KARYA Suzi Chua, 'Malayan Tiger'.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

Haiwan hampir pupus seperti harimau sering mendapat perhatian pelbagai pihak ekoran populasinya yang kian berkurangan disebabkan perbuatan manusia.

Pelukis juga tidak terlepas meluahkan perasaan mereka yang mengenangkan nasib malang menimpa mamalia itu menerusi karya menakjubkan yang dihasilkan menggunakan pelbagai medium dan genre.

Seramai 12 pelukis tanah air menyertai Pameran ‘The Art of The Tiger’ anjuran Yayasan Maybank yang diadakan di Balai Seni Maybank, Menara Maybank, baru-baru ini.

Pameran itu diadakan sempena Hari Harimau Sedunia bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai pengurangan jumlah populasi harimau dengan menghubungkan kepada orang awam menerusi pengalaman seni.

Artis terbabit ialah Amy Nazira Abu Bakar, Anis Che Mat, Azaikmal Ahmad Rashid, Cwnd Dien (Cawand), Dzul Afid Zakaria, Fizrie Azhan, Monica Lee, Muhammad Izzuddin, Muhammad Shaufie, Rajimin, Suzi Chua dan Tan Howe Qin.


SHAHRIL Azuar (dua dari kanan) bersama tetamu kehormat diberikan penerangan.

Pelukis, Amy Nazira berkata, beliau mempamerkan dua karya bersiri bertajuk The Hunter dan The Dealer kerana dua individu itu iaitu pemburu serta peniaga yang menyebabkan berlaku pemburuan haram harimau.

“Tanpa mereka pasti masalah ini (pemburuan harimau) tidak akan berlaku dan populasinya tidak berkurangan.

“Objek wanita dalam lukisan ini adalah merujuk kepada diri saya yang mahu melindungi haiwan itu daripada terus dieksploitasi,” katanya kepada Nuansa.

Katanya, beliau amat terkejut apabila mengetahui spesies harimau di Taman Negeri Royal Belum, Perak kini tinggal kira-kira 300 ekor berbanding 2,000 ekor sebelum ini.

“Kegiatan pemburuan haram masih tidak dapat dibendung malahan perbuatan mereka semakin berleluasa. Diharapkan mesej lukisan ini dapat memberi kesedaran kepada masyarakat untuk bersama-sama memperjuangkan usaha memulihara haiwan itu,” katanya.


AMY Nazira bersama karyanya bertajuk The Hunter dan The Dealer.

Seorang lagi pelukis, Cwnd Dien pula mempamerkan karyanya bertajuk Spirit of Tiger yang dihasilkan menggunakan medium campuran menerusi cetakan digital di atas kanvas.

“Haiwan ini dikenali kerana keberanian dan memiliki daya juang yang tinggi. Sifat ini sebenarnya ada pada diri setiap pelukis. Tanpa ciri ini pelukis sukar untuk bertahan dalam bidang seni visual yang banyak cabaran termasuk persaingan,” katanya.


CWND Dien (Cawand) bersama karyanya bertajuk The Spirit of Tiger.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Maybank Shahril Azuar Jimin berkata, kerjasama dengan kumpulan artis terbabit menunjukkan bagaimana fungsi seni dan budaya di bawah Yayasan Maybank memberi impak positif kepada komuniti.

“Semua perlu memainkan peranan untuk melindungi spesies harimau agar tidak pupus dan dapat dikekalkan untuk tatapan generasi akan datang.

“Setiap karya yang terjual akan menyumbangkan 20 peratus kepada Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia,” katanya.

Selain itu sempena Hari Harimau Sedunia 2018, Maybank turut menganjurkan Pertandingan Seni MyTIGER Values (Nilai Murni ‘MyTIGER’).


KARYA ini dihasilkan menggunakan teknik cetakan digital atas kanvas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Ogos 2018 @ 2:02 PM