ANTARA pemenang Pertandingan Seni Lukis Usaha Tegas. FOTO Intan Ayu.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

IDEA kombinasi cetakan songket dan gagang telefon, membawa kejayaan kepada mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Muhammad Amirul Md Yazid apabila memenangi tempat pertama bagi kategori seni cetakan, Pertandingan Seni Lukis Usaha Tegas.

Membawa pulang wang tunai sebanyak RM8,000, Muhammad Amirul menzahirkan rasa gembira apabila dinobatkan sebagai pemenang sekali gus membuktikan kemampuan bakat dimilikinya.

“Kemenangan ini sangat bermakna buat saya kerana karya seni ini saya dedikasi sepenuhnya kepada arwah ibu dan warisan bangsa.

“Saya berharap menerusi kemenangan ini juga memberi inspirasi kepada rakan pelukis tempatan lain dan menjadi dorongan untuk mereka bersama-sama menerokai tema warisan melalui seni dalam pertandingan akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Pertandingan seni lukis tahunan anjuran Kumpulan Usaha Tegas kali ke-19 ini menerima 1,531 penyertaan daripada 26 institusi pengajian tinggi di seluruh tanah air, sebelum hanya 595 karya disenarai pendek.

Ketua Pegawai Operasinya, Lim Ghee Keong berkata, penganjuran tahun ke-19 ini antara usaha menggalakkan belia menyertai dan berbangga dengan warisan Malaysia menerusi seni lukis.

“Kita teruja untuk meneruskan tradisi ini dan memberi inspirasi kepada generasi baru pelukis muda yang berbakat. Sebagai negara berbilang budaya, kita dibentuk oleh pelbagai warisan yang tidak pernah berubah.

“Identiti kita sebagai sebuah negara bukan saja dibentuk oleh struktur warisan fizikal seperti peninggalan seni bina, bangunan bersejarah dan khazanah antik malah ia turut dinilai daripada sudut warisan budaya kita.


KARYA Muhammad Amirul. FOTO Intan Ayu.

“Menerusi sokongan pengadil, setiap tahun kita menggalakkan bakat muda supaya dapat mencabar tanggapan mereka dan masyarakat terhadap seni lukisan bertemakan warisan yang kian diabaikan,” katanya ketika menyampaikan hadiah bernilai RM59,500 kepada 24 pemenang bagi kategori cat air, minyak/akrilik, media campuran, arang/dakwat/pensel dan pastel minyak dan seni cetakan.

Kategori Cat Air dimenangi Pang Lai Yin (Alfa International College) dan Norfatihah Yusof dari Universiti Sains Malaysia menerima hadiah tempat pertama bagi kategori Arang/Pensel/Dakwat/Pastel Minyak.

Manakala, Chong Shin Yen (ATEC Academy) pula memenangi tempat pertama untuk kategori Media Campuran manakala Muhammad Amirul menjuarai kategori Seni Cetakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 11:03 AM