PERMAINAN tarik kain. FOTO Mohd Hairul Helmy Mohd Din
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my


MEREKA yang lahir sebelum tahun 1990-an, pastinya mempunyai pengalaman bermain permainan tradisional seperti batu seremban, galah panjang, tarik upih, congkak, baling selipar, teng teng, gasing dan sepak raga.

Namun, dek peredaran masa, proses perbandaran dan perkembangan teknologi menyebabkan permainan berkenaan terkena tempias yang mengakibatkan ia kian pupus ditelan zaman.

Perkara itu diakui Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Abdul Muati Ahmad apabila ramai generasi muda hari ini langsung kurang mengetahui permainan terbabit.

Sudah tentu senario itu sesuatu yang merugikan kerana permainan berkenaan sebahagian daripada khazanah warisan masyarakat Melayu yang dilupakan sedangkan ia mempunyai nilai tersendiri dan perlu dipelihara.

Ekoran itu Muzium Warisan Melayu UPM dengan kerjasama Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (Wazan), Pusat Islam UPM, Sahabat Masjid UPM dan Jaringan Komunikasi Sastera menganjurkan program Jalinan Ukhuwah Mencintai Warisan Bersama 90 Anak-Anak Yatim dan Asnaf.

Ia diadakan di Laman Muzium Warisan Melayu bertujuan memperkenalkan permainan berkenaan kepada generasi muda khususnya penghuni Rumah Anak Yatim dan Asnaf As-Solihin, Banting, Selangor dan Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Baitul Ulfah, Seri Kembangan, Selangor, baru-baru ini.


KANAK-KANAK mencuba permainan baling selipar. FOTO Mohd Hairul Helmy Mohd Din

Lebih menarik, peserta juga diberikan peluang bermain permainan tradisional itu seperti batu seremban, congkak, tarik upih dan baling selipar bagi mengimbau nostalgia zaman silam ibu bapa mereka.

Dr Abdul Muati berkata, suatu ketika dahulu kebanyakan rumah di kampung tidak mempunyai televisyen menyebabkan anak-anak mengisi masa lapang mereka dengan permainan sebegini.

“Mereka jarang berada di dalam rumah dan hanya (di dalam rumah) untuk makan, mandi dan tidur. Selebihnya banyak menghabiskan masa di luar rumah untuk melakukan aktiviti ini (permainan tradisional).

“Tetapi apabila proses perbandaran berlaku yang mana banyak kawasan perumahan dibuka dan pembinaan rumah pangsa menyebabkan kanak-kanak lebih suka duduk di dalam rumah.

“Barangkali keadaan ini menyebabkan kanak-kanak menjadi individualistik dan lebih suka menyendiri dengan bermain gajet atau permainan video,” katanya.

Katanya, beliau pernah terbaca satu artikel 10 tahun lalu yang ditulis seorang pakar dari Singapura melahirkan kebimbangan terhadap generasi baru negara Kota Singa itu yang dianggap ‘lembik’ kerana sudah ‘dikuasai’ teknologi apabila mereka lebih suka bermain permainan elektronik (permainan video) dan jarang berada di luar rumah untuk melakukan aktiviti pergerakan fizikal.


PROSES perbandaran dan perkembangan teknologi memberi impak besar terhadap permainan tradisional. FOTO Mohd Hairul Helmy Mohd Din

Dr Abdul Muati berkata, masalah itu sudah menular ke Malaysia sejak beberapa tahun lalu. Proses perbandaran tidak boleh disekat bahkan ia satu keperluan untuk menjadi negara maju.

Bagaimanapun katanya, pihak berkaitan perlu lebih prihatin dengan memastikan setiap kawasan perumahan dilengkapi kawasan riadah supaya kanak-kanak boleh bergaul dan melakukan aktiviti fizikal bersama rakan-rakan.

Peserta, Aisyah Zulaikha Ahmad Akhbar, 13, berkata, dia sering bermain batu seremban ketika kecil bersama rakan-rakan di kawasan perumahan dan program hari ini seperti mengimbau kembali zaman berkenaan.

“Meskipun sudah jarang dapat bermain permainan ini tetapi saya masih mengingati cara permainannya.

“Memori itu tidak akan luput daripada ingatan saya begitu juga rakan-rakan yang bermain bersama-sama walaupun ada yang sudah berpindah ke kawasan lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 12:36 PM