KOLEKSI topi keledar vintaj Omal. FOTO Ezairi Shamsudin
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Barang lama asal ada peminatnya yang tersendiri secara tidak langsung ia menjadi unik. Malah, semakin sukar ia diperoleh semakin tinggi nilainya, apatah lagi jika sesuatu barangan itu terhad atau sudah tidak dihasilkan lagi.

Topi keledar juga boleh menjadi bahan koleksi kepada sesiapa saja yang meminatinya terutama dalam kalangan mat motor. Biarpun terdapat pelbagai jenama topi keledar, bagi Omal A, 42, lebih berminat kepada topi keledar vintaj daripada jenama Bell.

Mula menggunakan topi keledar vintaj jenama itu dengan model Magnum III pada 1991, beliau kini memiliki hampir 40 unit pelbagai model Magnum seperti Magnum II, Magnum III, Mag 4, Mag 5, Super Magnum, Mag LTD dan Mag XL.


HOBI mengumpul topi keledar vintaj kini sumber pendapatan Omal. FOTO Ezairi Shamsudin

Bell adalah pengeluar topi keledar keselamatan terbesar dari Amerika Syarikat yang dibuat untuk kegunaan dalam pelbagai bidang yang berisiko tinggi dan memerlukan perlindungan kepala. Bell diasaskan pelumba kereta, Roy Richter di Bell, California pada 1954 selepas menyedari kepentingan aspek keselamatan terutama bahagian kepala dalam perlumbaan.

Menariknya, Omal pada mulanya menggunakan topi keledar itu hanya sebagai aksesori pelindung kepala berikutan menunggang motosikal untuk berulang-alik ke tempat kerja. Namun, peristiwa beberapa kali ditahan orang awam ketika menunggang motosikal gara-gara topi keledar Bell vintaj dipakainya, ia menjadi pencetus kepadanya untuk mengumpul topi keledar daripada jenama itu.


PROSES menggilap bagi menyerlahkan penampilan topi keledar lama. FOTO Ezairi Shamsudin

“Dari situ saya mula menyedari keistimewaan topi keledar vintaj ini dan mencari maklumat mengenainya dengan merujuk rakan termasuk pencarian di Internet. Biarpun topi keledar Bell dihasilkan pada 1950-an, model keluaran selepas 1980 adalah paling banyak dicari kerana rekaannya pada masa itu sudah sedikit moden.

“Saya mula mengumpul topi keledar jenama ini sekitar tahun 2000 selepas nampak potensinya yang bakal diburu dalam kalangan peminat jenama ini. Kebanyakannya diperoleh menerusi laman web lelong dan komuniti pengumpul barangan lama atau pickers dari Amerika Syarikat.

“Topi keledar Bell yang dikategorikan sebagai vintaj adalah daripada keluaran 1970 hingga 1996. Keunikannya dinilai berdasarkan spesifikasinya yang original termasuk material komponen yang diperbuat daripada bahan antipeluru dikenali sebagai kevlar,” katanya.


KOLEKSI topi keledar vintaj disimpan dalam almari khas. FOTO Ezairi Shamsudin

Omal berkata, dia turut membaik pulih sendiri topi keledar Bell yang diperoleh dengan menukar span pada bahagian dalam yang biasanya diterima dalam keadaan kurang memuaskan. Namun, kerja membaik pulih dilakukan tidak membabitkan pengubahsuaian, sebaliknya mengekalkan keadaan asal supaya keaslian tetap sama seperti dahulu dan sejarahnya tetap terpelihara,

“Span di bahagian dalam atau padding akan ditanggalkan untuk ditukar, manakala kain alas ‘padding’ akan dicuci semula dan dijahit kembali bersama span baru. Bahagian luaran topi keledar turut digilap bagi mencantikkan penampilannya.


TOPI keledar asli Bell yang diterima sebelum dilakukan kerja baik pulih. FOTO Ezairi Shamsudin

“Menjahit semula span dalam topi keledar juga memerlukan ketelitian supaya menghasilkan kerja yang kemas. Bagi mendapatkan kualiti jahitan yang baik, saya belajar menjahit selama enam bulan daripada ibu yang juga tukang jahit.

“Selepas empat tahun mengumpul topi keledar Bell, lama-kelamaan hobi ini dilihat mampu menjana pendapatan sampingan untuk saya sekeluarga apabila ada pihak meminta saya menjadi orang tengah mendapatkan topi keledar jenama ini termasuk kerja baik pulih.

“Pada 2005, saya mulai aktif menjalankan aktiviti jual beli topi keledar Bell. Bagaimanapun, jualan hanya berdasarkan tempahan daripada pelanggan yang serius saja, sebaliknya saya tidak membuat jualan terbuka,” katanya.


OMAL menjahit sendiri alas span bahagian dalam topi keledar vintaj di stesen kerja khas di rumahnya. FOTO Ezairi Shamsudin

Topi keledar Bell yang dianggap mempunyai auranya yang tersendiri menjadi pilihan dan popular dalam kalangan penunggang motosikal dari semasa ke semasa, malah menjadi buruan peminat topi keledar. Harga topi keledar vintaj semakin mahal mampu mencecah ribuan ringgit berikutan permintaan yang tinggi dan boleh melambung naik jika diperoleh masih dalam keadaan yang serba bagus.


TOPI keledar koleksinya pernah dijadikan ‘props’ dalam filem bercorak permotoran tempatan. FOTO Ezairi Shamsudin

Berkenaan koleksinya, Omal berkata, topi keledar Bell paling berharga dimiliki adalah yang dibuat khas untuk sukan bot laju berikutan pengeluarannya terhad. Bagi keseluruhan koleksinya, ia tidak dijual biarpun ditawarkan harga yang tinggi.

“Harga topi keledar vintaj ini rata-ratanya dinilai berdasarkan permintaan. Biarpun topi keledar Bell keluaran 1970-an adalah jenis paling lama atau old school, tetapi kurang mendapat permintaan menyebabkan harganya boleh jatuh.

“Bagaimanapun, bagi keluaran tahun berkenaan sangat sukar diperoleh dan boleh dikatakan bekalannya sudah tiada lagi. Namun, saya ada menyimpan satu daripada keluaran 1974 dan rekaannya berbeza dengan keluaran 1980 ke atas.


TOPI keledar sukan bot laju antara koleksi paling mahal dimiliki. FOTO Ezairi Shamsudin

“Lazimnya, pembuat topi keledar ini mengeluarkan model baru setiap lima tahun sekali dan ciri-ciri baru hanya membabitkan naik taraf spesifikasi. Saya difahamkan pembuatnya juga menghentikan keluaran dengan material kevlar sekitar 1998 dan 1999 sebelum keluaran selepas tahun berkenaan menggunakan bahan gentian kaca.

“Faktor ini juga membuatkan topi keledar Bell vintaj semakin menjadi buruan peminatnya. Malah, terdapat komuniti pengumpul topi keledar ini dikenali Senato yang sudah wujud sejak 1985. Rata-rata ahlinya mempunyai lebih daripada satu topi keledar Bell dan mereka sering berkongsi minat menerusi aktiviti berkonvoi atau acara perhimpunan motosikal,” katanya.

Omal berkata, sememangnya kerja mencari topi keledar Bell asli yang tidak dihasilkan semula sangat sukar diperoleh. Jadi, kesabaran sangat penting dan beliau kini mampu mengenal dan menilai keaslian sesuatu barangan (topi keledar) dengan hanya melihatnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 12:36 PM