MAHASISWA berpeluang mempelajari teknik menyumpit daripada penduduk Orang Asli.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

BERHASRAT menyampaikan dakwah kepada penduduk setempat yang mempunyai bilangan penganut Islam minoriti iaitu sekitar 10 peratus, program bersama masyarakat Orang Asli, Road Expedition for Educational Development (RED) Lemoi 6.0 di Pos Lemoi, Cameron Highlands, baru-baru ini dilihat sarat manfaat.

Program itu adalah projek tahunan yang dianjurkan Sekretariat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak kali keenam tahun ini dengan mengadakan pelbagai aktiviti bersama penduduk di kawasan itu.

TINGGAL bersama penduduk setempat dapat mendekatkan diri dan memahami kehidupan Orang Asli.

Penyelaras Projek, Tuan Nuramirul Tuan Mahmud berkata, program yang disertai 60 mahasiswa UIAM itu adalah antara usaha memberi pendedahan kepada masyarakat Orang Asli berkenaan kehidupan dan suasana di luar kampung mereka.

“Mahasiswa pula berpeluang belajar mengenali adat dan budaya penduduk kampung yang terdiri daripada suku kaum Semai.

“Masyarakat Orang Asli yang tinggal di Pos Lemoi berada jauh di kawasan pedalaman dan untuk mengakses ke sana hanya dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4X4) yang pastinya perjalanan untuk menemui mereka sangat mencabar.

SUKARELAWAN mendedahkan teknologi robotik kepada kanak-kanak Orang Asli.

“Kumpulan kami membawa pelbagai barangan sumbangan daripada orang ramai untuk diserahkan kepada mereka seperti makanan harian, set penjagaan diri dan pakaian terpakai tetapi masih elok untuk digunakan,” katanya.

Aktiviti berkenaan turut membawa mahasiswa dari universiti itu untuk menyelami jiwa kanak-kanak Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman tetapi mempunyai semangat yang kuat untuk menuntut ilmu kerana sanggup berjalan selama dua jam untuk tiba ke sekolah.

BERPELUANG mempelajari teknik menyumpit daripada penduduk Orang Asli.

Tuan Nuramirul berkata, di kawasan berhampiran pos itu hanya terdapat sebuah sekolah kebangsaan saja iaitu Sekolah Kebangsaan Lemoi yang menjadi tempat kanak-kanak kampung itu belajar secara formal.

“Sekolah itu menjadi destinasi bagi kanak-kanak di Pos Lemoi dan kampung yang berdekatan dengannya. Kami difahamkan, jarak perjalanan dari kampung berdekatan dengan sekolah mengambil masa dua jam melalui jalan hutan. Mereka akan ditempatkan di asrama sekolah itu dan dibenarkan pulang ke rumah ibu bapa dua minggu sekali.

KANAK-KANAK Orang Asli turut mendapat manfaat daripada projek sukarelawan.

“Mengetahui perkara itu sudah semestinya memberi kesan yang mendalam kepada kami dan kanak-kanak Pos Lemoi juga antara yang menjadi tumpuan peserta untuk beramah mesra dan mengadakan aktiviti pendidikan untuk mereka.

“Bagi mendekatkan diri dengan masyarakat di kampung itu, kami sukarela menjadi anak angkat kepada beberapa keluarga Orang Asli selama lima hari berada di kampung berkenaan. Pastinya pengalaman tinggal sebumbung dengan mereka satu pengalaman yang menarik,” katanya.

PELBAGAI aktiviti riadah dilakukan peserta dan penduduk kampung.

Menariknya, program yang mendapat kerjasama Medical Relief Agency (MRA) Pahang itu antara lain turut mengadakan sesi pemeriksaan kesihatan kepada penduduk kampung dan ia mendapat sambutan menggalakkan.

Tidak sekadar itu, RED Lemoi 6.0 turut menjalin silaturahim dengan masyarakat Orang Asli melalui acara kenduri besar-besaran, ziarah dari rumah ke rumah, perkongsian berkenaan Islam dan hari kerjaya bersama anak muda.

Katanya, penganjuran projek itu memberi banyak manfaat kepada kedua-dua pihak kerana bukan sekadar dapat menyantuni adat, kepercayaan dan budaya masing-masing, malah mewujudkan perasaan kasih sayang dalam kalangan masyarakat.

AKTIVITI sukarelawan bersama penduduk luar bandar memberi manfaat kepada mahasiswa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 3:53 PM