TIDAK berasa putus asa meskipun perlu melalui pelbagai laluan sukar.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Baru berusia lapan tahun tetapi mempunyai minat yang agak luar biasa untuk mengisi masa santai bersama keluarga. Lebih manis apabila ibu dan bapanya turut terdorong untuk turut serta dalam aktivitinya.

Anak pasangan Amin Kamarulzaman dan Salina Sumali, Syaza Amin ketika ini dalam misinya untuk melengkapkan pendakian ke puncak terakhir dalam rantaian tujuh gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia atau dikenali sebagai G7 yang rata-ratanya berketinggian 2,000 meter dari aras laut.

Memulakan aktiviti mendaki sejak November tahun lalu, Syaza sudah melengkapkan enam daripada tujuh gunung berkenaan dan bakal mendaki ke puncak Gunung Tahan pada September ini.

Ibunya, Salina, berkata, bermula mendaki Bukit Kutu pada tahun lalu, Syaza menunjukkan minat untuk menawan gunung lebih tinggi dan memilih untuk mendaki Gunung Yong Belar pada awal tahun ini yang tersenarai di dalam G7.

“Syaza memang seorang yang sukakan aktiviti lasak dan tangkas. Sebagai ibu bapa kami menyokong minatnya.

“Memandangkan anak gemarkan aktiviti mendaki, secara langsung dia juga mempengaruhi kami untuk sama-sama mendaki dan tidak sangka ia jadi acara kekeluargaan yang menyeronokkan,” katanya.


AKTIVITI mendaki yang perlu meredah sungai menjadi kegemaran.

Salina berkata, meskipun aktiviti mendaki ke rantaian gunung tertinggi itu biasanya didominasi golongan dewasa tetapi Syaza dapat melakukannya dan tidak pernah menunjukkan rasa berputus asa.

Katanya, paling mencabar ialah ketika Syaza perlu mendaki dalam tempoh 20 jam untuk ke puncak Gunung Gayung selepas melepasi puncak Gunung Korbu dengan ketinggian 2,173 dan 2,183 meter dari aras laut.

“Kami agak risau juga dengan keadaannya ketika ekspedisi berkenaan tetapi dia mempunyai semangat tinggi dan kami sentiasa memberi kata-kata motivasi supaya dia dapat meneruskan misinya.

“Selain itu, ekspedisi mendaki gunung juga memberi kesan positif kepada Syaza terutama komunikasinya lebih meluas dan matang memandangkan orang di sekelilingnya lebih berusia,” katanya.

Ujarnya, dia dan suami sentiasa bertanya anak tunggalnya sama ada berminat untuk melengkapkan misi menawan G7 pada tahun ini dan jawapannya sentiasa positif.


SENTIASA ceria ketika mendaki.

“Syaza gemarkan alam semula jadi seperti haiwan. Apabila berada di dalam hutan, dia berpeluang ‘bertemu’ pelbagai jenis haiwan dan serangga yang jarang dilihat. Inilah yang menyemarakkan lagi minatnya untuk meneroka ketika berada di dalam hutan.

“Selain itu, dia juga suka mandi air sungai. Jadi selain dapat melihat haiwan dan serangga, bermain air sungai sesuatu yang dinantikannya ketika ekspedisi,” katanya.

Katanya, dia dan suami bercadang mengadakan ekspedisi melengkapkan 12 puncak gunung tertinggi di Malaysia dan sekali gus merekodkan Syaza sebagai pendaki termuda negara yang berjaya menawan 12 puncak berkenaan tahun depan.

Tujuh puncak pertama adalah Gunung Tahan (Pahang), Gunung Korbu (Perak), Gunung Gayong (Perak), Gunung Chamah (Kelantan) dan Gunung Yong Yap, Gunung Yong Belar dan Gunung Ulu Sepat di sempadan Perak-Kelantan.

Lima puncak lagi yang dikenali sebagai Big Five Borneo terletak di Sabah iaitu Gunung Kinabalu, Gunung Trusmadi dan Gunung Tambuyukon manakala dua di Sarawak iaitu Gunung Murud serta Gunung Mulu.


LALUAN berakar antara cabaran mendaki di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 1:52 PM