PUSTAKA Hamka galakkan budaya ilmu selain sebagai produk pelancongan di Sungai Besar.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


SEKEPING poster besar tertera gambar Buya Hamka yang terkenal bersama kata-katanya yang menjentik hati dan minda, 'Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup. Kalau bekerja sekadar bekerja, kera juga bekerja,'menyambut kedatangan pengunjung ke Pustaka Hamka di Kampung Tebuk Haji Yusof, Sungai Besar, Selangor.

Pustaka Hamka adalah cetusan idea Komuniti Rumah Kayu bertujuan menghimpunkan karya Buya Hamka atau nama sebenarnya Profesor Dr Abdul Malik Abdul Karim Amrullah dalam satu perpustakaan. Sekali gus dapat dijadikan sumber rujukan pengguna sama ada untuk kajian atau menambah ilmu.

Dirasmikan pada 5 Ogos 2017, Pustaka Hamka dianggap sebagai satu usaha ke hadapan dalam memartabatkan individu yang dikenali sebagai ulama ulung berasal dari wilayah Sumatera Barat, Indonesia. Buya Hamka bukan saja ulama malah beliau juga sasterawan, sejarawan dan politikus amat disegani ketokohannya di republik berkenaan.

Pengaruhnya tersebar ke seluruh Nusantara, malah karya hasil tulisannya masih diterbitkan dan dibaca sehingga hari ini biarpun sudah 37 tahun meninggalkan kita.

Beberapa karyanya diminati ramai hingga sekarang antaranya Tenggelamnya Kapal Van der Wijck diterbitkan pada 1937, Di Bawah Lindungan Kaabah (1936), Merantau ke Deli (1940) dan Tuan Direktur (1939).


POSTER Buya Hamka bersama kata-kata hikmat beliau menghiasi Pustaka Hamka.

Buya Hamka turut menulis buku agama antaranya Tasawuf Moden (1939), Falsafah Hidup (1939) Lembaga Hidup (1940) Lembaga Budi (1940) dan Teguran Suci & Jujur Terhadap Mufti Johor. Namun, karya agungnya yang dikagumi umat Islam adalah tafsir kitab suci al-Quran 30 juzuk yang diberi nama Tafsir Al-Azhar.

Wakil Komuniti Rumah Kayu, Muhammad Azrin Anuar berkata, biarpun Buya Hamka kelahiran Indonesia, karyanya dikatakan milik masyarakat Nusantara termasuk Malaysia. Oleh itu, pembukaan pustaka berkenaan sebagai manifestasi terhadap penulisan buku penulis dan ulama terkenal itu yang membawa pengaruh besar kepada masyarakat Nusantara.

“Idea penubuhan Pustaka Hamka ini datang daripada pengasas Komuniti Rumah Kayu yang amat mengagumi tokoh berkenaan. Beberapa tahun lalu, beliau berkunjung ke Majlis Pustaka dan Informasi, Pusat Pengajian Hamka, Universiti Muhammadiyah Hamka di Jakarta.


ANTARA cetakan buku paling lama disimpan di Pustaka Hamka.

“Pengasas berkenaan turut menziarahi Masjid Agung Al-Azhar yang pernah diuruskan Buya Hamka di samping dapat bertemu sendiri dengan anak tokoh berkenaan.

“Ini mencetuskan idea kepada beliau untuk membina pustaka bacaan di Sungai Besar sebagai budaya Wacana Intelektual bagi golongan sasar yang tercari-cari sumber ilmiah berkaitan tokoh ini.

“Namun, apa yang penting adalah pendirian Pustaka Hamka yang ingin menggalakkan rakyat khususnya golongan muda di Sungai Besar memanfaatkan ilmu pengetahuan. Pada masa sama, ia turut menjadi produk pelancongan di Sungai Besar,” katanya.


BEBERAPA judul karya Buya Hamka boleh didapati di Pustaka Hamka.

Pustaka Hamka terdiri binaan berasaskan kabin yang menempatkan beberapa rak buku yang boleh menampung 200 hingga 300 naskhah, papan pameran, komputer dilengkapi Internet, meja kerusi dan kamera litar tertutup (CCTV).

Turut dibina Rumah Tamu Hamka juga binaan daripada kabin bagi menyediakan keselesaan kepada pembaca khususnya yang datang dari jauh. Mereka boleh bermalam di rumah tamu itu pada kadar tertentu supaya dapat meluangkan masa lebih lama dan memanfaatkan bacaan karya Buya Hamka.

Koleksi bahan menjurus kepada buku karya Buya Hamka yang diterbitkan sama ada di Indonesia, Malaysia mahupun Singapura. Perpustakaan ini juga dilengkapi dengan bahan terbitan berkala seperti surat khabar dan majalah berkaitan tokoh berkenaan.


PENGUNJUNG memanfaatkan koleksi karya Buya Hamka untuk tambah ilmu.

“Sebanyak 80 peratus daripada 134 judul buku karya Buya Hamka ditempatkan di pustaka ini dengan sumber bacaan diperoleh daripada koleksi peribadi pengasas Komuniti Rumah Kayu dan orang awam yang memberi dan meminjamkan buku kepada kami untuk menjaganya.

“Ada buku cetakan pertama yang disimpan dalam kabinet berkaca, manakala yang lain adalah ulang cetak. Kami juga menetapkan syarat semua buku yang berada di pustaka ini tidak dibenarkan dibawa keluar atau dipinjam bagi menjaga kualitinya, di samping memberi peluang kepada pembaca lain untuk membuat rujukan.

“Pembinaan Pustaka Hamka ini juga menyasarkan pembaca muda yang dahagakan tempat dan kawasan selain perpustakaan sebagai sumber bacaan serta kajian yang santai. Selain peminat Buya Hamka, pustaka ini turut dikunjungi pelajar yang ingin membuat kajian,” katanya.


PUSTAKA Hamka dan Rumah Tamu Hamka menjadi tarikan pengunjung ke Sungai Besar.

Muhammad Azrin berkata, karya Buya Hamka diberi tumpuan utama berikutan ia dekat dengan masyarakat kita. Selain mewakili suara masyarakat Nusantara, ia turut menjadi nostalgia dan rujukan kepada khalayak pembaca di negara ini.

“Buya Hamka adalah tokoh agung yang paling banyak diterjemahkan karyanya dan menjadi sumber rujukan pelbagai peringkat usia serta dikenali serata dunia.

“Komuniti Rumah Kayu turut mengalu-alukan sumbangan masyarakat untuk menderma atau meminjamkan buku tulisan Buya Hamka ke pustaka itu demi dimanfaatkan orang ramai. Pustaka beroperasi mulai Isnin hingga Sabtu dari jam 9.30 pagi hingga 5 petang, ditutup pada cuti umum,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 1:11 PM