PENDUDUK Pulau Pababag menghantar buah kelapa ke jeti di kampung Lihak-Lihak sebelum FAMA menghantar ke pasaran Semenanjung. FOTO/NSTP
Shahrul M Zain
rencana@mediaprima.com.my


Kembara dalam tugasan kali ini menyingkap seribu satu cerita. Destinasi unik ini hakikatnya mempunyai ‘kehidupan’ tersendiri. Menjejakkan kaki ke Pulau Pababag, Semporna, Sabah bersama Agensi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), baru-baru ini memberikan pengalaman manis yang tidak mungkin penulis lupakan sampai bila-bila.

Pababag adalah sebutan bagi orang Bajau yang membawa maksud melintang dalam bahasa Melayu.

Sebaik menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Tawau, rombongan disambut pegawai FAMA dan kami dibawa ke hotel penginapan di Bandar Tawau.

Dalam perjalanan, penulis sempat berbual dengan pemandu FAMA dan berharap dapat mengutip sedikit perkembangan berkenaan lokasi bakal dikunjungi, namun matahari mulai terbenam sehingga waktu beransur gelap menjadikan topik perbezaan masa menutup perbualan pada petang itu.


PENDUDUK, Romano (kiri) dan rakan menunggu air pasang surut sebelum dapat memasuki kampung melakukan pelbagai urusan menggunakan bot.

Keesokan paginya kami meneruskan perjalanan dari Tawau menuju Semporna sejauh kira-kira 100 kilometer. Sebaik kami sampai ke jeti di perkampungan air Kampung Tanjong Kapor, bot penambang sudah sedia menunggu. Melewati rumah penduduk Bajau di atas air memberi peluang kepada penulis untuk melihat pelbagai aktiviti yang rancak dengan aneka ragam jual beli dan jualan.

Ada yang mengintai kami dari kejauhan, selain mata dijamu gelagat kanak-kanak Bajau menjual hasil laut atau menolak kereta sorong mengambil upah mengangkut barangan.

Ketika bot menghampiri jeti di Kampung Sungai Tanjung Keruing, Pulau Pababag penulis terpegun melihat pohon kelapa yang melata banyaknya seolah-olah menyambut kedatangan kami.

Pulau ini mula menerima kedatangan penduduk dari kalangan masyarakat Bajau sekitar 1980-an, apabila keseluruhan pulau ini ditumbuhi pokok kelapa seperti yang diceritakan ketua kampung, Jauhali Yusop, 56.

Penulis awalnya memasang impian menjejak kaki di pasir halus dengan kejernihan laut membiru bagaimanapun tersasar sebaik tiba di jeti kampung yang usang dengan kuala sungai berwarna kehitaman. Itu juga antara keunikan di sini.

Halaman rumah ketua kampung yang luas menjadi tapak pengumpulan buah kelapa selain penduduk mengadakan perjumpaan dan mesyuarat bersama ketua kampung.


KAUM wanita membawa juadah untuk majlis doa selamat.

Seorang penduduk, Jun Omar mengambil parang dan memotong buah kelapa muda untuk diminum. Sungguh segar dan enak rasa air kelapa muda yang hampir seliter isipadunya kerana bersaiz besar. Jauhali menceritakan berkenaan latar belakang kampung selain aktiviti ekonomi penduduk di pulau berkenaan.

Kelapa adalah hasil utama di pulau ini dan dieksport merentas lautan ke Semenanjung, selain tanaman pisang dan limau untuk pasaran tempatan.

Penulis jenis tidak biasa duduk diam, merenung setiap penjuru ruang di dalam rumah dan penghuninya yang sibuk serta meriah. Ada saja yang nak ditanya. Sekali sekala penulis cuma membalas dengan tersenyum apabila banyak pertuturan tidak difahami.

Apabila perlu, penulis berulang kali bertanya dan berbelit juga lidah untuk menyebut kembali sambil ada yang melempar kembali senyuman sinis. Lalu rombongan kami dijemput menikmati makan tengah hari dengan makanan laut dan beberapa jenis lauk yang asing bagi penulis antaranya ikan buntal beracun.

Rupanya ada cara untuk membuang racun sebelum selamat dimakan selepas dimasak bersama halia, bawang merah, cili padi dan kunyit yang dipanggil sinagol. Apa pun panggilannya kelazatan gulai berkenaan tidak dapat dinafikan selepas dicabar, boleh tahan juga rasanya terutama kulit ikan buntal yang tebal seakan-akan kulit ikan pari.

Seterusnya penulis mencuba binambam iaitu ubi kayu yang dibersihkan lalu direbus dan dicampur kelapa parut serta dibalut memanjang menggunakan daun kelapa dengan kemas. Keramahan penduduk dari kanak-kanak hingga yang dewasa menjadikan kami tidak berasa terasing.

Sepanjang berada di pulau, penulis melihat anak mereka masih riang tanpa permainan moden, hanya cukup dengan membina layang-layang menggunakan plastik terpakai. Pada hari terakhir di Pulau Pababag, penulis melihat ramai wanita menjunjung dulang sambil berjalan menuju surau.

Mereka membawa hidangan berserta sepinggan beras yang diselitkan dengan wang seringgit sebagai upah kepada imam. Menurut imam kampung, penduduk mengadakan doa selamat sebagai tanda kesyukuran dan terima kasih dengan kehadiran pelawat serta usaha berterusan agensi FAMA membantu ekonomi penduduk dengan membawa kelapa dari pulau ini untuk pasaran di Semenanjung. Pengalaman mendekati masyarakat Bajau dan Sulu di Sabah ini sangat dihargai!


KAUM wanita bergotong royong membersihkan ubi kayu yang banyak ditanam di Pulau Pababag.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 January 2019 @ 5:00 AM