daripada makna karya,” katanya.


TIGA artis residen Rumah Seni Selangor (dari kiri) Arina, Mat Ramli dan Anasuha.

“Keseluruhan siri ini adalah catatan peribadi saya termasuk pengamatan berkenaan kasih sayang sesama manusia, kegelisahan, keyakinan diri dan pelbagai lagi perasaan yang bergejolak dalam diri kita,” katanya.

Bagi pengukir, Mat Ramli pula beliau menjadikan Pohon sebagai tema karya sepanjang menjalani program residensi RUsSEL dan menggunakan bahan kayu daripada pokok mati sebelum diukir menggunakan teknik tebuk timbul.

Kayu sentiasa menjadi medium yang dipilih pengukir berasal Terengganu ini kerana sifat bahan itu, di samping kemahiran dimiliki. Malah, Pohon juga adalah cetusan hasil pengalaman mendengar, melihat dan menilai yang berkait dengan alam, kemanusiaan, kefahaman serta kerohanian.

“Saya dibesarkan di desa, manakala kawasan hutan yang dipenuhi pokok merimbun menjadi taman permainan serta tempat menimba ilmu. Oleh sebab inilah kayu menjadi bahan utama saya dalam berkarya, selain kaitannya dengan alam dan lazim menjadi tema saya dalam berkarya.

Menurut kurator pameran, Anwar Azhari, pendedahan dan pengamatan ketiga-tiga artis residensi sepanjang program berlangsung menampakkan peningkatan pemikiran dan kematangan dalam penghasilan karya masing-masing.

“Nilai tambah kepada pemahaman dalam menyampaikan mesej dan mengenali bahan serta subjek lahir daripada perbincangan, di samping pertukaran idea antara satu sama lain. Pengalaman yang diserap daripada Akar residensi ini membolehkan mereka meneruskan pelayaran seni dalam kerjaya dengan lebih serius,” katanya.


ANTARA lukisan dipamerkan di Rumah Seni Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 3:39 PM