DENNIS Lau bersama hasil karyanya. -Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM

SENYUMAN terukir di wajah sang ibu daripada etnik Kayan yang sedang menikmati potongan aiskrim bersama dua anak daranya, membuatkan penulis ikut tersenyum.

Kisah di sebalik foto berjudul Kayan Mother and Daughters menceritakan tiga subjek utama yang berasal dari Ulu Tubau mencuba aiskrim buat pertama kalinya ketika menyaksikan sambutan perlumbaan perahu (regata) di Bintulu pada 1952.

Pada tahun sama, Bintulu membuka kilang pengeluaran aiskrim yang pertama.

Merungkaikan keindahan gambar yang dirakam, tersembunyi sejarah menarik. Itu kata si perakam waktu, Dennis Lau yang kini mengadakan pameran solonya Dennis Lau’s Solo Photography Exhibition: Classic Images of Borneo di Balai Seni Negara.

“Saya tertarik untuk merakam ekspresi wajah manusia selain pemandangan. Setiap individu memiliki karakter dan jiwa tersendiri yang selalunya terlukis pada wajah.

“Tidak dinafikan, gambar dirakam perlu memenuhi kriteria tertentu termasuk cantik dan paling penting, ia memiliki ‘kenyataan’ serta cerita yang jelas.


MANUSIA memiliki karakter.

“Foto Kayan Mother and Daughters umpamanya, saya cuba merakamkan keseronokan dan keceriaan mereka menikmati aiskrim dan keterujaan menyaksikan regata. Berlatarkan pondok ringkas untuk berteduh, pemandangan itu sangat semula jadi di mata saya.

“Ini antara gambar pertama yang menjadi permulaan kepada perjalanan saya merakam lebih banyak foto di Sarawak dan Sabah menggunakan kamera kotak, Yashica serta Leica M3 sekitar 1952.

“Berbanding kamera digital hari ini, kamera (Yashica dan Leica) saya itu menggunakan gulungan filem (hanya 12 foto). Bermakna saya perlu berhati-hati sebelum merakam gambar kerana ia agak mahal.

“Oleh itu, saya sentiasa melatih mata dan deria rasa untuk melihat ‘gambar’ sempurna di minda, sebelum merakamkan momen itu menggunakan kamera kotak,” kata lelaki campuran Cina Melanau berusia 80 tahun yang berasal dari Sarawak ini.

Menghabiskan masa kira-kira 50 tahun mendokumentasi dan merakamkan foto masyarakat pribumi Borneo, hasil tangan Dennis adalah spontan serta bersahaja membuatkan khazanahnya memiliki tarikan istimewa.


SETIAP gambar miliki cerita tersendiri.

Koleksi gambar Dennis turut menyerlahkan keunikan, ketenangan, keharmonian, kelangsungan dan gaya hidup yang ringkas diamalkan etnik pribumi sekali gus membuktikan wujudnya warisan budaya tidak ternilai dibimbangi terhakis.

Sebanyak 40 karya Dennis merangkumi komuniti etnik Murut, Bajau, Dusun Kadazan dan Rungus di pelosok negeri di bawah bayu, manakala di Sarawak pula fokus pada kumpulan Bidayuh, Iban, Kajang, Kayan, Kelabit, Kenyah, Melanau, Kedayan, Orang Penan, Bukitan dan Sebop.

Menariknya, usia muda bekas guru seni ini banyak dihabiskan bersama-sama masyarakat pribumi, seterusnya berpeluang menikmati budaya serta cara hidup mereka selama lima dekad.

Bagi Dennis, kesabaran menanti momen indah dan tepat adalah prinsip utama setiap kali turun ke lapangan.

Memiliki bilik gelap bagi tujuan memproses gambar, hampir 80 peratus daripada gambar hitam putih dipamerkan adalah cetakan tangan Dennis.-Aniza Zainudin


PENGUNJUNG turut menyusuri masa silam menerusi koleksi foto Dennis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 7:01 AM