WAN Nurul Amierah bersama kanak-kanak dalam Program MyCorps di Uganda. FOTO/NSTP
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

KANAK-kanak yang memakai pakaian sempurna sangat sedikit bilangannya dan selebihnya dilihat berbaju comot, koyak malahan ada tidak berbaju langsung.

Begitu daifnya kehidupan dilalui mereka disebabkan kemiskinan yang bagaikan tiada penghujungnya.

Ada beberapa lagi kekangan yang terpaksa mereka tempuh seperti tiada peluang pendidikan, ketiadaan bekalan air bersih dan menghuni rumah kecil yang diperbuat daripada tanah liat.

Bak kata pepatah ‘alah bisa tegal biasa’, meskipun serba kekurangan, ia bukan halangan kepada mereka untuk menjalani kehidupan seperti insan lain dengan cara tersendiri.

Itu senario kehidupan yang dilalui penduduk di Mbale iaitu sebuah bandar di wilayah timur, Uganda di Afrika.

Perkara itu dikongsikan sukarelawan Charity Comrades Wan Nurul Amierah Che Abdul Ghani, 26, selepas menyertai program MyCorps di bawah Kementerian Belia dan Sukan di Uganda pada Januari hingga Mac lalu.


MAKAN nasi dalam talam pada Majlis Aqiqah anjuran MyCorps.

Program MyCorps siri kelima itu disertai 46 sukarelawan yang diadakan di Afrika membabitkan empat negara iaitu Sudan, Tanzania, Kenya dan Uganda.

Pengalaman yang dikutip sepanjang berada di bumi Afrika itu memberi inspirasi kepadanya untuk melaksanakan projek #Kontena4Uganda di wilayah terbabit.

Projek #Kontena4Uganda antara projek kebajikan pertama di negara ini yang menghantar bantuan berupa pakaian terpakai dan buku ke Afrika iaitu Uganda menggunakan kontena menerusi laluan laut.

Ia dilaksanakan dengan kerjasama daripada Islamic University in Uganda (IUIU), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Alumni MyCorps dan Charity Comrades.

Wan Nurul Amierah berkata, projek itu dilaksanakan dengan seorang rakannya juga pengurus projek berkenaan iaitu Siti Hajar Wan Ibrahim, 27, yang turut bersamanya menyertai program MyCorps.

Katanya, sepanjang berada di Uganda beliau melihat pakaian adalah keperluan paling mendesak penduduk di kawasan berkenaan kerana mendapati ramai kanak-kanak di sana memakai baju yang tidak sempurna dan ada tidak berbaju langsung.


MENGAMBIL air dari perigi.

“Saya simpati melihat keadaan mereka yang sepanjang masa tidak memakai baju dan senario itu jauh berbeza di negara ini.

“Rata-rata penduduk tidak mampu membeli pakaian disebabkan kemiskinan dan ditambah pula baju yang dijual di sana agak mahal,” katanya kepada Nuansa.

Katanya, oleh kerana tidak mempunyai pakaian yang mencukupi menyebabkan mereka memakai pakaian yang sama selama berhari-hari.

Jelasnya, keadaan menjadi lebih rumit kerana tiada kemudahan mengakses bekalan air bersih seperti di negara Afrika lain yang menghalang mereka mencuci pakaian.

“Penduduk hanya bergantung kepada sumber air yang diperoleh dari paya dan parit untuk kegunaan harian termasuk memasak walaupun keadaan air itu keruh serta tidak bersih.

“Mereka tiada pilihan lain walaupun ramai yang menghidap penyakit disebabkan penggunaan air yang tidak bersih itu,” katanya.

Menurutnya, agak menyentuh hati apabila mengetahui tugas mengangkat air diletakkan di bahu perempuan daripada kanak-kanak hinggalah dewasa.

“Mereka perlu berjalan hingga enam kilometer untuk mengambil air menggunakan tong air yang kemudian diletakkan di atas kepala.


AIR parit menjadi sumber air kepada penduduk.

“Perjalanan mereka juga bukan mudah kerana perlu mendaki dan menuruni bukit sambil membawa tong air berat berisi air itu,”katanya.

Stigma itu menyebabkan ramai kanak-kanak terpaksa mengorbankan masa depan mereka semata-mata untuk memenuhi tugas mengambil air.

Wan Nurul Amierah berkata, penduduk Uganda ketinggalan dalam pendidikan apabila tidak berpeluang ke sekolah yang menyebabkan ramai buta huruf dan itu penyumbang kepada masalah kemiskinan.

Sekembalinya ke tanah air, dia memulakan langkah merangka projek terbabit selain turut mendapat khidmat nasihat daripada bekas pensyarah UIAM, Dr Ssekamanya Siraje Abdallah yang juga warganegara Uganda.

“Projek ini (#Kontena4Uganda) dimulakan pada 3 Julai lalu dan lebih bermakna Dr Ssekamanya turut menyumbang kontena berukuran 12.2 meter (m) x 2.7m untuk mengisi barangan sumbangan dan dihantar ke Uganda.

“Sementara saya bersama Siti Hajar dibantu sukarelawan dari seluruh negara mencari penyumbang untuk buku dan pakaian,” katanya.

Katanya, mereka menghebahkan projek itu menerusi laman sosial dan bersyukur ia mendapat sambutan yang baik daripada rakyat di negara ini di samping menghulurkan bantuan diperlukan.


KEKURANGAN pakaian menyebabkan ada kanak-kanak memakai baju koyak dan kotor.

“Melalui usaha selama tiga minggu, kami dapat mengumpul 600 kotak buku ilmiah dan 650 kotak pakaian baru serta terpakai.

“Semua barangan ini dihantar ke negara itu pada Ogos lalu menggunakan laluan laut bersama kontena berkenaan,” katanya.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan itu berkata, dia bersama Siti Hajar sekali lagi akan ke Uganda bagi mengagihkan semua sumbangan berkenaan kepada penduduk pada 8 November ini.

“Buku ini akan ditempatkan di perpustakaan baru IUIU yang kini masih dalam pembinaan dan dijangka siap hujung tahun ini.

“Sumbangan ini dapat melengkapkan kemudahan di perpustakaan yang berhadapan masalah kekurangan buku kerana universiti itu tidak mendapat peruntukan daripada kerajaan.

“Bekalan buku ini akan memudahkan penduduk mendapatkan pendidikan peringkat tinggi dengan lebih sempurna,” katanya.

Berkongsi lanjut pengalamannya berada di Uganda, wanita yang berasal dari Kelantan itu berkata, dia tidak menyangka dapat menjejakkan kaki ke Afrika kerana benua itu tidak pernah tersenarai dalam lokasi pilihan negara yang ingin dikunjunginya.


PAKAIAN sumbangan rakyat Malaysia untuk penduduk Uganda.

Jelasnya, di Uganda membuatkan dia Berasakan seolah-olah berada di ‘alam’ lain kerana persekitarannya terlalu berbeza dengan negara ini.

“Penduduk di sana masih makan ubi kayu yang diproses menjadi tepung untuk membuat bubur atau nasi himpit dipanggil Kasava dan pisang sebagai makanan ruji.

“Mereka sangat jarang dapat makan nasi kerana harga makanan itu mahal,” katanya.

Katanya, dia tidak menafikan pada peringkat awal berasa sedikit gusar untuk pergi ke Uganda disebabkan stigma masyarakat yang menganggap negara itu miskin, kotor dan rakyatnya ganas.

“Tapi segalanya berubah apabila berada di sana dan mendapati ia adalah sebaliknya. Penduduknya ramah, merendah diri dan menghormati tetamu.

“Negara ini mempunyai kepelbagaian budaya unik yang boleh diteroka dan ia menjadi sebahagian pengalaman baru sukar dilupakan sepanjang hidup,” katanya dan menambah bakal melaksanakan projek pam air di wilayah terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 7:02 AM