CHEONG bersama piala dan karyanya Through The Eye of The Flower. FOTO/SADDAM YUSOFF.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my


MALAYSIA Baru membawa 1,001 harapan kepada rakyat yang menginginkan sebuah negara gemilang dan disegani di mata dunia dalam pelbagai aspek.

Perubahan itu turut memberi inspirasi kepada seorang pelukis untuk mengekspresikan kegembiraan dan keyakinannya terhadap kepemimpinan baru menerajui negara menerusi karya berjudul Through The Eye of The Flower.

Jelas, garapan kerja seni Cheong Kiet Cheng itu sangat halus dan menarik seolah-olah menggunakan cetakan digital yang mampu membuat penonton terpukau melihat keindahan lukisan berkenaan sekali gus menyerlahkan kreativitinya.

Dihasilkan dengan dakwat atas kanvas, lukisan itu mempunyai kekuatannya tersendiri dari aspek visual ditonjolkan dan begitu juga mesej yang ingin disampaikan kepada orang ramai.


ANTARA karya yang dipamerkan dalam Pameran UOB Painting of The Year 2018.F

Kelebihan itu melayakkan karya Cheong dipilih menerima Anugerah UOB Painting of The Year 2018 (Malaysia) bagi kategori pelukis berpengalaman yang membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000.

Kejayaan berganda buat pelukis terbabit apabila karyanya akan bersaing dengan pemenang dari Indonesia, Singapura dan Thailand untuk Anugerah UOB Southeast Asian Painting of The Year 2018 di Singapura tidak lama lagi.

Lukisan itu bersama lapan lagi karya daripada pelukis lain kini dipamerkan di Galeri Painiting of The Year UOB (Malaysia) di Cawangan Bank OUB, Bangunan Bangsaria, Jalan Maarof, Bangsar, Kuala Lumpur.

Cheong berkata, lukisan berkenaan menonjolkan pelbagai visual halus yang diilhamkan menerusi alam semula jadi menggambarkan harapan dan perubahan.

Katanya, tumpuan lukisan berkenaan ialah pada gambar dua anak perempuannya yang melambangkan harapan dan janji untuk masa depan lebih baik.


PENGUNJUNG menghayati karya Cheong.

“Sementara imej matahari dan ikan paus yang berbentuk melengkung dalam lukisan mewakili bulan sabit emas serta bintang di dalam Jalur Gemilang.

“Harapan rakyat negara ini ditunjukkan di bahagian tengah lukisan sementara perkara negatif pula di tepi karya yang digambarkan menerusi imej buaya menakutkan,” katanya kepada Nuansa.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Operasi UOB Malaysia, Hendra Gunawan berkata, pertandingan berkenaan membuktikan bank komited dan menyokong kepada usaha pembangunan seni visual di negara ini.

“Pertandingan ini bertujuan menyediakan platform peringkat antarabangsa kepada pelukis tempatan untuk mempamerkan hasil kerja mereka dan menggalakkan penghargaan seni yang lebih tinggi di negara ini.

“Matlamat kami untuk memupuk pelukis tempatan dapat memainkan peranan positif dalam pembangunan masyarakat menerusi karya seni mereka,” katanya.


PENGUNJUNG merakam gambar karya pelukis.

INFO

Pameran UOB Painting of The Year 2018.

Artis: 9

Karya: 9

Tarikh: 18 Oktober hingga 24 November 2018

Tempat: Galeri Painting of The Year UOB (Malaysia) Cawangan Bank OUB, Bangunan Bangsaria,

Jalan Maarof, Bangsar, Kuala Lumpur.

Masa: 10 pagi hingga 4 petang (Isnin hingga Jumaat)

10 pagi hingga 3 petang (Sabtu).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 6:59 AM