SHAHRIL melihat lukisan yang dipamerkan. FOTO Aswadi Alias
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

Ingin memberi peluang kepada masyarakat umum menikmati genre seni lukisan yang berbeza, Yayasan Maybank menganjurkan pameran PURE Painting An Exposition of Non Figurative Art di Balai Seni Maybank, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Seramai 24 artis yang menyertai pameran PURE Painting An Exposition of Non Figurative Art tampil dengan lebih 50 hasil karya.

Bagi artis Lukisan Untitled 2017, Sharifah Bahiyah, dia menyertai pameran itu kerana ingin melihat penerimaan orang ramai terhadap karyanya.


SHAHRIL berucap pada majlis perasmian pameran. FOTO Aswadi Alias

“Artis lukisan abstrak semestinya menantikan pameran seperti ini dalam mendekati peminat seni tempatan selain mempunyai platform bertukar pandangan bersama rakan pelukis lain.

“Tanpa inisiatif korporat seperti dilakukan Yayasan Maybank, hasil karya artis abstrak baru termasuk saya sukar dipasarkan.

“Lebih bermakna selain memaparkan karya untuk jualan, saya bersama rakan artis turut membuat kebajikan apabila dimaklumkan sebahagian hasil jualan disalurkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.


PENGUNJUNG tertarik dengan visual dilihat. FOTO Aswadi Alias

Pengunjung pastinya teruja dengan perspektif segar dibawakan pelukis berkenaan yang bukan hanya menampilkan koleksi lukisan daripada palitan cat minyak mahupun akrilik pada kanvas semata-mata, malah turut tampil dengan penggunaan motif geometri unik.

Yayasan Maybank yang menggalas tanggungjawab selaku penganjur pameran itu melihat ia satu bentuk sumbangan sosial korporat untuk mempamerkan hasil kerja penggiat seni kreatif tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahril Azuar Jimin berkata, pihaknya mengambil pendekatan luar biasa apabila memilih seni abstrak sebagai tema atau konsep pameran berbanding lukisan jenis figuratif.


BALAI Seni Maybank meriah dengan kehadiran peminat seni lukisan abstrak. FOTO Aswadi Alias

“Pameran kali ini mencabar pemikiran peminat seni selain membenarkan mereka lebih bebas berfikir dan mentafsirkan makna tersendiri apabila menyaksikan setiap karya dipamerkan.

“Ia julung kali diadakan untuk memacu perkembangan seni abstrak dengan usaha menyemai dan mendidik peminat seni menghargai keunikan hasil karya pelukis bermula dengan pameran ini,” katanya.

Kata Shahril Azuar, kolaborasi bersama pelukis berkenaan juga meraikan evolusi seni di Malaysia apabila mempamerkan karya berkualiti dan kreatif.


TETAMU kehormat bergambar bersama artis yang hadir. FOTO Aswadi Alias

“Pameran ini berjaya mengetengahkan daya kreatif artis abstrak tempatan yang penuh dengan inspirasi. Ia juga satu bentuk dorongan untuk masa depan kerjaya mereka dan pada masa sama mengembangkan portfolio seni bukan figuratif di Malaysia,” katanya.

Semua hasil karya dipamerkan dibuka untuk jualan bermula RM300 sehingga RM40,000 dengan 20 peratus hasil jualannya disalurkan kepada pelbagai organisasi kebajikan yang ditaja Yayasan Maybank.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 12:05 PM