CHANG bersama karya abstrak dihasilkannya. FOTO/ROHANIS SHUKRI.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


DARIPADA sekecil-kecil kerang sehingga selembar kain semuanya menzahirkan hasil seni yang bermutu tinggi. Tidak keterlaluan jua, sentuhan sang artis ini menjadi rebutan ramai pengumpul koleksi seni.

Bertemu pemilik tangan emas ini, Chang Yoong Chia yang kini mengadakan Pameran ‘Second Life’ - Gemilang 2 Dekad di Balai Seni Negara, Kuala Lumpur hingga 31 Januari ini antara peluang keemasan buat penulis.

Ia membabitkan hasil seninya yang masih dalam koleksi peribadi dan ada juga dipinjam semula daripada pembeli.

Semua yang terpamer dalam lukisannya membuktikan orang seni bukan saja mampu melakar jiwa pada sekeping kanvas, malah lebih daripada itu.


PENGALAMAN bergelar artis diterjemahkan dalam pelbagai sentuhan lukisan.

Bercerita berkenaan tajuk pameran itu Chang berkata, semua hasil seninya menggambarkan bahan yang dianggap sebagai buangan sebenarnya boleh dizahirkan dalam suatu bentuk bernilai sekiranya diberi sentuhan kreatif.

Beliau berkata, antara bahan terbuang yang diketengahkan adalah helaian daun dikutip berhampiran Gunung Merapi, Indonesia dan di sebuah tempat di India. Daun kering itu dilukis semula seterusnya menjadi bahan yang bermakna.

“Kita sering melihat sesuatu bahan yang terbuang itu tidak mampu untuk digunakan lagi tetapi sebenarnya boleh memberi ‘kehidupan’ kedua kepadanya dengan menonjolkan fungsi yang berbeza seperti menjadi kanvas lukisan saya pada hari ini.

“Tidak sekadar itu, rambut yang gugur sering kali dibuang tetapi menerusi perspektif lain, saya melihat helaiannya itu boleh dicantum untuk dizahirkan dalam bentuk seni dihargai pemiliknya,” katanya yang memulakan karier sejak 1996.

Pada persembahan solo ke-10 ini, Chang yang turut dikenali sebagai pemikir hebat menghidangkan 100 karya untuk santapan minda peminatnya.

Dalam pameran karya itu, pengunjung juga dapat melihat hasil seni unik seperti susunan bahan seramik termasuk sudu dan piring yang dilukis beberapa aktor di atasnya hingga menjadi cerita lengkap.

Idea anak kelahiran Kuala Lumpur ini juga sentiasa bergerak secara halus sehinggakan potret belangsungkawa yang terdapat di dada akhbar menjadi persembahan seni.


POTRET belangsungkawa di dada akhbar disulam dan digabungkan menjadi selimut antara yang menarik dan unik.

Potret itu disulam satu persatu dan digabungkan sehingga menjadi sehelai selimut. Difahamkan, hasil seni itu menceritakan kisah orang tersayang yang terpahat kukuh dalam memori seseorang.

Jelasnya lagi, semua karya yang ditampilkan dalam pameran kali ini turut menceritakan berkenaan perjalanannya sebagai seorang artis, daripada mencari identiti sehinggalah pertemuan dengan isterinya.

“Di satu sudut pameran ini terdapat lukisan minyak bermain rona hitam dan putih menceritakan permulaan saya mencari identiti sebagai seorang artis dan ia memberi gambaran kepada umum mencari identiti adalah sesuatu yang sukar serta perlu digali.


PAMERAN "Second Life" , gemilang 2 dekat hasil karya Chang Yoong Chia di Balai Seni Negara.

“Saya bersyukur hasil karya ini juga sudah dipamerkan di lebih 10 negara dan pameran di Balai Seni Negara pada kali ini juga memberi nafas yang berbeza untuk tontonan umum serta menterjemahkannya,” katanya.

Sepanjang tempoh pembabitan sebagai pelukis, beliau gemar mengembangkan ilmu dan kemahirannya dengan menyertai program residensi serta komuniti tempatan atau antarabangsa.

Uniknya pameran kali ini, Chang buat kali pertama mengeluarkan karya hasil residensi dan program komuniti untuk tatapan ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Disember 2018 @ 5:01 AM