ANTARA Lukisan ilham rasa kanak-kanak yang diketengahkan.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

LUKISAN ilham rasa kanak-kanak yang dipaparkan di pusat pembelajaran kraf, Jane Yap Atelier di Ara Damansara, Petaling Jaya bukan seperti yang kita bayangkan iaitu orang lidi atau gambar rumah bersama gunung dan matahari.

Sebaliknya, karya seni yang dihasilkan pelajar pusat berkenaan mempamerkan koleksi yang luar biasa dengan bentuk seni berbeza dan sapuan warna mengagumkan.

Apatah lagi salah satu langkah membantu mengembangkan kreativiti kanak-kanak ialah dengan melukis. Biasanya, karya seni yang dihasilkan berdasarkan imaginasi atau ilham asal pemikiran kanak-kanak itu sendiri.

Jane Yap Atelier bukan saja menyediakan persekitaran yang boleh membantu anak mengembangkan daya kreativiti, malah membantu menyerlahkan kebolehan kanak-kanak menghasilkan karya asli.

Menerusi tunjuk ajar pengetua pusat berkenaan, Jane Yap, kanak-kanak dibentuk dan dipupuk untuk menunjukkan kreativiti mereka dengan diberi kebebasan meluahkan apa yang mereka inginkan dengan melukis serta mewarna.

Pada masa sama hasil kerja kanak-kanak berkenaan turut dijual dalam acara kebajikan bagi meraih dana untuk membantu kanak-kanak lain daripada golongan kurang bernasib baik.

Dalam program amal Pameran Seni Dunia Kami Ke-12 tahun ini yang bertemakan Warna pada 13 hingga 16 Oktober lalu, 292 karya seni daripada 58 kanak-kanak dan tenaga pengajar yang dilukis atas kanvas, lapik dada serta beg dijual sebelum hasilnya disalurkan kepada program Metrik Pembelajaran Asas Asia Tenggara (SEA-PALM), Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).


ORANG ramai berpeluang menikmati coretan ilham kanak-kanak umpama pelukis profesional.

Pameran berkenaan turut mendapat kerjasama pereka fesyen tempatan, Cassey Gan yang menyumbang lapik dada dan beg pelbagai bentuk untuk dijadikan kanvas seni mencurah ilham oleh pelajar.

Menurut Jane, program amal itu awalnya dibuat sebagai projek suka-suka bagi mempamerkan kerja seni pelajarnya untuk tontonan umum pada 1998 sebelum beliau terfikir untuk menjadikan ia sebagai platform mengumpul dana bagi membantu kanak-kanak kurang bernasib baik.

“Program mengumpul dana bagi membantu kanak-kanak lain yang kurang bernasib baik dengan cara menjual kerja seni pelajar pusat kraf ini kemudian mendorong kepada penganjuran acara amal Pameran Seni Dunia Kami secara tahunan.

“Sambutan diterima setiap kali pameran diadakan amat menggalakkan, malah kami pernah membawa pameran ini ke luar negara seperti Jepun, China, Indonesia dan Taiwan.

“Setakat ini kami sudah menyalurkan dana diperoleh daripada jualan kerja seni pelajar pusat kraf kepada lapan rumah kebajikan. Dalam penganjuran kali ini, hasil jualan akan disumbangkan kepada kanak-kanak menghidap penyakit kelumpuhan otot Spinal Muscular Atrophy (SMA),” katanya.

SMA adalah sejenis penyakit neuromuskular itu mengehadkan pergerakan penghidapnya berikutan sel-sel tali pintal tulang belakang yang merosot menyebabkan otot menjadi lemah seiring dengan peningkatan usia.

“Idea untuk membantu kanak-kanak menghidap SMA hadir selepas saya mendapati seorang pelajar pusat kraf ini adalah penghidap penyakit terbabit. Pelajar berkenaan, Brendan Lim, yang berusia lapan tahun menjadikan aktiviti melukis sebagai terapi dan caranya menangani penyakit terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 5:31 AM