OMAR bersama Bone X yang memenangi tempat kedua di Kejohanan Dunia Motosikal Binaan Khas AMD 2018 di Jerman. Foto AMD World Championship of Custom Bike Building
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

Siapa sangka seorang bekas tukang kimpal mampu mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa menerusi ciptaan motosikal dinamakan Bone X.

Sejarah tercipta buat Malaysia apabila motosikal berkenaan menduduki tempat kedua bagi kategori acara bebas di Kejohanan Dunia Motosikal Binaan Khas AMD 2018 di Jerman yang berlangsung pada 3 hingga 7 Oktober lalu.

Kejayaan Omar @ Maharani Jumiran membuktikan dirinya bukan calang-calang orang kerana pertandingan berprestij itu disertai 45 peserta dari pelbagai negara yang memiliki kehebatan tersendiri.

Jelas sekali, ia bukan satu tugas mudah kepada Omar untuk memastikan juri terpikat dengan ciptaannya yang mengetengahkan gabungan rekaan berkonsepkan masa depan dan klasik.

Apatah lagi beliau berhadapan persaingan sengit termasuk peserta dari Russia yang dinobatkan juara kejohanan terbabit.

Walaupun sekadar menjadi naib johan, namun sedikit pun tidak melunturkan semangatnya untuk memburu impian bergelar juara pada kejohanan sama bakal diadakan pada 2020.

Omar berkata, menghasilkan motosikal itu adalah satu tugas yang mencabar selain berhadapan kekangan kewangan kerana ia dihasilkan sepenuhnya menggunakan besi mentah tanpa sebarang campuran besi terpakai.

“Saya potong sendiri besi ini mengikut ukuran dan rekaan ditetapkan serta menggosoknya untuk menghaluskan permukaan sebelum dihantar kedai yang mempunyai kepakaran menyaluti krom pada besi berkenaan.

“Saya mengambil masa kira-kira setahun untuk menyiapkan motosikal ini dan sedikit rumit ketika proses menghasilkan corak anyaman tikar pada tempat duduknya bagi menonjolkan rekaan klasik,” katanya.


TEMPAT duduk menampilkan bentuk anyaman tikar. VFoto AMD World Championship of Custom Bike Building

Katanya, tiga bulan sebelum pertandingan berlangsung beliau menghantar rakaman Bone X ke Jerman kerana penganjur ingin mengetahui spesifikasi motosikal berkenaan termasuk memastikan kenderaan itu boleh bergerak dan dinaiki.

“Ini antara syarat wajib pertandingan selain penekanan terhadap aspek reka bentuk Bone X.

“Saya membelanjakan kira-kira RM60,000 untuk menghasilkan motosikal ini menggunakan wang simpanan dan meminjam daripada rakan,” katanya.

Menurutnya, itu adalah kejayaan terbesar diraihnya setakat ini berbanding dua kemenangan lalu dalam mencipta motosikal Cleveland di Amerika Syarikat pada 2016 dan motosikal Royal Enfield di Emiriah Arab Bersatu pada 2015.

Malah beliau sudah pun mereka bentuk motosikal untuk Kejohanan Dunia Motosikal Binaan Khas AMD 2020 kelak.

“Motosikal ini mempunyai ciri-ciri Bone X dan konsepnya adalah masa depan yang lebih maju di samping menggunakan banyak aluminium dan teknologi.

“Tapi saya masih berhadapan dengan masalah kewangan selain perlu melunaskan hutang lama rakan.

“Ciptaan seperti ini sangat mengalu-alukan sumbangan daripada kerajaan, syarikat korporat dan orang perseorangan supaya impian ini dapat direalisasikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 10:33 AM