AZMI (kiri) dan Mie ketika di ruang pameran.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

Mengamati setiap lukisan kartun yang dihasilkan kartunis Ar Ahmad Hilmy Abdullah atau lebih dikenali dengan, Mie di Pameran Nostalgia Anak Kampung di Muzium Negara, Kuala Lumpur, baru-baru ini seolah-olah menyusuri kapsul masa.

Dari satu lukisan beralih ke lukisan lain tidak ubah seperti kembali ke zaman kanak-kanak dan memori ketika itu jelas setiap kali menyaksikan setiap perincian terdapat dalam karya yang diketengahkan.

Menariknya imej rumah kampung, selipar Jepun, termos merah, batu giling, lampu gasolin dan ketuhar hitam yang digunakan orang kampung sekitar 1960-an sehingga 1980-an begitu jelas diceritakan bersama visual ragam karakter dalam setiap muka lukisan kartun berkenaan.

Bagi kartunis yang juga seorang arkitek, setiap cerita disampaikan menerusi lukisan itu adalah ilhamnya ketika mengimbau zaman kanak-kanak yang hanya berpeluang menjadi anak kampung pada setiap kali musim cuti sekolah.

“Saya dulu budak bandar. Memori zaman kanak-kanak apabila budak pekan balik kampung dan bermain dengan sepupu, banyak perbuatan saya kelihatan canggung.

“Antaranya ketika bermain lumpur di kampung dulu. Gelagat sepupu lain, mereka akan letak selipar Jepun di tangan dan hanya berkaki ayam menempuh laluan becak.

“Waktu itu rasa geli dan tidak biasa berkaki ayam, saya tidak tanggalkan selipar menyebabkan habis belakang baju penuh diselaputi percikan tanah lumpur.

“Akibatnya orang tua akan membebel. Kemeriahan dan keseronokan anak kampung mahupun mereka yang duduk di bandar pulang ke kampung berkumpul dengan keluarga, itu saya mahu kongsikan dengan generasi sekarang,” katanya.

Bagi menghasilkan hampir 100 lukisan untuk pameran berkenaan, Mie berkata apabila dihubungi Muzium Negara berkenaan pameran itu, dia tidak mengambil masa panjang.

Malah mengumpul semua dalam tempoh dua minggu sebelum hari pameran.

“Jujur saya katakan apabila Muzium Negara menghubungi, saya terus katakan ya! Maklumlah kali terakhir kartunis membuat pameran solo di Muzium Negara ialah Datuk Mohammad Nor Mohammad Khalid atau kartunis Lat pada 1986.

“Jadi apabila dipelawa menyertainya, ia memang satu penghormatan besar apatah lagi dengan reputasi Muzium Negara cukup dikenali sebagai badan berwibawa terutama memelihara khazanah warisan negara.

“Saya sendiri kagum apabila idea atau inisiatif itu dicetuskan pihak muzium.

“Pada saya kerjasama itu penting selain meningkatkan portfolio peribadi saya selaku kartunis berkecimpung sejak era 80-an lagi, ia turut mengangkat hasil karya kartunis tempatan ke satu tahap membanggakan,” katanya berharap generasi sekarang lebih menghargai karya kartun penerbitan bercetak.

Pameran Nostalgia Anak Kampung sudah masuk tahun ketiga tidak hanya menampilkan pameran semata-mata, sebaliknya kemuncak program itu berlangsung pada temasya dua hari iaitu pada 15 hingga 16 Disember, baru-baru ini.

Pengarah Muzium Negara Azmi Ismail berkata, tahun ini paling meriah apabila kunjungan pada temasya menampilkan pelbagai permainan, persembahan, makanan, kraf dan produk kampung.


PELANCONG tertarik dengan barangan antik.

Kehadiran untuk dua hari itu saja hampir mencecah 10,000 pengunjung dan lebih 8,000 untuk kemasukan bertiket. Difahamkan ketika program berlangsung setiap pelosok dipenuhi pelbagai aktiviti terutama pelancong teruja mencuba permainan tradisi.

“Tahun ini aktiviti permainan diperbanyakkan apabila terdapat lebih 20 permainan tradisi ini termasuklah tarik upeh, tuju getah, baling selipar, gerek buluh dan sebagainya.

“Selain itu gerai menampilkan juadah tradisi antara paling mendapat sambutan hangat iaitu ibu rebus, pulut panggang, lempeng pisang dan ais kepal.

“Pelancong asing terutama dari China serta Eropah teruja mencuba hidangan dan mereka begitu tertarik dengan rasa hidangan berkenaan.

“Bagi pengunjung tempatan pula, kami lihat ramai hadir bersama keluarga. Setiap permainan disertai keluarga, boleh lihat selain anak, ibu bapa yang paling teruja kerana ia permainan masa kecil.

“Bukan sekadar keseronokan, kami turut bekalkan penerangan serta demonstrasi untuk setiap pengunjung mengenali permainan kampung disediakan agar mereka mempunyai pengalaman langsung.

“Kami dibantu 30 pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) selaku sukarelawan sepanjang program dua hari berkenaan. Meskipun kebanyakan mereka tidak pernah mengenali permainan terbabit, kita ajar dan pelajar ini teruja dan seronok bersama pengunjung,” katanya.


AZMI (kiri) dan Mie ketika di ruang pameran.

Sebalik kejayaan penganjuran program dan pameran Nostalgia Anak Kampung, Azmi tidak lupa berkongsi cabaran termasuklah mencari peralatan, barang dan tenaga mahir dapat mengisi slot demonstrasi setiap acara.

“Kita sedia maklum, era kemeriahan suasana anak kampung ini sekitar 70-an hingga 80-an. Cabaran pada pihak saya ialah untuk dapatkan ‘relik’ atau barang antik seperti kita rasakan waktu zaman itu.

“Saya dan staf yang pernah melalui zaman itu terpaksa terpaksa turun padang mencari barang yang sering diguna masyarakat kampung ketika itu.

“Bayangkan lampu minyak tanah lama dan termos lama semuanya perlu dicari di kedai barang antik. Harganya jauh lebih mahal.

“Tidak cukup dengan itu, mencari orang boleh membuat demonstrasi menganyam tikar dan membuat bedak sejuk juga mencabar. Bayangkan untuk demonstrasi bedak sejuk, kami terpaksa bawakan dari Pulau Pinang,” katanya.

Tambah Azmi, program ini sangat dekat dengan beliau kerana berkongsi kisah manis zaman kanak-kanaknya.

“Waktu itu paling saya ingat ialah betapa seronoknya jadi budak kampung. Main lumpur, main sungai dan paling penting hubungan kekeluargaan sangat erat ketika itu.

“Melihat generasi sekarang betapa kebergantungan terhadap gajet tinggi menyebabkan budaya berbual, bergurau serta mesra dengan keluarga mahupun jiran tetangga semakin kurang dalam budaya kita.

“Sementara tanggungjawab Muzium Negara sebagai badan penting untuk memelihara warisan, budaya dan identiti serta jati diri berasa penganjuran program ini dapat membantu daripada sudut sosio dan budaya yang amat tinggi nilai diketengahkan pada generasi hari ini supaya tidak terus terhakis oleh arus pemodenan,” katanya.

Pameran Nostalgia Anak Kampung akan terus berlangsung sehingga 10 Januari bagi memberi peluang orang ramai terus menyaksikan karya kartunis Mie selain barang sering digunakan masyarakat kampung di era 60-an hingga 80-an.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 January 2019 @ 4:30 AM