PERSEMBAHAN dikir barat.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

Umum mengetahui Pasar Seni menjadi mercu tanda kebudayaan dan warisan penduduk di negara ini.

Atas sebab itu, banyak pihak memilih Pasar Seni sebagai platform untuk memperkenalkan warisan tradisi yang terdapat di sebuah negeri kerana mempunyai ramai pengunjung.

Baru-baru ini, Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (PPPNK) mengadakan 'I Love Kelantan Cultural Showcase @ Central Market' (ILKCS) di pasar berkenaan.

Program yang berlangsung selama dua hari itu menyediakan pelbagai aktiviti menarik bagi memperkenalkan lagi budaya yang terdapat di negeri terbabit kepada orang ramai.

Pengurus Kompleks Pasar Seni Kuala Lumpur Cheong Wai Mun berkata, pengunjung diberi peluang menyaksikan dikir barat, silat tari, persembahan rebana ubi dan kertok yang semuanya berkonsepkan interaktif dan mereka boleh mencubanya.


PELANCONG antarabangsa melihat gasing gergasi.

"Dengan cara ini pengunjung tempatan dan antarabangsa dapat mengenali budaya Malaysia dengan lebih mendalam.

"Lebih menarik pada tahun ini, pengunjung dapat melihat wadira, kombinasi wayang kulit, dikir barat dan teater menora yang buat julung kalinya dipersembahkan secara percuma di ruang terbuka," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Sasterawan tersohor negara Profesor Madya Dr Lim Swee Tin turut menjayakan teater menora di pentas ILKCS bagi menikmati keindahan budaya di negara ini.

"Program ini adalah acara tahunan Pasar Seni bekerjasama dengan PPPNK. Kami berharap lebih banyak pihak akan tampil untuk bersama-sama terbabit dalam acara kebudayaan seperti ini supaya ia kekal terpelihara untuk generasi masa depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Ogos 2018 @ 1:50 PM