PELANCARAN program Rakan Rintis Sungai di Kota Kinabalu. FOTO NSTP
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

Seramai 48 pelajar dan 12 guru dari lapan sekolah di Sabah terpilih untuk menyertai program Rakan Saintis Sungai (RSS) sempena sambutan Hari Alam Sekitar Kebangsaan peringkat negeri, baru-baru ini.

Lapan sekolah yang menyertai program RSS tahun ini termasuk Sekolah Menengah (SM) St John (M), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tenghilan, SMK Taman Ria Tuaran dan SMK Badin (Tuaran), SMK Taman Tun Fuad dan SMK Sanzac (Kota Kinabalu), SMK Majakir (Papar) serta SM St Patrick (Membakut).

Program kali kelima di Sabah dan pertama kali di Kota Kinabalu itu dianjurkan Chemical Company of Malaysia Berhad (CCMB) dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar Sabah, Jabatan Air Sabah, Jabatan Pendidikan Sabah, Jabatan Perlindungan Alam Sekitar serta Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah.

Pengarah Urusan Kumpulan CCMB, Nik Fazila Nik Mohamed Shihabuddin berkata, program RSS adalah inisiatif tepat untuk mendekati generasi muda dan menanamkan perasaan cinta pada alam sekitar supaya pengetahuan serta pengalaman diperoleh dapat dikongsikan bersama keluarga dan rakan.

“Kami yakin program ini dapat memberi manfaat kepada pelajar dan guru serta membolehkan mereka memahami isu yang mendatangkan kesan kepada alam sekitar terutama sungai.

“Menerusi program dua hari ini, pelajar juga dapat menambah pengalaman pembelajaran, berkeyakinan untuk merungkai dan menyelesaikan situasi dunia sebenar.

“Secara tidak langsung, kita dapat membentuk pelajar menjadi pemimpin masa depan yang berinovatif, beretika dan komited dalam menangani cabaran alam sekitar bagi mencapai pembangunan lestari.

“Sebagai organisasi yang memiliki kepakaran dalam rawatan air, kami percaya pemuliharaan sungai sangat penting. Ini kerana sungai yang sihat membolehkan flora dan fauna hidup subur, malah masyarakat setempat bergantung hidup pada sumber asli untuk mengukuhkan keadaan ekonomi mereka,” katanya dalam satu kenyataan media.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Sabah, Tunku Khalkausar Tunku Fathahi menyokong usaha CCMB yang membuka peluang kepada anak muda menimba pengalaman dan pembelajaran berkaitan pemuliharaan air di luar bilik darjah.

“Sabah kaya dengan biodiversiti, justeru ia lokasi unik untuk melakukan aktiviti penyelidikan dan pembelajaran mengenai perlindungan alam sekitar.

“Ekosistem negeri memberi peluang keemasan kepada pelajar untuk mempelajari kepentingan menguruskan sumber asli dengan lebih bijak dan berkesan.

“Saya teruja dengan kerjasama CCMB melalui program RSS kerana ia menawarkan kefahaman dan kesedaran lebih baik mengenai pengurusan air, seterusnya menggalakkan pelajar memainkan peranan dalam menambah baik keadaan sumber asli yang ada.

“Saya berharap inisiatif ini akan menggalakkan pelajar untuk terus menyertai projek mesra alam secara aktif dan membentuk jati diri menjadi generasi pemimpin yang mementingkan kelestarian masyarakat serta pemuliharaan alam sekitar,” katanya.

Program menggabungkan persekitaran bilik darjah dan luar yang diperkenalkan sejak 2010 ini menawarkan landasan kepada pelajar menimba pengetahuan berharga dan kemahiran berguna mengenai amalan baik untuk meningkatkan kualiti air dan melindungi sumber asli.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk menguji kualiti air di Sungai Kiulu, menjayakan Program Pendidikan Alam Sekitar Sungai dan Tadahan (CREEP), lawatan ke loji rawatan Air Telibong 2 dan empangan sungai di Tuaran.

Selain itu, sesi perbincangan mengenai isu alam sekitar, aktiviti membina semangat dan perbincangan kumpulan bagi untuk menggalakkan peserta mencari dan memberi idea mengenai kaedah menangani isu alam sekitar hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 11:45 AM