ANTARA buku yang ditulis Hassan berkenaan animasi.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my


SEBUT saja filem animasi pendek iaitu Sang Kancil dengan Monyet dan Sang Kancil dengan Buaya, pasti ramai mengetahui filem berkenaan terutama bagi mereka yang membesar pada era 1980-an.

Filem itu yang sarat dengan kisah teladan itu sangat popular satu masa dahulu dan ditayangkan di televisyen sekitar 1985 hingga 1990-an.

Walaupun sudah lebih 30 tahun ditayangkan, filem itu sedikit pun tidak membuat penonton jemu bahkan ‘ketagih’ untuk menontonnya berulang kali.


LAKARAN animasi Hassan kemas seperti menggunakan komputer.

Bagaimanapun, ramai tidak mengenali watak utama di sebalik animasi terbabit dan sentuhan magisnya juga menjadi pencetus kepada perkembangan siri animasi di negara ini seperti Upin & Ipin, Usop Sontorian dan Keluang Man.

Beliau adalah pengarah filem berkenaan iaitu Hassan Muthalib, 73, yang turut digelar Bapa Animasi Malaysia sejak 2012.

Oleh kerana pencapaian luar biasanya mempelopori bidang animasi tempatan selama lebih 50 tahun, beliau dianugerahkan Anugerah Merdeka 2018 bagi kategori Pendidikan dan Komuniti tajaan PETRONAS, ExxonMobil serta Shell.

Hassan menerima hadiah wang tunai RM300,000, piala dan sijil yang disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di ibu negara, baru-baru ini.

Dalam pertemuan di Ampang, Selangor, Hassan tidak keberatan berkongsi rahsia filem animasi pendeknya itu mampu mengikat jiwa penonton.

Jelas bapa kepada tiga anak itu, penggunaan bahasa filem adalah ‘ramuan’ yang menjadikan sesebuah filem menarik, sentiasa segar dan penonton tidak berasa jemu untuk menontonnya berulang kali.


DALAM pembikinan filem animasi Mat Gelap pada 1990.

“Ini yang saya gunakan dalam menghasilkan filem animasi pendek itu tapi malangnya elemen berkenaan (bahasa filem) tidak dititikberatkan pengarah filem lain.

“Bahasa filem dipanggil ‘gestalt’ iaitu perkataan daripada bahasa Jerman yang bermaksud bentuk. Jika susunan filem betul maka ‘gestalt’ akan timbul. Bentuk yang baik datangnya daripada susunan yang betul,” katanya kepada Nuansa.

Katanya, adegan pertama dalam animasi Sang Kancil dengan Monyet itu ialah matahari baru naik yang menjadikan suasana kekuningan. Dalam bahasa filem, warna itu (kekuningan) bermaksud filem berkenaan mempunyai unsur ketuhanan dan elemen moral.

“Kemudian ada adegan monyet tidak mendengar kata kancil lalu terus makan cili. Monyet yang kepedasan berlari sambil melompat-lompat.

“Seterusnya adegan berlatarkan dua pokok bersilang. Maksudnya secara visual saya mengatakan monyet ini sudah melakukan kesilapan (tidak mendengar kata dan makan cili). Maka kancil tidak perlu memberitahu monyet berkenaan perkara itu.


HASSAN mengarah visual Efex pada 1980.

“Ini elemen yang perlu ada untuk membuat animasi atau filem dan pengarah filem perlu memahaminya secara mendalam,” katanya.

Beliau berkata, antara filem tempatan yang mempunyai elemen itu (bahasa filem) ialah Paskal The Movie, Ola Bola dan Hantu Kak Limah.

“Filem ini mempunyai pelbagai susunan yang menarik daripada aspek pengarahan seni, seni produksi, lakonan, pergerakan pelakon, kesan bunyi dan lain-lain.

“Sebab itu filem ini mendapat sambutan luar biasa daripada penonton di pawagam dan kutipannya juga tinggi,” katanya.

Menurut Hassan, Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee banyak menggunakan bahasa filem dalam filem arahannya menyebabkan ‘buah tangannya’ itu masih diminati hingga ke hari ini walaupun filem terbabit dalam hitam putih.


DIGELAR Bapa Animasi Malaysia pada 2012.

Biarpun tidak memiliki ijazah mahupun diploma dalam bidang seni, Hassan mampu membuktikan dirinya bukan calang-calang orang dengan cara tersendiri.

Katanya, panggung wayang menjadi ‘universitinya’ kerana beliau mempelajari bahasa filem itu dengan menonton banyak filem di pawagam.

“Ketika bujang, setahun saya menonton 300 filem di pawagam dan ia masih berterusan hingga ke hari ini.

“Saya mencatat setiap bahasa filem yang digunakan dalam setiap filem ditonton. Saya mendapati banyak filem Hollywood menggunakan elemen ini dan sebab itu filem mereka sangat menarik,” katanya.

Hassan berkata, jika pengarah filem di negara ini memiliki ilmu bahasa filem maka filem tempatan berpotensi bersaing ke peringkat antarabangsa. Ramai pengarah dari Hollywood tidak pernah mendedahkan ilmu berkenaan.

Selain itu, katanya, baru-baru ini ada netizen menyiarkan semula dalam Facebook dengan mengatakan cerita Sang Kancil dan Monyet menjadikannya insan bermoral.

“Rupanya mesej yang cuba saya sampaikan menggunakan bahasa tersirat di dalam cerita ini sampai kepada penonton.

“Sudah tentu saya gembira kerana animasi yang dihasilkan bukan untuk hiburan semata-mata malah pada masa sama mendidik masyarakat,” katanya.

Sebagai individu berpengalaman luas dalam bidang pengarahan animasi, Hassan turut melahirkan kebimbangan dengan perkembangan bidang itu pada masa kini.

“Banyak jalan cerita siri animasi pada hari ini kelihatan seperti permainan video yang langsung tidak mempunyai mesej baik untuk perkembangan masyarakat.

“Siri animasi dari luar negara umpamanya banyak menampilkan karakter seperti khinzir dan wanita seksi. Ini tidak sesuai ditonton kanak-kanak di negara ini,” katanya.

Berkongsi ringkas sejarah pembabitannya dalam bidang animasi Hassan berkata, ia bermula ketika bekerja di Filem Negara Malaysia (FNM) pada 1968.

“Pada masa itu, saya ditugaskan membuat animasi iklan seperti Jimatkan Elektrik dan Anti Dadah selama beberapa tahun.

“Sementara pada 1983, saya diminta membuat filem animasi pendek iaitu Sang Kancil dan Monyet. Alhamdulillah animasi ini mendapat sambutan yang luar biasa.

“Rentetan itu, saya membuat filem animasi pendek lain seperti Arnab yang Sombong, Singa yang Haloba dan Gagak yang Bijak,” katanya.

Katanya, beliau bersara di FNM pada 1995 dan kemudian menjadi pengarah filem cereka animasi pertama di negara ini iaitu Silat Lagenda pada 1998 dan, filem berkenaan memasuki panggung wayang.

Beliau berkata, Malaysia memegang rekod di negara ASEAN kerana berjaya menghasilkan 15 filem cereka animasi dan lebih 500 siri animasi di televisyen.

“Kejayaan ini adalah hasil kerja juruanimasi di Malaysia. Kini dengan bantuan kerajaan menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) animasi Malaysia berjaya ke luar negara.

“Lebih banyak cerita animasi berkualiti perlu dihasilkan dan jadikan ia sebagai medium untuk melahirkan anak muda lebih bermoral demi masa depan Malaysia yang lebih gemilang,” katanya.

INFO

Anugerah diterima

1. Anugerah Merdeka 2018

2. Bapa Animasi Malaysia 2012

3. Perintis Animasi Asia

4. Ikon Animasi Kolej Komuniti 2010

5. Kesan Khas Terbaik 1990

6. Tokoh Seni Dalam Buku Pendidikan Seni Sekolah Tingkatan 1

7. Anugerah Juri Dokumentari Terbaik 1989

8. Anugerah Seri Angkasa 1983.

Karya filem animasi

1. Sang Kancil dengan Monyet

2. Sang Kancil dengan Buaya

3. Arnab yang Sombong

4. Singa yang Haloba

5. Silat Lagenda

6. Mekanik

7. Mat Gelap

8. Yes Tuan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Oktober 2018 @ 5:01 AM