ANTARA foto yang dirakam oleh ahli Fotografi Jalanan Malaysia (FJM), mengisahkan refleksi seakan-akan dia duduk diatas basikal itu. FOTO E-mel
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


JURUGAMBAR legenda fesyen Amerika Syarikat, Bill Cunningham sangat dikenali dengan hasil kerjanya merakam subjek di jalanan.

Meskipun bergiat dalam kerjaya profesional iaitu sebagai jurugambar The New York Times, beliau tidak pernah mengetepikan minat mendalam terhadap genre seni foto jalanan.

Hasilnya setiap imej dirakamkan Bill tampak menyerlah dan unik apabila sering mengaitkan trend dalam fesyen yang begitu rapat dengan persekitaran. Ia sekali gus memberi transisi sebenar corak dalam budaya, seni dan rekaan pada kaca mata umum.

Bagi peminat seni foto tempatan, genre seni foto jalanan mempunyai kelas tersendiri dan jumlah pembabitan komuniti ini makin berkembang di serata negara.

Ramai yang menyertai bidang foto berkenaan melihat ia sebagai kepuasan selain nilai estetika yang berkualiti dipamerkan dalam setiap hasil kerja. Bayaran bukanlah ganjaran diharap bagi jurufoto jalanan.

Penggiat seni foto jalanan sering mengatakan karya yang mereka hasilkan sebagai naskhah paling berharga dan memori atau pengalaman ketika merakam detik itu umpama harta yang tiada galang gantinya.

Rentetan itu, komitmen kira-kira 60 peserta dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah termasuk Jakarta, Indonesia yang menyertai Grand Outing FJM oleh Komuniti Fotografi Jalanan Malaysia sebagai sesuatu yang sangat bermakna.

Wakil penganjurnya, Mohamad Khairizam Desa berkata, walaupun tiada ‘bulan atau bintang’ dijanjikan kepada peserta, semuanya berjalan lancar.

Malah rata-rata hadir terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri untuk menyertai perhimpunan berupa aktiviti turun padang sering dijalankan FJM bagi merakam foto di lokasi yang terpilih.

“Bagi penggemar seni foto jalanan, perkara penting untuk kami ialah mempunyai subjek menarik dan momen tepat bagi menghasilkan karya. Kejujuran adalah elemen penting dalam merakam foto jenis ini. Maknanya, kami perlu lakukan dalam keadaan biasa yang berlaku setiap hari, tanpa ada unsur lakon semula.

“Subjek untuk seni foto jalanan boleh membabitkan apa saja perkara atau peristiwa berlaku ketika itu. Jadi, mata jurufoto jalanan ini tidak ubah seperti ‘mata helang’ yang sentiasa mengesan setiap detik menarik untuk dirakam,” katanya.

Katanya, aktiviti turun ke lapangan beramai-ramai agak jarang dilakukan bagi komuniti FJM di Utara seperti Pulau Pinang dan Kedah berbanding Kuala Lumpur.

“Penting untuk kami menganjurkan acara Grand Outing FJM di Pulau Pinang agar dapat mengumpulkan komuniti di zon utara bagi jurufoto yang aktif dalam merakam foto jalanan. Di Kuala Lumpur, rasanya setiap minggu jurufoto jalanan berkumpul dan berkongsi hasil kerja mereka.

“Jurufoto jalanan perlu terus berkarya dalam memastikan kemahiran mereka bertambah baik sekali gus meningkatkan kualiti foto yang dihasilkan,” katanya.

Rakannya, Nazeehah Zaini berkata, penting buat komuniti FJM tempatan berkongsi hasil kerja dan minat dengan rakan serantau.

“Seni foto jalanan bukan sekadar merakam gambar subjek di jalanan semata-mata tetapi juga ekspresi dan objektif karya mungkin berbeza dek pengaruh persekitaran.

“Rakan jurufoto jalanan Jakarta umpamanya, cara mereka dan FJM tidak banyak beza kerana kerana masing-masing merakamkan foto lebih kepada penceritaan apatah lagi faktor keadaan persekitaran yang agak sama.

“Lebih ramai rakan komuniti dari luar negara menyertai aktiviti ini, lagi banyak ilmu dan teknik merakam foto yang boleh kami pelajari. Pendek kata seni foto jalanan ini disifatkan eksplorasi melangkaui sempadan apabila tidak pernah mengehadkan penggiatnya untuk berkarya.

“Kamera yang kami gunakan juga pelbagai, bergantung kepada keselesaan dan kemampuan. Malah ada juga yang menggunakan telefon pintar. Namun semuanya mampu menghasilkan karya yang menarik dan unik.

“Sebenarnya dalam komuniti ini, bukan jenis kamera yang penting. Apa yang perlu dimiliki adalah minat dan kesudian berkongsi idea sepanjang merakam foto di jalanan,” katanya.

Berkongsi detik tidak dapat dilupakan dalam program Grand Outing FJM Pulau Pinang kali ini, kata Nazeehah, pengalaman lucu dialami rakannya menjadi subjek paling menarik untuk dirakam.

“Seorang antara kami dikejar anjing tetapi tiada siapa yang membantu untuk menghalaunya. Malah kami berebut menangkap gambar ketika kejadian berlaku. Ada juga antara kami hampir dilanggar beca kerana terlalu asyik mengambil gambar sehingga terlupa untuk berdiri di kaki jalan,” katanya.

Bagi acara kali ini peserta bergerak secara berkumpulan sehingga empat jam menyusuri laluan ikonik Pulau Pinang iaitu Hutton Lane,Chowrasta, Armanian Street, Lebuh Chulia, Lebuh Cintra, Little India, Chew Jetty dan sekitar kawasan seni mural di dinding.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 November 2018 @ 6:20 AM