SALAH satu lokasi persinggahan.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@nstp.com.my


LEBIH 150 motosikal daripada pelbagai model dan kapasiti enjin terbabit dalam program Konvoi Amal Warga Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam bersama Komuniti 2018 yang diadakan baru -baru ini.

Terdiri daripada penyertaan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga orang awam, aktiviti julung kali dianjurkan itu bertujuan mendekatkan anggota keselamatan dengan penduduk setempat sesuai dengan tema sambutan Hari Polis 2018 iaitu Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada.

Acara pelepasan diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam yang disempurnakan wakil rakyat Kota Anggerik, Najwan Halimi dan atur cara program pagi itu bermula dengan konvoi bergerak melawat ke empat lokasi di daerah itu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, aktiviti seperti itu dapat membuka lebih banyak ruang kepada warga PDRM bersama-sama masyarakat setempat dan pada masa sama sebagai salah satu usaha membantu mengurangkan kadar jenayah di daerah itu.


KONVOI bergerak lancar.

“Buat masa ini kami hanya anjurkan di sekitar Shah Alam namun kelak akan diluaskan ke daerah lain dalam Selangor untuk menarik lebih ramai komuniti menyertainya,” katanya yang turut serta dalam program itu dengan menunggang motosikal.

Aktiviti pada pagi itu dimulakan dengan bergerak ke Masjid Al-Ehsan Seksyen 24 untuk bertemu penduduk di sana sambil bersarapan dan berkongsi pelbagai pandangan serta cadangan berkaitan keselamatan penduduk sekitarnya.

Seterusnya konvoi bergerak menuju ke Institut Taufiq Islami di Seksyen 30, yang penghuninya terdiri daripada golongan mualaf, anak-anak yatim, anak-anak terabai dan fakir miskin bagi menyerahkan sumbangan seperti makanan dan peralatan sukan.


SUMBANGAN kepada tahfiz.

Selain itu peserta juga disajikan dengan persembahan taekwondo dan tomoi daripada pelajar di situ yang memeriahkan suasana. Tidak ketinggalan pembabitan Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) yang turut menghulurkan sumbangan wang dan peralatan menulis.

Perjalanan diteruskan ke Pangsapuri Melati di Denai Alam untuk memeriahkan acara yang dikelolakan penduduk di situ.

Pameran dan aktiviti jualan juga sambutan yang meriah daripada komuniti di situ diadakan bersempena program konvoi ini secara tidak langsung dapat saling mengenali antara satu sama lain dengan lebih rapat dalam mewujudkan komuniti lebih selamat dan sejahtera.

Kemudian semua peserta bergerak ke Seksyen 7 untuk menikmati makan tengah hari di Restoran Hakim sebelum program bersurai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Disember 2018 @ 4:31 AM