CABARAN keupayaan yang menguji kekuatan fizikal peserta. FOTO IHSAN KIX HD
Noriza Sainal
am@hmetro.com.my

Bergelar individu paling gagah di Asia Tenggara semestinya menjadi idaman setiap kaum Adam.

Mohd Saddam Mohd Pittli menitiskan air mata apabila dinobatkan sebagai ‘Individu Paling Gagah Asia Tenggara’ yang menundukkan 21 finalis lain dari Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam dalam pertarungan hebat R U Tough Enough? Asia Tenggara.

Pemuda berusia 27 tahun itu menerima gelaran berkenaan selepas menempuh cabaran keupayaan yang bukan saja diuji dari segi kekuatan fizikal, malah ketahanan mental dan daya tahan emosi perlu diatasi.

Pegawai tentera yang membawa pulang hadiah utama bernilai AS$15,000 (RM62,438) itu bukan saja merangkul gelaran dan hadiah, malah pengalaman mahal yang pasti dikenang sepanjang hayat turut menjadi sesuatu yang bernilai.

“Saya terlampau teruja sehingga menangis ketika mereka mengumumkan nama saya. Walaupun saya banyak memenangi maraton dan perlumbaan, pertandingan ini paling bermakna buat saya.

“Wang hadiah itu saya mahu gunakan bagi membeli peralatan untuk membina bootcamp mini saya sendiri bagi membantu rakyat Malaysia yang ingin mengamalkan gaya hidup lebih sihat,” katanya.

Gelaran dan kemenangan itu sesuai dengan dirinya yang pernah mengharungi kehidupan pahit dan keputusan untuk menyertai tentera selepas sekolah menengah adalah langkah tepat.


SERAMAI 21 finalis berentap bagi mendapat gelaran ‘Individu Paling Gagah Asia Tenggara’. FOTO IHSAN KIX HD

Sementara itu, Naib Presiden Pemprograman KIX HD, Betty Tsui berkata, ia sungguh mengujakan melihat sambutan hangat yang diterima dari seluruh rantau ini terhadap R U Tough Enough? Asia Tenggara sejak beberapa bulan lalu hingga kemuncak aksi pertarungan terakhir.

“Kebanyakan peserta memiliki kisah peribadi yang cukup memberikan inspirasi, mereka mengatasi pelbagai cabaran hidup sehingga sampai ke tahap ini.

“Ini kisah hidup ketabahan sebenar sejajar dengan kandungan yang KIX HD komited untuk kongsikan bersama semua penonton di rantau ini.

“Pertarungan akhir yang berlangsung sangat sukar dan sengit. Ini adalah bukti betapa gagahnya rakyat Asia Tenggara dan kami sangat berbangga dengan Mohd Saddam kerana beliau menjadi contoh sebenar kegagahan fizikal, mental dan emosi. Tahniah diucapkan buat pencapaian ini,” katanya.


MOHD Saddam individu paling gagah Asia Tenggara. FOTO IHSAN KIX HD

Pertarungan terakhir R U Tough Enough? Asia Tenggara yang berlangsung di pusat beli-belah Sunway Pyramid itu dihoskan seorang jurulatih kecergasan Malaysia merangkap dutanya, Ishaq Vadillo dan Hansen Lee.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Jualan Gabungan KIX HD, Annie Chan, Naib Presiden Kanan Iklan TV Astro, Kareen Woo, Pengurus Jualan dan Pemasaran Asia Pasifik Fisherman’s Friend, Geraint Jenkins.

R U Tough Enough? Asia Tenggara dipersembahkan oleh Fisherman’s Friend, gula-gula tekak yang kuat dengan faedah tambahan dan rakan kecergasan Celebrity Fitness.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 11:51 AM