RUMAH Ibu yang milik Komuniti Rumah Kayu yang dijadikan mini galeri memperingati seniman Nordin Ahmad.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

GENERASI muda sekarang mungkin ada yang tidak mengenali seniman Allahyarham Nordin Ahmad yang cukup terkenal dengan dialog klasik ‘kajang Pak Malau kajang berlipat, kajang hamba mengkuang layu, dagang Pak Malau dagang bertempat, dagang hamba musafir lalu’ menerusi filem Seri Mersing.

Penghayatan lakonan dan emosinya dalam setiap filem amat sukar ditandingi. Pelakon ini juga mampu membawa pelbagai watak sehingga meninggalkan kesan di hati penonton. Lakonannya seperti dalam filem Semerah Padi, Air Mata Duyong dan Gurindam Jiwa membuktikan kehebatan Nordin Ahmad dalam menghayati watak.

Bagi mengenang dan menghargai bakat pelakon Melayu klasik ini dalam industri lakonan dan perfileman Melayu, Kelab Filem dan Muzik Melayu Klasik (KFMMK) dengan kerjasama Komuniti Rumah Kayu menubuhkan mini galeri Rumah Nordin Ahmad di tapak rumah kayu Melayu tradisional di Kampung Tebuk Haji Yusof, Sungai Besar, Selangor.


KOLEKSI gambar Nordin Ahmad dalam lakonan memenuhi penjuru Rumah Ibu.

Rumah kayu lama dua tingkat yang dikenali sebagai Rumah Ibu itu dipilih kerana dikatakan mempunyai ciri hampir sama dengan rumah asal pelakon klasik era 1950-an itu. Ia dilengkapi maklumat dan potret daripada koleksi peribadi beliau.

Terdapat kira-kira 80 koleksi gambar pelakon berkenaan yang rata-ratanya belum pernah dipertontonkan kepada umum seperti pasport pertamanya. Kebanyakan material diperoleh daripada pelbagai pihak termasuk disumbangkan ahli KFMMK.

Sekilas berkenaan Nordin Ahmad, seniman ini dilahirkan di Kampung Kota, Permatang Pasir, Seberang Perai, Pulau Pinang pada 4 Ogos 1929. Anak kedua daripada enam beradik ini dilahirkan di dalam keluarga yang sederhana. Bapanya Ahmad Sahak seorang pekerja am di Jabatan Kerja Raya, Pulau Pinang manakala ibunya Che’ Md Hashim pula bekerja di bendang.


POTRET Nordin Ahmad dipamer bersama keunikan rumah lama tradisional.

Nordin Ahmad meninggal dunia pada 15 Jun 1971 akibat menderita penyakit kuning (jaundice). Beliau menghembuskan nafas terakhir di sisi isterinya, Salmah Ibrahim di Hospital Besar Singapura, Outram Road.

Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Islam, Bedok. Sekitar 1980-an perkuburan Islam di Bedok dipindahkan ke tanah perkuburan Islam, Pusara Abadi dan di situlah jasad Nordin Ahmad bersemadi sehingga sekarang.

Timbalan KFMMK Hidir Ali Razali berkata, nama Nordin Ahmad cukup besar dan sama gah dengan Allahyarham Tan Sri P Ramlee khususnya dalam bidang lakonan. Namun, tiada peringatan dibina untuk menghargai seniman hebat ini yang sering membawakan watak purbawara.

“Rumah peninggalannya di Permatang Pasir, Seberang Prai, Pulau Pinang hanya tinggal kenangan. Saya difahamkan rumah ini sudah tiada lagi kerana dibeli seseorang yang berminat untuk dijadikan rumah antik di tempat lain dan sekarang hanya tinggal tapaknya.


GAMBAR yang belum pernah dilihat antara koleksi ditempatkan di mini galeri.

“Kelab pernah mencadangkan kepada pihak tertentu supaya membangunkan semula rumah ini untuk dijadikan pustaka peringatan seperti Rumah P Ramlee di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

“Hasrat ini akhirnya disambut baik pihak Komuniti Rumah Kayu yang mahu mewujudkan mini galeri seniman berkenaan di tanah milik mereka di Sungai Besar, kira-kira dua tahun lalu sebelum pihak kelab bersetuju membantu dan memberikan komitmen dalam pembinaannya,” katanya.

Katanya, pembinaan mini galeri bagi mengenang Nordin Ahmad tidak menjadi isu walaupun seniman berkenaan bukan berasal dari Selangor. Asalkan ada pihak yang yang sanggup mewujudkan satu tempat sebagai mercu tanda yang boleh kita kenang siapa itu Nordin Ahmad.

Perasmian mini galeri Rumah Nordin Ahmad disempurnakan selebriti tanah air Datuk Rosyam Nor, pada 16 September lalu. Majlis turut diserikan dengan kehadiran anak Nordin Ahmad iaitu Norman Shah dan Asmah. Selain itu Sabri Sidik mewakili ayahnya, Sidik Ahmad iaitu adik kepada Nordin Ahmad.


MAKLUMAT mengenai Nordin Ahmad turut dipaparkan.

Rumah Ibu yang dijadikan mini galeri Rumah Nordin Ahmad itu juga mempunyai keunikannya yang tersendiri apabila beberapa bahagiannya masih mengekalkan ciri-ciri tradisional Melayu melalui ukiran tingkap, hiasan dinding serta binaan bumbungnya.

Selain serambi bertiang tinggi, daun pintu rumah yang bercirikan ukiran tradisional dan masih menggunakan selak kayu sebagai kunci antara yang menarik perhatian. Beberapa barangan antik turut dijadikan aksesori pelengkap hiasan kediaman kayu itu.

Pihak Komuniti Rumah Kayu turut berharap usaha menjadikan Rumah Ibu itu sebagai mini galeri seniman hebat seperti Nordin Ahmad secara tidak langsung dapat mengetengahkan seni ukiran Melayu yang semakin dilupakan.

Menerusi kunjungan orang ramai ke Rumah Nordin Ahmad kelak, sekurang-kurangnya identiti orang Melayu ini masih boleh disaksikan oleh generasi muda. Malah, komuniti di Sungai Besar juga mempunyai satu lagi produk pelancongan yang mampu menggamit orang luar ke desa yang terkenal dengan sawah padi dan pantai.

Dalam usaha mendekatkan peminat dengan Nordin Ahmad, mereka juga boleh bermalam di Rumah Ibu itu dengan kemudahan lengkap. Selain Rumah Ibu, terdapat beberapa lagi binaan rumah kayu lama berlainan reka bentuk berhampiran yang masing-masing dikuasai ciri tradisional dan berhias ukiran penuh seni dan sedia menanti tetamu.

“Secara peribadi, Nordin Ahmad sememangnya mempunyai daya penghayatan yang sangat tinggi. Cara beliau melontarkan dialog juga jelas dan tersusun. Permainan emosinya juga sangat hebat dan penuh jiwa.


HIDIR di pintu masuk ke mini galeri Nordin Ahmad.

“Sebab itu lakonan yang dipersembahkan sangat terkesan di hati penonton. Mungkin kerana sifat keperibadiannya yang membuatkan lakonan tragisnya sangat berkesan. Dalam mempertahankan kredibiliti beliau sebagai seorang hero filem Melayu, Nordin Ahmad sememangnya kurang bercakap dan kurang pergaulan. Beliau lebih banyak diam daripada bercakap perkara yang tidak perlu.

“Ketika bekerja, beliau akan meneliti skrip sejak hari pertama beliau menerimanya sehingga betul-betul faham apa kehendak skrip dan hubung kait wataknya dengan watak yang lain.

“Nordin Ahmad sangat taat pada skrip dan jarang beliau menukar situasi skrip, malah diterjemahkan dengan caranya sendiri. Jika masih tidak berpuas hati dengan latihan lakonannya, beliau tidak akan memulakan penggambaran,” kata Hidir yang juga pengkaji filem Melayu klasik.

Menurut Hidir, bagi memantapkan mini galeri itu agar kekal menjadi daya penarik, pihaknya merancang mempamerkan prop lakonan Nordin Ahmad seperti tanjak yang sangat sinonim dengan wataknya dalam filem purba dan sepasang sut yang pernah digunakan oleh Nordin Ahmad ketika melangsungkan perkahwinan dengan Salmah Ibrahim pada 1952.

“Aktiviti lain yang dirancang secara berkala seperti wayang pacak menayangkan filem lakonan Nordin Ahmad, diskusi seni dan pameran maklumat berkenaan filem, lagu, seniman dan seniwati veteran termasuk gambar nostalgia yang eksklusif untuk tatapan bersama masyarakat.

“Ini dilakukan supaya sejarah perfileman Melayu negara terutama karya klasik terus dikenang dan tidak hilang begitu saja berikutan perkembangan karya baru yang banyak muncul. Langkah ini juga bertujuan menarik minat orang ramai kembali meminati filem dan lagu Melayu lama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 6:01 AM