PERSEMBAHAN sempena majlis penutup dan penyampaian hadiah.
Maria Uffa Zulkafeli
maria.uffa@bh.com.my

Penantian lapan tahun pasukan orkestra Alam Shah Wind Orchestra (ASWO) Sekolah Sultan Alam Shah (SSAS), Putrajaya untuk merebut semula gelaran juara tercapai apabila meraih Anugerah Emas dengan Kepujian sempena Festival Wind Orchestra Antarabangsa Sekolah Berasrama Penuh (SBP) 2018, baru-baru ini.

Bertempat di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor, kemenangan itu menyaksikan ASWO berjaya menewaskan 19 pasukan SBP yang lain dari seluruh negara.

ASWO mempersembahkan lagu Overture Kuala Lumpur sebagai lagu wajib selain memilih lagu Jong Jong Inai untuk kategori lagu pilihan.

Guru Pembimbing ASWO Nik Anita Che Hamid berkata, kemenangan sangat berharga itu adalah di luar jangkaan, memandangkan sudah lapan tahun tidak meraih gelaran juara pada festival yang sama.

“Kemenangan kali kelapan ini cukup bermakna buat kami, selepas meraih kejuaraan kali ketujuh pada 2010.

“Walaupun penantian lapan tahun suatu jangka masa lama, semangat, kesungguhan dan komitmen semua pihak termasuk pentadbir, warga sekolah serta sokongan ibu bapa menjadi tulang belakang kepada kejayaan ASWO,” katanya.

Terdahulu majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan, Bahagian Pengurusan Kerajaan Negeri Selangor Zamani Ahmad Mansor.


NIK Anita (tengah) bersama pasukan ASWO yang menang Anugerah Emas dengan kepujian.

Pada festival berkenaan, ASWO turut meraih dua anugerah lain masing-masing bagi kategori The Best Ensemble Performance dan The Best Woodwinds.

Sementara itu, Guru Penasihat Seri Puteri Symphonic Wind Orchestra, Shahriyah Abdul Rashid berkata, pihaknya berbangga kerana diberi peluang menjadi tuan rumah mewakili SBP dan Kementerian Pendidikan untuk menjayakan festival kali ini.

Katanya, sememangnya penganjuran ini sebagai satu penghormatan kepada mereka bertepatan dengan sambutan 50 tahun Jubli Emas SSP.

“Alhamdulilah SSP juga berjaya meraih Anugerah Emas dan The Most Outstanding Conductor pada festival ini,” katanya,

Penganjuran festival tahun ini dikendalikan oleh Sekolah Seri Puteri (SSP), dengan jemputan persembahan dari empat negara, Filipina, Korea Selatan, Singapura dan Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Ogos 2018 @ 12:59 PM