ABD Aziz, Esah (tengah) dan Nor Azian (kanan) dipilih Allah ke Tanah Suci dengan perancangan amat istimewa.
Tuan Asri Tuan Hussein
cnews@nstp.com.my

Alhamdulillah, urusan ibadat haji kami sudah selesai. Masing-masing pastinya ada pengalaman tersendiri sepanjang di Makkah, mahupun Madinah. Biarlah pengalaman itu kita sama-sama simpan sebagai kenangan atau diceritakan hanya kepada insan terdekat saja sebagai panduan dalam mencari reda Ilahi.

Sebaliknya ada kisah lain yang ingin saya kongsikan.

Ia mengenai tiga individu iaitu pasangan suami isteri cacat penglihatan Abd Aziz Yusof, 73, dan Esah Long, 72, serta Nor Azian Mansur, 58.

Kisah Abd Aziz

Biarpun menerima surat tawaran daripada Tabung Haji (TH) pada Disember tahun lalu, Abd Aziz sebenarnya hampir tidak dapat ke Tanah Suci.

Ini kerana dia gagal mencari seorang pengiring sebagaimana syarat yang dikenakan oleh TH bagi orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan sepertinya.

Namun, selepas membuat rayuan dia diberi lampu hijau. Nama Esah dicatatkan sebagai pengiring. Memang ia pelik kerana orang buta menjadi pengiring kepada seorang buta yang lain.

Namun, ia hanyalah bagi memenuhi syarat teknikal. Esah lulus untuk menjadi jemaah haji kerana dia berjaya menyediakan pengiring iaitu Nor Azian.

Sepanjang di Makkah, Abd Aziz bernasib baik kerana teman sebiliknya bernama Jaafar banyak membantu.

Namun, dua hari sebelum wukuf, ada masalah lain yang timbul.

Esah diserang penyakit asma menyebabkan dia dimasukkan ke wad dan ini benar-benar mengganggu emosi Abd Aziz.

Dia seperti hilang punca dan tiada semangat untuk ke Arafah biarpun tahu wukuf kemuncak ibadat haji.

Gagal berwukuf, bermakna tiadalah haji.

Kisah Esah

Semangat Esah benar-benar luntur apabila dimasukkan ke wad Pusat Rawatan TH Syisah, hanya dua hari sebelum hari wukuf pada Isnin lalu.

Mula bermain di fikirannya, adakah sia-sia dia datang ke Makkah? Adakah dia tidak akan mampu untuk berwukuf? Adakah dia tidak akan dapat menyempurnakan ibadat haji?

Esah juga kasihankan suaminya kerana dia tahu tanpa dia di sisi, fokus dan semangat Abd Aziz untuk ke Arafah pasti terjejas.

Kisah Nor Azian

Wanita ini yang hidup sendirian tanpa anak selepas kematian suami enam tahun lalu menganggap dia benar-benar menumpang rezeki Esah untuk datang menunaikan ibadat haji.

Jika bukan disebabkan tiket sebagai pengiring, nama Nor Azian tidak tersenarai sebagai jemaah haji tahun ini.

Justeru, Nor Azian nekad untuk memberikan khidmat terbaik kepada Esah dan Abd Aziz namun ia bukan mudah kerana tanggungjawabnya termasuk juga menyediakan makan, pakai untuk pasangan berkenaan.

Oleh itu, urusan ibadat Nor Azian banyak terganggu. Dia tidak boleh kerap ke Masjidilharam seperti jemaah lain.

Namun, dia reda dan yakin pasti ada hikmah di sebalik apa yang berlaku.

Penutup

Firman Allah dalam surah Al-Imran ayat 54 yang bermaksud: “Dan mereka merancang, Allah juga merancang, dan Allah sebaik-baik perancang.”

Itulah yang berlaku. Bagi Abd Aziz, tanpa diduganya dia diserapkan di bawah Program Warga Emas TH.

Lebih 150 nama jemaah dicadangkan namun hanya 50 terpilih.

Di bawah program itu, dia bersama jemaah yang tua, sakit, OKU dan uzur diberi layanan khas serta bimbingan untuk memastikan dapat berwukuf di Arafah dengan sempurna.

Abd Aziz kembali bersemangat apabila diberitahu isterinya juga dapat berwukuf di Arafah di bawah satu lagi program khas TH dinamakan Wukuf Safari.

Di bawah program ini, jemaah yang terlantar di hospital dibawa ke Arafah dengan bas khas yang diubah suai serta ambulans dan mereka diberi layanan ‘satu untuk satu’ daripada jururawat serta pembimbing ibadat TH.

“Nasib baik saya sakit dan masuk wad, dapatlah saya ikut Wukuf Safari. Terima kasih Allah.

“Saya juga baru faham kenapa Allah tak bagi suami saya pengiring sejak awal lagi. Rupa-rupanya Allah nak letak dia di bawah Program Warga Emas. Alhamdulillah,” kata Esah ketika ditemui di wad.

Nor Azian pula, mendapat ‘bonus’ tidak disangka-sangkanya.

Dia akhirnya ke Arafah untuk melaksanakan kemuncak ibadat haji secara bersendirian, bermakna dia ‘bebas’ beramal ibadat, tanpa perlu memikirkan hal Esah dan Abd Aziz.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Ogos 2018 @ 12:21 AM