ANTARA arca yang terpilih untuk dipamerkan. FOTO Faiz Anuar
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Bagi yang sudah lama merantau, kerinduan terhadap desa dan suasananya pasti ada.

Lantas, artis sepenuh masa, Elly Nor Suria Mohamed Zainudin, 35, mengabadikan nostalgia kehidupan di kampung di atas kanvas menerusi empat karya bersiri dinamakan ‘Landscape of Belonging’ atau Bagai Ikan Pulang Ke Lubuk.

Elly Nor Suria yang kini menetap di Rawang, Selangor menjadikan kampung halamannya di Besut, Terengganu sebagai sumber inspirasi.

“Terikat dengan kenangan di kampung mendorong saya menghasilkan empat karya bersiri ini yang banyak berkisar kepada rentetan hidup saya ketika zaman kanak-kanak yang membesar dalam suasana kampung.

“Setiap orang pasti mempunyai sejarah hidup tersendiri dan yang paling sukar dilupakan pastinya kenangan pahit manis ketika zaman kanak-kanak,” katanya.


ELLY NOR SURIA bersama karya seni lukis naive yang memenangi Anugerah Insentif. FOTO Faiz Anuar

Karya bersiri ‘Landscape of Belonging’ dihidupkan dengan bantuan seni lukis naif yang digambarkan dengan catan terang dan penggunaan warna tebal pada kanvas. Karya naif yang menampilkan warna terang dan tekstur kasar turut berdasarkan kebebasan dan keinginan peribadi pelukisnya.

“Selain mengimbau zaman kanak-kanak dan suasana tinggal di kampung yang kaya dengan keindahan alam semula jadi serta keunikan faunanya, saya juga mahu masyarakat tidak lupa asal usul mereka yang kebanyakannya berasal dari kampung,” katanya.

Keunikan suasana kampung yang diterjemah ke aliran seni lukis naif ini turut menarik perhatian juri untuk diangkat menerima Anugerah Insentif bernilai RM2,500 daripada Galeri Shah Alam sempena Pameran Terbuka Galeri Shah Alam (PTGSA) 2018, baru-baru ini.


MOHAMAD FIRDAUS bersama karyanya yang menonjolkan hubungan ibu dan anak. FOTO Faiz Anuar

PTGSA adalah pameran terbuka berkonsepkan penjurian bertujuan meningkatkan kualiti pertunjukan dan menjaga kualiti yang dipersembahkan kepada orang ramai. Sepanjang 27 tahun PTGSA diperkenalkan, pihak galeri menerima lebih 5,700 penyertaan dan daripada jumlah itu, sebanyak 2,958 karya terpilih untuk dipamerkan setakat ini.

Bagaimanapun, hanya lima karya terbaik dipilih menerima anugerah itu sebagai galakan kepada artis untuk menghasilkan karya terbaru dan bermutu tinggi.

Malah, keupayaan artis memainkan peranan mereka dalam komuniti dengan melonjakkan pemikiran dan kritikan kepada isu semasa yang signifikan untuk dilaungkan dalam konteks kreativiti masing-masing antara ciri-ciri dinilai juri.


EXCO Kebudayaan, Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari (kiri) diiringi Pengarah Galeri Shah Alam, Prof Datuk Raja Zahabuddin Raja Yaccob (tengah) meninjau karya pameran. FOTO Faiz Anuar

Kurator galeri, Rosyida Mohd Rozlan berkata, pihaknya menerima 200 penyertaan dalam pameran kali ini, tetapi hanya 83 karya termasuk 12 arca terpilih untuk dipamerkan dalam PTGSA yang berlangsung mulai 13 Disember lalu hingga 21 Februari tahun depan.

“Pendekatan konsep terbuka PTGSA ini menyaksikan penyertaan ribuan hasil seni daripada pengkarya dan seniman tempatan sama ada yang sudah ternama ataupun masih baru. Setiap karya seni yang dinilai mempunyai kriteria berbeza berdasarkan beberapa subjektif dan objektif tertentu.

“Pemikiran seorang pengkarya atau seniman menunjukkan daya intelek yang dapat dilihat pada hasil karya hingga akhirnya menjadi harta intelek bernilai di samping aset kepada industri kreatif negara,” katanya.

Mengulas berkenaan karya yang terpilih seperti ‘Landscape of Belonging,’ Rosyida berkata, lukisan itu diolah dengan gaya naif yang membawa orang ramai ke dalam alam fantasi ciptaan artisnya dipenuhi spektrum warna terang segar, ceria dan mengasyikkan.

“Elly Nor Suria berjaya membawa kita kembali mengingati memori asal usul kehidupan masyarakat Melayu yang penuh citra, harmoni dan keceriaan. Penggunaan bahan dan media campuran juga turut mengangkat kualiti karya ini ke satu tahap yang boleh dibanggakan,” katanya.


SERAMIK kasut sarat kisah kehidupan marhaen. FOTO Faiz Anuar

Rosyida turut mengulas satu lagi karya hasil artis, Mohamad Firdaus Ismail yang bertajuk ‘Innocence’ yang dilihat dapat memberikan impak kepada kehidupan masyarakat supaya kembali kepada fitrah dengan mengutamakan nilai kasih sayang, kekeluargaan dan peranan serta tanggungjawab sosial yang wajar ditekankan semula dalam konteks masyarakat moden kini.

“Ini sejajar dengan Teori Vasari bahawa karya seni sebegini dapat memberikan nilai pengajaran secara tidak langsung biarpun bersifat didaktik seperti ini ditolak gerakan pasca moden,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Firdaus berkata, dia menggunakan teknik lukisan minyak untuk melakar subjek ibu dan anak di atas plat cetak linoleum sebelum ditoreh untuk menghasilkan nukilan yang terperinci.

Keunikan karya Mohamad Firdaus yang memiliki latar belakang seni cetak dalam menonjolkan kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya sehingga sanggup menempuh kesukaran berjaya menambat hati juri untuk menerima Anugerah Insentif.


KARYA wayang kulit daripada potongan laser. FOTO Faiz Anuar

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 12:05 PM