Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


“ROLL call, Roll call!,” berulang-ulang kali suara mereka bertempik memecah hening pagi. Semuanya mempunyai tanggungjawab bagi memastikan rakan-rakan yang lain mendengar panggilan itu.

Bermula daripada tiupan wisel pada jam 1.30 pagi oleh jurulatih yang dipanggil cikgu, mereka cuma mempunyai masa satu minit saja untuk tiba di tapak berhimpun. Jika lewat sesaat, ada hukuman yang bakal diterima.

Nasib tidak menyebelahi 44 peserta rekrut pada awal pagi itu kerana ada yang tiba lewat. Maka, aktiviti latihan kecergasan antaranya tekan tubi dan lompat bintang dengan hitungan beratus kali menjadi denda sehingga jarum jam membidik jam 4 pagi.

Tidak mengira jantina, setiap rekrut baharu perlu mengikut arahan diberikan cikgu. Walhal, tiga jam sebelum itu mereka baru saja melakukan pelbagai latihan kecergasan termasuk berlari 10 pusingan padang sebelum dibenarkan masuk ke bilik masing-masing untuk berehat.

Wajah letih dan mata kelat yang sepatutnya beristirahat pada waktu dinihari diketepikan. Meskipun pada jam 5.30 pagi mereka semua perlu bersiap untuk menunaikan solat Subuh, soal tidak cukup rehat bukan satu alasan.


MOHAMAD Riduan bersama pasukannya selepas operasi memadam kebakaran.

Kemudian bermulalah detik siap siaga untuk hari baharu sang wira merah yang tidak dapat dipastikan sehingga jam berapa mereka bakal menamatkan latihan pada hari itu kerana dalam tempoh 120 hari latihan, semuanya perlu dalam keadaan bersedia, berdisiplin dan cekap.

Berada di Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Tengah, Kuala Kubu Bharu (ABPM) memberi gambaran jelas kepada penulis bahawa bukan mudah untuk memiliki kerjaya dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).

Hanya mereka yang benar-benar cekal dan mempunyai semangat tinggi mampu bertahan. Mana tidaknya, pada peringkat saringan pengambilan saja mereka sudah diberi ujian besar untuk mempamerkan kecergasan diri.

Antara yang perlu dilalui adalah ujian mengangkat beban seberat 54 kilogram (kg) untuk lelaki dan 46kg untuk wanita, menegakkan tangga penyelamat seberat 97kg dan 16.5 meter tinggi serta memanjat tali setinggi hampir 4.8 meter .

Mendengar penjelasan itu daripada Komandan ABPM Wilayah Tengah, Kuala Kubu Bharu, PKPjB Md Ali Ismail, membuatkan penulis bersama jurukamera, Asyraf Hamzah dan juruvideo Halim Salleh terkesima buat seketika.


MOHAMAD Riduan Akhyar

Beliau menambah, ABPM Kuala Kubu Bharu dikhaskan untuk merekrut pegawai bomba berjawatan kanan iaitu bermula gred KB29 yang memerlukan sekurang-kurangnya kelulusan diploma dari universiti atau lulus ujian kenaikan pangkat dari JBPM.

“Di Malaysia kita mempunyai lima ABPM mengikut pecahan wilayah iaitu ABPM Wilayah Sarawak di Bau, ABPM Wilayah Sabah di Sepanggar, ABPM Wilayah Timur di Wakaf Tapai (Terengganu), ABPM Wilayah Utara di Tronoh (Perak) dan ABPM Wilayah Tengah di Kuala Kubu Bharu (Selangor).

“Meskipun di sini kami memfokuskan kepada latihan untuk pegawai kanan tetapi dari segi latihan sama seperti anggota lain-lain pangkat.

“Latihan seperti ini penting bagi membolehkan JBPM melahirkan modal insan yang cekap dan bersedia menghadapi cabaran dalam dunia kebombaan yang semakin kompleks,” katanya.


MOHAMAD Riduan bersama pegawai dan anggota bomba.

Sebaik siap menjamu selera pada jam 7 pagi, bakal pegawai itu masuk semula ke dalam bilik masing-masing.

Kali ini, tepat jam 8 pagi, semua sudah siap berpakaian kemas bertali leher dan berdiri tegak di hadapan bilik.

Empat pegawai merangkap jurulatih beruniform biru gelap memulakan tugas rutin setiap pagi Isnin iaitu memeriksa keadaan bilik dan kekemasan diri peserta supaya mengikut piawaian yang ditetapkan.

Daripada kilatnya tandas, kekemasan lipatan cadar sehingga kebersihan lantai dan siling semuanya diperiksa satu persatu. Bahkan, isi perut mesin basuh tidak terkecuali untuk diperiksa.

“Ini rambut siapa?,” jerkah seorang pegawai di satu bilik yang diperiksa. Pemilik bilik masuk ke dalam melihat sehelai ‘kotoran’ dijumpai di atas katil miliknya. Tanpa ada jawapan, hanya satu arahan diterima pesalahnya iaitu tekan tubi 50 kali.

Selesai diperiksa, mereka semua berlari turun ke bawah untuk sesi melaporkan diri. Tidak sampai 10 minit berhimpun, mereka diarah ke bilik semula untuk menukar pakaian operasi berwarna hitam.

Tiba di tapak perhimpunan, cikgu memberitahu kesalahan bilik yang tidak kemas milik seorang peserta perlu ditanggung semuanya. Kali ini, mereka didenda dengan perlu melilit cadar masing-masing menjadi serban.

Tidak sekadar itu, di tapak perhimpunan tersedia beberapa kayu balak sudah dipotong dengan nama dan berat tertentu perlu diangkat sambil berkawad menuju ke padang kawad.


KEADAAN kelam-kabut rekrut untuk tiba di tapak berhimpun dalam tempoh seminit.

Hari itu latihan mereka diteruskan dengan kawad operasi iaitu setiap peserta didedahkan dengan tatacara operasi memadam api antaranya membentang hos, menegakkan tangga dan latihan melaporkan diri.

Kedengaran melaporkan diri itu seperti perkara mudah tetapi setiap mereka perlu menghafal dan jika tersilap, pelbagai denda bakal diterima.

Apatah lagi keletihan menguruskan pelbagai peralatan teknikal dengan cuaca panas, sudah semestinya mencabar kemampuan diri.

Md Ali berkata, latihan yang dilakukan peserta itu satu daripada modul yang sudah diwujudkan oleh pihak ABPM. Malah, tahun ini pihaknya bersama individu tertinggi lain berhasrat untuk meminda modul baharu terutama membabitkan pengurusan risiko.

“Pengurusan risiko penting memandangkan pada tahun lalu ada kes kehilangan nyawa anggota membabitkan persekitaran yang tidak dijangka.

“Bukan mudah untuk melahirkan individu bergelar anggota bomba. Mereka adalah aset bernilai dan paling dekat dengan masyarakat untuk isu penyelamatan,” katanya.

Jelasnya, meskipun wujud persepsi latihan untuk menjadi anggota bomba tidak sehebat unit beruniform lain, sebenarnya ia tidak tepat kerana mereka perlu mempunyai pelbagai ilmu dan kemahiran untuk menyelamat.

“Dahulu, apabila disebut bomba hanya satu yang terlintas di fikiran iaitu memadamkan api. Hari ini, daripada masalah cincin tersangkut di jari sehingga kes tumpahan bahan kimia di kilang, semuanya tergalas di bahu kami sebagai satu tanggungjawab.


REKRUT menjalani latihan menyelamat di terowong sempit.

“Latihan secara holistik perlu dilakukan semasa sesi latihan tidak kira ketika merekrut ahli baharu atau untuk kenaikan pangkat sebagai pegawai kanan. Tiada kompromi semasa latihan. Seperti saya katakan, tugas kami pada hari ini semakin kompleks,” katanya.

Sebelum meninggalkan akademi itu, penulis dibawa ke satu projek dilaksanakan oleh rekrut baharu iaitu membina tugu peringatan untuk rakan yang gugur ketika berkhidmat kepada masyarakat.

Kolam kecil dengan pancuran air mengalir ke dalamnya dan 24 nama mereka yang gugur dari 1993 sehingga 2018 terpahat di atas tugu batu adalah elemen semangat yang memberi inspirasi kepada generasi baharu.

Masih teringat dalam temubual penulis dengan seorang rekrut, apakah yang paling diharapkan jika dia kehilangan nyawa ketika bertugas?

“Saya harapkan anak-anak saya dapat menabur bakti kepada negara dan tidak lupa pengalaman manis ketika kita pernah bersama,” sebak suaranya, air mata perwira mengalir bersama keringat di wajah.

Kepulangan penulis untuk tugasan hari itu memberi seribu pengalaman baharu kerana dapat melihat sendiri kesukaran latihan anggota bomba yang jarang dipaparkan di media sehingga membuai perasaan sedih mengenai kisah si wira merah yang gugur semasa berkhidmat.

Semuanya demi detik siap siaga. Al-Fatihah untuk perwira merah yang gugur ketika berbakti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 7:44 PM