IBNOO bersama karyanya berjudul Jambatan Emas.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my


PUTERI Gunung Ledang dikatakan memiliki kecantikan luar biasa hingga ramai yang mahu menjadikannya sebagai isteri termasuk Sultan Mahmud Shah daripada Kesultanan Melaka.

Bagaimanapun, Puteri Gunung Ledang mengenakan tujuh syarat sebagai cara untuk menolak pinangan sultan itu. Antara syaratnya ialah supaya dibina jambatan emas yang menghubungkan istana Sultan Mahmud di Melaka ke Gunung Ledang.

Menariknya, Muhamad Zulhilmi Abd Jalil atau lebih dikenali Ibnoo Jalil ‘mengembalikan’ kisah itu menerusi karyanya bertajuk Jambatan Emas yang dipamerkan dalam Pameran Seni Sejahtera 2018 anjuran Yayasan Sejahtera di Quill City Mall, Kuala Lumpur.

Karya berkenaan boleh dihayati dalam pameran berkumpulan itu yang turut menampilkan tiga pelukis berpengalaman lain seperti Fauziah Yahaya, Azhar Arshad dan Elly Nor Suria M Zainudin melalui genre berbeza.

Ibnoo Jalil berkata, Sultan Mahmud antara sultan paling kaya di dunia yang memiliki sebuah pelabuhan memasarkan hasil perdagangan dari serata dunia pada sekitar abad ke-15.

“Demi kasih dan sayangnya terhadap Puteri Gunung Ledang, baginda cuba memenuhi semua syarat yang ditetapkannya.

“Namun, baginda gagal memenuhi syarat terakhir iaitu semangkuk darah Sultan Ahmad Shah (anaknya sendiri) hingga usaha mengahwini puteri legenda itu tidak berjaya,” katanya kepada Nuansa.


PELANCONG dari Sudan, Abdulsalam Abdulla bersama isteri berswafoto dengan karya pelukis.

Katanya, karya yang dihasilkan menggunakan medium akrilik di atas kanvas dan genre naif ekspresi itu menjelaskan seorang lelaki yang begitu masyhur tapi boleh ‘tewas’ kepada wanita hanya kerana cinta.

Seorang lagi pelukis, Azhar mempamerkan lima karya apabila lukisannya berjudul Aboriginal berkisarkan keunikan peribumi di Sabah yang mempunyai budaya dan cara hidup berbeza berbanding kaum lain di negara ini.

Menurutnya, karya genre abstrak yang dihasilkan menggunakan akrilik atas kanvas itu adalah peribumi di Sabah yang tinggal di perkampungan air.

“Sebahagian karya ini diilhamkan daripada pengalaman ketika menjadi pelukis di Pangkor Laut Resort selama empat tahun.

“Kehidupan penduduk di situ (Pangkor Laut Resort) sama seperti komuniti peribumi di Sabah yang tinggal di rumah air,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Sejahtera Tan Sri Faizah Mohd Tahir berkata, pameran julung kalinya diadakan yayasan berkenaan sebagai inisiatif untuk mengumpul dana kerana sebahagian hasil jualan lukisan akan digunakan dalam program membantu rakyat seperti membasmi kemiskinan.

“Peringkat awal, kami bekerjasama dengan empat pelukis dan selepas ini akan membabitkan lebih ramai artis.

“Kali ini kami memilih tema Sejahtera Malaysia kerana kerja seni pelukis memaparkan keunikan, kepelbagaian dan keindahan di negara ini,” katanya.

INFO

Pameran Seni Sejahtera 2018

Artis: 4

Karya: 20

Tarikh: 1 hingga 31 Oktober 2018

Masa: 10 pagi hingga 6 petang.

Tempat: North Concourse, Groud Floor,

Quill City Mall, Kuala Lumpur.

Laman web: www.sejahtera.my

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Oktober 2018 @ 4:01 AM