PELUKIS, Nor Aishah Alli menunjukkan hasil lukisan yang dilukis di rumahya. FOTO Hafiz Sohaimi
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


BAGI pelukis baru, cat minyak bukanlah medium biasa digunakan kerana ia memerlukan teknik tertentu dalam campuran warna selain kosnya lebih mahal berbanding material cat lain.

Namun kelebihan cat minyak membuatkan ramai pelukis seakan-akan ‘dipukau’ untuk menggunakannya disebabkan efek warna yang berkilat. Malah ia juga membuatkan kualiti warna semakin menarik apabila disimpan lama.

Kelebihan itu membantu kebanyakan pengumpul koleksi lukisan tempatan sedar berkenaan jumlah wang yang perlu dibelanjakan untuk memiliki lukisan cat minyak berbanding lukisan lain.

Disebabkan harganya terlalu mahal, individu yang memiliki lukisan itu biasanya terdiri daripada pencinta seni berstatus kelas atasan atau elit.

Namun, bagi pelukis wanita kelahiran Ipoh, Perak, Nor Aishah Alli, 36, dia mempunyai pendirian yang berbeza. Tanggapan orang ramai mengenai lukisan cat minyak hanya boleh dinikmati golongan eksklusif tidaklah benar kerana artis sepertinya sedia menawarkan harga mampu milik bagi peminat lukisan tempatan untuk memilikinya.

Beliau yang baru-baru ini mempamerkan 56 lukisan dalam pameran solo di WK Bungalow, Petaling Jaya menawarkan harga serendah RM150 hingga RM9,000 berbeza mengikut saiz dan tema.

“Sasaran saya ialah mahu orang ramai yang mempunyai minat mendalam terhadap lukisan cat minyak turut berpeluang memilikinya. Pengenalannya ialah dengan kehadiran artis baru seperti saya terbabit dengan lukisan cat minyak sejak 2016.

“Mulanya saya diminta individu untuk ‘menyalin’ karya The Son of Man hasil pelukis Belgium, Rene Magritte dan hasilnya sangat mirip dengan lukisan asal.

“Saya sering mendapat permintaan sehinggalah memutuskan untuk berhenti sebagai Pembantu Teknikal Sivil Struktur dalam pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Doha yang baru untuk kembali ke Malaysia menjadi pelukis.

“Meskipun baru berjinak-jinak melukis, saya sudah mulakan dengan cat minyak. Bukan tidak pernah guna cat lain tetapi minat dan kepuasan saya ialah menggunakan medium cat minyak.

“Satu lagi kelebihan cat minyak ialah jika ingin membuat pembetulan, saya boleh lakukan di atas kanvas itu semula sebelum cat kering. Biasanya untuk cat minyak ia mengambil masa kira-kira sebulan untuk untuk kering, bergantung pada saiz dan lapisan cat,” katanya.

Kata Aishah, inspirasi bagi setiap hasil kerja lebih menjurus kepada alam semula jadi. Ia juga didorong minatnya gemar berada di persekitaran indah seperti hutan dan pantai lautan.

“Sebenarnya lukisan saya tidaklah rumit seperti abstrak. Lihat saja, rasanya masyarakat boleh faham mesej yang disampaikan berkenaan alam semula jadi.

“Alam semula jadi adalah anugerah yang cukup besar dan manusia sering terlepas pandang terhadap anugerah yang ada di keliling kita. Inilah yang membuatkan kita gagal menghargai alam. Saya abadikan keindahan itu dalam karya sebelum ia hilang.

“Kalau lihat apa saja berkaitan alam semula jadi iaitu pokok, pantai, haiwan, gunung-ganang dan batu, semuanya memberi inspirasi dalam setiap lukisan dihasilkan.

“Idea biasanya lahir daripada pengalaman merentas hutan, ketika melancong luar negara dan pulang ke kampung bersama imaginasi sendiri.

“Contohnya pada karya Scenary of Nepal, iaitu kenangan ketika berkunjung ke kawasan pergunungan di Nepal. Foto asalnya kosong tiada banyak batu tetapi saya tambahkan perincian berkenaan untuk tampak unik.

“Sementara karya Dramatic Pirate Ship ialah ilham daripada pengalaman menonton satu filem. Cabaran ketika menyiapkan lukisan ini ialah perincian pada ombak yang memerlukan garapan warna selain bentuk gulungan ombak agar sinergi dibawa lukisan itu tepat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 November 2018 @ 6:10 AM