KEPELBAGAIAN sentuhan abstrak di atas kanvas mempunyai cerita tersendiri. FOTO Salhani Ibrahim
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

GARAPAN seni lukis berkenaan kehidupan zaman kanak-kanaknya di Taiping, Perak mencuri perhatian banyak pihak.

Itu antara usaha dilakukan pelukis berbakat besar, Hock Aun Teh yang dilahirkan dan dibesarkan di daerah berkenaan kemudian berhijrah ke Glasgow, Scotland selama 45 tahun.

Bakat dalam seni tidak boleh dinafikan kerana hasil sentuhannya itu mampu memukau pandangan peminatnya yang terdiri daripada pelbagai golongan termasuk kelas elit di Eropah.

Melayari pengalaman hidup sebagai seorang artis di bumi asing tidak sesekali mampu menidakkan kerinduan zaman kanak-kanaknya di Taiping.

Menginjak usia 68 tahun, buat kali kedua lelaki ini mempersembahkan karya lukisan abstrak di Balai Seni Negara.


ANTARA karya dipamerkan bakat muda. -Foto: Mohamad Shahril Badri Saali.

Bercerita berkenaan 73 karya seni Hock itu, Kurator dan Ketua Unit Komunikasi Korporat Balai Seni Negara, Norbai’dah Ambak berkata, semua karya beliau yang dipersembahkan kali ini dibuat baru dan mengangkat tajuk Kenangan Zaman Kanak-kanak.

Beliau berkata, tidak sekadar mengetengahkan hasil seni di atas kanvas bagi menceritakan zaman kanak-kanaknya, malah artis itu turut mempamerkan beberapa arca abstrak berkisarkan perkara yang berlaku dalam hidupnya ketika kecil di Taiping.

“Bagi mereka yang menyukai karya abstrak, pameran Hock yang berlangsung hingga 15 Mac ini adalah sesuatu yang menarik untuk dihayati kerana setiap hasil seninya mengajak pengunjung untuk mentafsirkan maksud ingin disampaikan.


PELBAGAI alat yang digunakan artis untuk menghasilkan karya. FOTO Salhani Ibrahim

“Anda yang pertama kali melihat karya abstrak mungkin menilai hasil seni itu sebagai satu contengan atau rekaan tidak bermakna, tapi setiap warna dan bentuk dilakarkan mempunyai erti tersendiri mengikut tema yang ingin diangkat pengkarya seperti Hock,” katanya.

Bagaimanapun, bagi yang ingin melihat hasil seni abstrak itu, usah khuatir tidak memahami erti yang ingin disampaikan Hock kerana setiap karya dipersembahkan turut mempunyai penerangan.

Sepanjang karyanya berada di galeri itu, ternyata Hock membawa pengunjung mendekati kehidupannya pada zaman kanak-kanak yang penuh warna-warni seperti elemen sawah padi, lampu karbait, minyak tanah, mandi di terusan dan sungai.

Namun bukan mudah untuk membuat andaian maksud yang ingin disampaikan kerana ceritanya hanya bersandarkan warna berlapis yang tidak mempunyai corak khusus kerana pengkarya seni abstrak seperti Hock mempunyai interpretasi tersendiri menggambarkan zaman kanak-kanaknya.


ARCA abstrak yang menceritakan kisah kanak-kanak Hock di Taiping. FOTO Salhani Ibrahim

Di satu ruang lain, dapat dilihat juga arca abstrak yang unik. Dari mata kasar, karya itu seakan susunan arca yang berterabur tetapi apabila dilihat secara halus, sebenarnya ia mempunyai maksud tersendiri.

Apatah lagi karya seni abstrak Hock turut mempamerkan bahan digunakannya untuk menghasilkan karya seni iaitu jenis berus dan beberapa helaian draf lukisan.

Pengunjung juga dapat melihat bagaimana Hock menghasilkan karya menerusi tayangan video yang dimainkan.

Daripada tayangan itu, kita dapat melihat kesungguhan artis melimpahkan idea ke atas sebuah kanvas putih yang akhirnya tercipta sebuah kisah peribadi untuk diterjemahkan penonton secara halus.


HOCK antara artis abstrak mempunyai persembahan karya yang ‘tinggi.’ FOTO Salhani Ibrahim

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 2:52 PM