Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


Bergiat beguk Ulu Tembeling,

Nampak dari Pulau Sari,

Adik duduk sanggul melintang,

Bagai bunga kembang pagi.

PETIKAN pantun daripada Kurik Kundi Merah Saga: Himpunan Pantun Lisan Melayu mencerminkan pemakaian hiasan mahkota wanita menjadi asas kepada tata pemakaian busana tradisional Melayu, umumnya di seluruh Nusantara.

Sejarah penggunaan sanggul dipercayai bermula pada zaman Mesir purba sekitar 4,000 tahun lalu, berfungsi sebagai penghias kepala dan simbolik identiti sosial pemakai.

Bagaimanapun, hari ini, kebanyakan sanggul dihasilkan daripada material nylon atau lebih dikenali dengan gelaran cemara (di Indonesia).

Pengkaji busana, Heintje Nazarudin berkata, budaya sanggul dipercayai disebar menerusi pengaruh yang bermula dari Mesir melalui urusan dagangan silam ke rantau Nusantara.

“Kita tidak mempunyai rekod sejarah didokumenkan secara tepat berkenaan permulaan sanggul di Tanah Melayu, namun dipercayai ia dipengaruhi pedagang Arab yang berdagang ke Melaka.

“Gaya pemakaian generasi nenek moyang kita terdahulu berkonsepkan tiga helaian kain tidak berjahit seperti kain sarung, manakala wanita mula mendandan rambut tetapi ia tidak dipanggil sanggul.

“Selalunya pengaruh luar ini bermula dari istana, oleh itu golongan bangsawan terlebih dulu menerima pendedahan awal dari segi budaya pakaian dan ketrampilan pedagang asing, selain mereka yang berkemampuan.


1. KEMASAN klip rambut memastikan ketahanan sanggul.

“Generasi lama jauh lebih kreatif dan sangat menitikberatkan kesempurnaan dalam ketrampilan diri terutama cara berpakaian yang merangkumi penggayaan sanggul. Setiap gaya sanggul mempunyai cerita di sebalik penciptaannya,” katanya.

Menyenaraikan klip, penyembur rambut, cemara dan jaring sebagai alatan utama sanggul, pemilik Blitz Network ini mengakui budaya bersanggul Melayu adalah milik semua negara di Nusantara, perbezaan cuma pada nama ataupun penggayaan.

Wujudnya pengaruh Indonesia dalam teknik pemakaian sanggul, Heintje menyifatkan ia bermula dengan perpindahan masyarakat negara jiran ke Tanah Melayu, seterusnya bermastautin dan mengamalkan budaya tersendiri, sebelum ia ‘menjangkiti’ budaya komuniti Melayu di sini.

Menariknya, kebanyakan sanggul era nenek moyang dihasilkan daripada rambut asli yang dipotong dan dibentuk menjadi sanggul bagi memudahkan ia digayakan.

Menurutnya, pemasangan sanggul perlu dilakukan orang lain bagi memastikan kekemasan dan kesempurnaannya dalam penampilan istimewa terutama raja sehari, kumpulan penari persembahan mahupun wanita yang menghadiri majlis formal.


PENGGAYAAN sanggul perlu dimartabatkan.

“Di Malaysia, sanggul bukanlah satu trend fesyen popular berbanding negara jiran.

“Bagi menyemarakkan semula budaya pemakaian sanggul, kita perlu memartabatkan penggayaan sanggul bersama pakaian tradisional dalam pesta filem dan anugerah industri seni tanah air.

“Inisiatif ini boleh dimulakan dengan orang berpengaruh, golongan penghibur yang menjadi ikon kepada masyarakat kerana rata-rata memiliki pengikut tersendiri.

“Penggayaan sanggul tidak terhad kepada busana klasik, bahkan ia boleh digabungkan bersama pakaian rekaan moden namun padanan seharusnya tepat kerana dibimbangi merosakkan keindahan sanggul itu sendiri,” jelasnya lagi.

Berkongsi jenis sanggul popular, Heintje menamakan sanggul keria, ekor kera dan Jawa antara pilihan utama yang memiliki keunikan tersendiri.

Bercirikan kuih tradisional, bentuk sanggul keria menyerupai kuih keria atau donat. Selalunya sanggul keria ini mempunyai acuan diperbuat daripada rambut palsu untuk membentuk bulat pada kepala.


HEINTJE ingin memperjuangkan budaya bersanggul.

Menurut Heintje, orang dulu-dulu lama menghasilkan acuan sanggul keria bersama daun pandan yang dihiris kasar.

Hirisan daun pandan itu kemudian dibalut menggunakan jaring halus dan dibentuk seperti kuih keria yang berlubang di bahagian tengah.

“Untuk menggayakan sanggul keria, rambut asli akan diikat dan dimasukkan ke dalam lubang acuan sanggul keria.

“Kemudian, rambut akan dibahagi-bahagikan untuk menyaluti bentuk acuan sanggul keria sekali gus menghasilkan sanggul yang sempurna dan menarik.

“Sanggul keria lebih sesuai dipadankan bersama hiasan bunga klasik seperti cempaka, kenanga dan seroja yang mempunyai keharuman tersendiri.

“Selain menggunakan bunga-bungaan sebagai pewangi, masyarakat dahulu turut mengasapkan kemenyan dan gaharu bagi tujuan sama,” katanya.

Bagi sanggul ekor kera pula, ia merujuk kepada juntaian rambut yang terhasil daripada cemara dibentuk angka lapan secara melintang.

Sanggul jenis ini dibentuk menerusi kaedah rambut asal diikat bersama cemara (bagi rambut pendek) lebih sesuai bagi wanita berusia 35 tahun ke atas. Manakala sanggul Jawa pula dipakaikan di bahagian bawah kepala berdekatan tengkuk bagi menghasilkan penampilan santai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 7:31 AM