FOTO Salhani Ibrahim.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

MENERAPKAN elemen budaya Cina untuk terus dekat di hati kalangan generasi muda, Chin Sin May tampil dengan hasil seni berkonsepkan ukiran kertas tiga dimensi (3D) beridentiti zodiak.

Aktif sejak empat tahun lalu secara sambilan dan kini bergelar artis sepenuh masa, wanita berusia 40 tahun ini boleh berbangga apabila karyanya mula mendapat tempat di hati masyarakat.

“Kebanyakan pelanggan saya terdiri daripada mereka yang berusia antara 20 hingga 30 tahun kerana tertarik dengan konsep ukiran kertas 3D.

“Sebenarnya sebelum ini, saya berhasrat tampil dengan identiti atau motif opera Cina, namun tidak boleh dinafikan ia kurang popular pada semua peringkat usia.

“Oleh itu, saya mendapat idea untuk mempopularkan elemen zodiak yang lebih dekat di hati masyarakat.


ANAK turut membantu mengutip hasil kebun.

“Permulaan saya membawa konsep ini (ukiran kertas 3D), tidak ramai yang menganggap ia karya seni yang boleh ‘dipercayai’ malah ada segelintir meletakkan harganya sekadar RM10.

“Semestinya ia membuat­kan saya sedih apabila usaha, idea, kreativiti dan masa diperuntukkan seakan-akan tidak bernilai.

“Jadi, saya perlu menghasilkan kerja seni yang berkualiti dan bermutu sekali gus memperjuangkan semangat dan kreativiti golongan artis seni yang lain,” katanya yang mula menyertai bazar seni empat tahun lalu.

Kongsi Chin, bagi menghasilkan ukiran kertas 3D yang lengkap berbingkai ini memakan masa agak lama iaitu sekurang-kurangnya lima hari.

Demi menghasilkan karya berkualiti, setiap idea diterjemahkan dengan penuh ketelitian.


PEGAGA membiak di tepi laman.

Tambahan pula, ukiran kertas 3D zodiak ini dihasilkan secara berlapis-lapis menggunakan gam.

Lebihan gam yang tersisa pada karya akan dibersihkan dengan mengikis menggunakan pisau.

Disoal mengenai pemilihan material kertas bagi seni, Chin yang menerima pendedahan seni sejak kecil berkata, kertas lebih mudah didapati malah kosnya tidak terlalu mahal meskipun kertas import.

Mengulas berkenaan pemilihan rona bagi setiap karya dihasilkan, wanita ini menyajikan pilihan warna berkonsepkan tradisional, moden kontemporari dan kontra bagi mencetuskan identiti yang membangkit­kan keceriaan pemilik.

Jelasnya, setiap warna mempunyai maksud tersendiri yang mencerminkan karakter mahupun perwatakan individu.


KAKTUS tersusun indah.

Selain itu, setiap karya Chin selalunya disediakan dalam tiga set berbeza yang merangkumi konsep pembeli matang, feminin dan agresif.

Jika sebelum ini, beliau lebih fokus pada pembuatan ukiran kertas 3D bermotifkan zodiak secara individu, kini tampil dengan ukiran kertas 3D zodiak salasilah keluarga yang bermakna buat pelanggan.

Menurut Chin, keba­nyakan pelanggan bukan saja mendapatkan karyanya sebagai dekorasi kediaman, bahkan ia turut dijadikan hadiah perkahwinan.

Pernah menyertai pameran di Singapura, Macau dan Taiwan, wanita ini sentiasa terbuka untuk berkongsi idea dan pengalaman bersama kelompok masyarakat yang berminat untuk mempelajari seni ukiran kertas 3D.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 10:43 AM